suria

“Yon tolonglah mama promote kat Twitter” - Anak buntu sukar bantu bisnes ibu tak laku, bergenang air mata tengok story WhatsApp

Ibu Amirul mula menjual pulut kuning sejak PKP, dua tahun lalu.

SUNGGUHPUN pandemik Covid-19 sudah berlarutan hampir dua tahun, impaknya masih lagi dirasai oleh sebilangan rakyat negara ini.

Begitu juga dengan pemuda ini, yang berkongsi kisah hiba bagaimana ibunya gigih mencari rezeki dengan berniaga makanan secara kecil kecilan selepas bisnes taska dan tadika miliknya terjejas teruk sejak negara dilanda Covid-19.

"Tiap kali tengok story WhatsApp mama mesti bertakung air mata. Aku cuba bantu tapi tu la aku pun kerja struggle cari duit nak survive tiap hari," demikian kapsyen yang ditulis pemuda ini pada perkongsiannya di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Pagi ibu dialisis, petang mak ayah setia tunggu pelanggan di pasar malam... realitinya ada hari tak untung langsung, si bongsu pun pernah tertidur di gerai

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes merudum, ramai simpati tengok ibu gigih cari rezeki... bayi baru lahir tidur lena walau panas di gerai - “Anak macam faham keadaan saya”

Menurut Muhammad Amirul Amin Abdul Rahim, ibunya, Suzaina Othman, 55, mula berniaga laksa sarang burung dan pulut kuning sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Senang disapa sebagai Amirul, pemuda ini berkata ibunya berniaga dari rumah dan menerima tempahan sekitar kediaman mereka di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.

"Pada mulanya ia bukanlah sumber pendapatan utama sebab sebelum ini ibu saya ada taska dan tadika. Tapi disebabkan pandemik, jualan ini jadi tumpuan keluarga.

twitter

Amirul membantu ibunya dengan membuat hebahan di Twitter.

"Dulu ibu ada tiga taska, dan sebuah tadika. Dah 23 tahun buka. Tapi sekarang ada dua taska sebab sebuah dah tutup sebab pandemik. Tapi sekarang terjejas kerana ibu bapa masih khuatir nak hantar anak-anak," ujarnya.

Sudah menjadi lumrah perniagaan, Amirul berkata ada kalanya pulut dan laksa yang dimasak oleh ibunya sejak awal pagi tidak terjual walau sebekas.

"Kadang-kadang ada sampai 10 pax (bekas) dan kadang-kadang ada yang tak ada langsung. Banyak kali ibu luah rasa sedih. Sebab itulah terhasil tweet itu.

"Bagi saya, sukar untuk saya nak mempromosi jualan ibu kerana dia bukan jual barangan online yang mudah untuk wrap dan hantar. Dia jual makanan panas maka susah untuk saya promote sebab followers saya bukan dari Rawang saja. Ibu selalu kata 'Yon tolonglah mama promote kat Twitter Yon'.

Kadang-kadang ada sampai 10 pax (bekas) dan kadang-kadang ada yang tak ada langsung. Banyak kali ibu luah rasa sedih.

AMIRUL

"Sedih tu jangan cakaplah sebab kita sebagai anak, mana sanggup tengok ibu kita bangun pagi-pagi memasak. Bila dah siap, duduk tunggu customer. Kadang ternampak dia termenung tapi kita tahu dalam hati dia berharap agar ada mesej masuk untuk orang order.

"Setiap kali lepas subuh, ibu tak pernah miss post gambar laksa dan pulut kuning dengan harapan ada orang nak order. Dan tiap kali itulah bila saya perasan story WhatsApp ibu, bertakung air mata," ujarnya sambil menambah, bapanya turut membantu bisnes makanan tersebut.

Amirul yang bekerja dalam bidang media berkata, dia dan dua lagi adik beradiknya turut membantu dari segi kewangan, selain memberikan kata-kata sokongan buat ibu bapa mereka.

laksa

Selain pulut kuning, ibu Amirul turut menjual laksa sarang burung.

"Setiap bulan saya pesan kita kena bersabar dan berdoa banyak-banyak agar keadaan cepat kembali pulih dan ibu boleh buka taska dan tadika seperti sedia kala.

"Alhamdulillah, semenjak tweet tu viral, ada juga yang order dan ada juga yang transfer duit minta ibu saya sedekah dekat sesiapa sebab mereka duduk jauh," katanya lagi.

Sehingga kini, ciapan Amirul di Twitter meraih sehingga melebihi 3,700 retweet.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain