suria

Popular sekelip mata sampai artis pun teruja... guru dedah di sebalik keceriaannya, wartawan cilik ini ada masanya diam di sekolah

Selain minat menjadi wartawan, Haziq gemar memasak pelbagai jenis kuih dan kek.

KEPETAHAN wartawan cilik dalam membuat liputan mengenai penemuan ular sawa ketika membersihkan kawasan masjid di kampungnya di Sungai Petani, Kedah telah mendapat liputan meluas baru-baru ini.

Lagak seperti seorang wartawan, Muhammad Haziq Mohd Asyraf dengan aksi bersahaja yang diselang seli dengan slanga utara membuat tinjauan di Pasar Pagi Bukit Selambau turut mencuit hati apabila dia selamba memperkenalkan ibunya dengan gelaran datin.

Selain netizen, keletah menghiburkan Haziq turut mendapat perhatian dan pujian selebriti tempatan seperti Tiz Zaqyah, Fahrin Ahmad, Mustaqim Bahadon dan Aniq Suhair.



"Power adik ni. Kita pun tak pandai nak cakap ayat panjang-panjang macam ni details, lancar je.

"Terbaik, kecil-kecil dah tahu struktur melapor. Ada nama, ada lokasi, ada struktur cerita, menamakan pihak yang turut terlibat.... ada jiwa. Penggunaan perkataan dan bahasa laporan yang hampir sempurna dan hand held shot yang buat penonton excited dan cemas sama. Bakat macam ni harus digilap. Teruskan melapor semoga terus berjaya!" demikian antara komen yang ditinggalkan pada video tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Petah dan santai... ‘wartawan cilik’ pegang mic lapor suasana pasar Bukit Selambau, siap panggil mak datin!

Menurut guru yang mengajar Haziq di Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau, Muhammad Islakh Abdul Kadir, 35, dia telah mengajar kelas kanak-kanak yang bercita-cita untuk bergelar seorang cef dan wartawan itu sejak darjah tiga lagi.



Haziq bersama guru Bahasa Inggerisnya, Cikgu Islakh.

Jelas guru bahasa Inggeris itu, anak peniaga sayur itu adalah antara muridnya yang berbakat besar dan percaya Haziq boleh pergi jauh jika lebih banyak perhatian diberikan kepadanya.

Namun selain kepetahan Haziq yang pandai berceloteh dan bersahaja di depan kamera ini, ada 10 fakta menarik mengenai murid tahun enam ini, antaranya:

1. Anak sulung daripada dua beradik ini seorang yang peramah dan suka mengusik guru-guru serta rakan-rakan di sekolah.

2. Seorang yang kreatif dalam mengulas sesuatu perkara secara spontan.

3. Bijak dalam semua mata pelajaran di sekolah.

4. Pandai menyesuaikan diri di dalam kelas walaupun banyak saingan di kelas pertama.

5. Seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang pandai memasak pelbagai jenis kek dan kuih muih tradisional seperti bahulu.

6. Selalu membawa kek ke sekolah untuk cikgu dan rakan-rakan untuk sama-sama merasai air tangannya.

7. Ibu bapa menyokong minat Haziq dalam bidang masakan dengan menyediakan segala peralatan memasak, selain dikongsi di Facebook milik ibunya.

8. Meminati penyanyi dan pelakon, Nabila Razali.

9. Video secara langsung penemuan ular oleh Haziq yang dimuat naik pemilik Facebook Putra Mar sehingga kini meraih kira-kira 1.1 juta tontonan.

10. Di sebalik perwatakan kanak-kanak yang ceria, Haziq bagaimanapun akan diam di sekolah jika kesihatannya terganggu. Ini kerana dia menghidap penyakit talasemia dan perlu menjalani rawatan secara berkala.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain