suria

Tak nak berhutang, kos kahwin pasangan ini hanya RM2,000... tanpa songket atau lace tetap terserlah seri pengantin! - "Mak ayah sanggup turunkan harga hantaran"

Najla bersama pasangannya memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan secara bersederhana sahaja.

BILA bercakap tentang hari bahagia, semestinya berpuluh-puluh malahan ratusan ribu ringgit akan dihabiskan.

Berbeza pula dengan Najla Anati Mohd Nazim, 24 yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 9 Januari lalu bersama Mohamad Safuan Ahmad Nasri, 25 yang juga jirannya di Baling, Kedah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan 'takut nak kahwin' akhirnya gembira, berjaya buat majlis walau kos murah!

ARTIKEL BERKAITAN: Disangka event bajet, pengantin dedah untung resepsi ala hi-tea - “Terkejut rombongan suami dari Felda suka, mereka seronok dapat makan cup cake”

Menurut wanita yang mesra disapa Najla, dia bersyukur perkahwinannya hanya melibatkan perbelanjaan kira-kira RM2,000, apatah lagi dia belum habis pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.



Pasangan ini memilih tema warna hitam di hari bahagia mereka.

"Kami kenal sejak dari zaman persekolahan lagi, masa tu saya baru tingkatan dua. Tapi kami mula bercinta masa umur saya 18 tahun. Suami saya tua setahun daripada saya. Dulu sepupu saya jadi 'posmen' bagi surat masa kami bercinta.

"Dulu saya suka melawak dengan mak cakap nak kahwin tapi mak cakap, kalau serius nak kahwin, bertunanglah. Lagipun tak manis orang tengok kami berjumpa sebab dulu suami saya suka hantar makanan di rumah. Dah la kami sekampung jadi jiran-jiran memandang. Bermula dari saat itulah kami plan nak kahwin.

"Sebenarnya kami dah nak kahwin dari tahun lepas lagi tapi ada saja halangan. Ye lah... kita hanya mampu merancang tapi Yang Esa juga menentukan segala-galanya," ujarnya.

Bercerita kepada mStar mengenai persiapan perkahwinannya, Najla hanya membeli kain secara atas talian di Shopee sahaja dan baju kurung Pahang yang dipakai adalah hasil jahitan ibunya sendiri.

Manakala baju dipakai oleh suaminya yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Minyak, Pulau Pinang ini merupakan baju kemeja dibeli di sebuah pusat beli belah, Brand Outlet di Kedah.

Kalau boleh jangan sampai berhutang semata-mata nak kahwin.

NAJLA

"Saya minta mak jahit baju kurung Pahang ni pun sebab saya ingat nak jimat. Nanti masa saya praktikal atau ada kenduri orang lain saya boleh pakai baju ni. Samalah macam suami saya, sebab tu dia beli baju kemeja je.

Berikutan video yang menjadi tular itu, Najla tidak menerima sebarang komen mengkritik cara mereka melangsungkan perkahwinan.



Najla akui dia merupakan wanita yang berperwatakan ceria.

Rata-rata komen rakaman video di TikTok hanya memuji sikap pasangan ini yang bersederhana dan tidak menghiraukan pandangan masyarakat dengan cara mereka berkahwin.

"Bagi saya, selagi kita boleh jimat, kurangkan segala kos. Kalau boleh jangan sampai berhutang semata-mata nak kahwin janji ada kenangan kahwin tu pun dah OK.

"Lepas kahwin nanti kita nak beli banyak lagi barang rumah kan, jadi kenapa kita nak habiskan semua duit dekat majlis perkahwinan tu saja.

Gadis ini turut memuat naik video bersama pasangan mengambil gambar kahwin untuk simpanan sebagai kenangan di sebuah taman permainan berhampiran rumah mereka.

"Saya jenis lasak. Saya ni berbeza sikap dengan suami yang pemalu. Jadi kami ni pasangan yang saling melengkapi," seloroh Najla.

Menurut Najla lagi, keluarganya juga dilihat tidak kisah untuk mengadakan majlis secara ala kadar malah sanggup menurunkan harga hantaran agar tidak terbeban.



Pasangan ini memilih taman permainan sebagai tempat mereka ambil gambar perkahwinan sebagai kenangan.

"Dulu orang cakapkan hantaran kena ikut tahap pendidikan anak, tapi sekarang mak ayah pun dah lebih memahami kalau kita sendiri nak jimat dengan letak harga hantaran tak terlalu tinggi.

"Alhamdulillah keluarga saya OK je dengan keputusan saya dan suami masa tu. Kalau suami saya tak mampu, mereka sanggup turunkan lagi harga hantaran," jelas Najla.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain