suria

Anak ayah dah kahwin! Pengantin lelaki mahu ‘berteman’ berdepan tok kadi, letak foto arwah bapa di sisi ketika akad nikah

Kiri foto arwah bapa (bulatan merah) 'menemani' pengantin ketika akad nikah, kanan Zack (kiri) bersama arwah bapa pada majlis konvokesyen di Upsi.

HARI bahagia yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan, disulami rasa hiba kerana bapa kesayangan tiada di sisi.

Namun, bagi meredakan kesedihan, sekeping gambar berukuran pasport diletakkan di sisi pengantin lelaki pada majlis pernikahannya.

Segak berbaju Melayu putih, lelaki berkenaan kelihatan merenung foto arwah bapanya sebelum diijab kabul di sebuah masjid.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin kongsi 'keajaiban' baju nikah arwah mak, dulu tak muat tapi sebulan sebelum ijab kabul tiba-tiba boleh pakai - "Dia lelaki sama saya kenalkan dekat ibu"

ARTIKEL BERKAITAN: Anak terkilan ibu tak sempat tengok majlis nikah, tapi terharu lihat gambar telaga dalam handphone arwah - "Mak tak sempat masak ayam pecel"

Bercakap kepada mStar, pengantin lelaki, Muhamad Zakwan Zaidi berkata, dia bernikah pada 15 Januari lalu di Masjid Gombak Utara di Gombak, Kuala Lumpur.

Pemuda berusia 27 tahun itu memberitahu, bapanya, Allahyarham Zaidi Harun meninggal dunia akibat sakit jantung pada 20 September 2020 ketika usianya 49 tahun.

"Masa nikah tu saya rasa sedih dan sebak apabila teringat arwah ayah. Arwah pernah cakap dia nak sangat tengok saya kahwin.

"Jadi, saya tak dapat gambarkan rasa rindu sangat sebab hari yang penting arwah tak dapat tengok. Melihat gambar arwah dapat memberi semangat kepada saya.

"Rasa seperti arwah ada dekat dengan saya. Gambar arwah ayah memang selalu ada dengan saya, disimpan dalam dompet," katanya ketika dihubungi.

foto arwah ayah 2

Zack (kanan) bersiap sedia untuk diijab kabul.

Lebih mesra disapa Zack, katanya, bapa dan ibu kandungnya telah lama berpisah, dan sejak itu dia dibesarkan oleh bapanya selain nenek dan ibu saudara.

"Saya dibesarkan dan dijaga oleh Tok Ma (nenek), ummi dan arwah ayah dalam satu rumah. Ummi merupakan kakak kepada arwah ayah yang saya anggap macam emak sendiri.

"Adik beradik arwah ayah yang banyak membantu saya selama ini. Kesemua mereka termasuk ayah seramai tujuh beradik," ujarnya yang berasal Rantau Panjang, Kelantan.

foto arwah ayah 3

Zack (kanan) dan isteri bernikah pada 15 Januari 2022.

Bergelar anak tunggal, dirinya masih cukup bertuah kerana mendapat kasih sayang daripada bapanya dan orang sekeliling.

"Arwah ayah seorang yang baik dan memberi sepenuh kasih sayang kepada saya. Arwah sentiasa murah dengan senyuman dan banyak memberi nasihat kepada saya," tambahnya.

foto arwah ayah 4

Pengantin bersama keluarga selepas akad nikah.

Zack yang bertugas sebagai guru bagaimanapun tidak menyangka video pernikahannya yang dikongsi sepupu menerusi aplikasi TikTok menjadi tular.

"Sebenarnya saya tak tahu pasal video tersebut sebab sibuk dengan majlis. Tapi dengan izin Allah, video yang viral tu membuat ramai orang mendoakan arwah.

Masa nikah tu saya rasa sedih dan sebak apabila teringat arwah ayah. Arwah pernah cakap dia nak sangat tengok saya kahwin

MUHAMAD ZAKWAN ZAIDI

"Alhamdulillah atas doa mereka dan majlis nikah saya dan isteri berjalan lancar," katanya sambil menambah isterinya, Arma Ibwana Ibrahim Yahya yang berusia 27 tahun juga merupakan seorang guru.

Mengimbas kembali, antara kenangan terindah bersama arwah bapanya adalah ketika menghadiri majlis konvokesyen Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) di Tanjung Malim, Perak pada 2019, selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani.

foto arwah ayah 5

Zack (kiri) dan isteri.

"Alhamdulillah arwah ayah sempat tengok saya di dalam dewan naik atas pentas terima ijazah. Ayah memang gembira hari tu.

"Kenangan terindah yang paling tidak dapat dilupakan. Sebab itu juga masa nikah, saya teringatkan arwah ayah dan segala kenangan ketika kami bersama,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain