suria

Remaja mualaf tak sabar nak sambut Ramadan, akui tenang lihat video Saharul Ridzwan berselawat... Ustaz Wadi Annuar, UAI pula cetus inspirasi

Kisah penghijrahan selebriti seperti Saharul Ridwan (kiri) turut menjadi inspirasi buat Rayyan (kanan).

UMAT Islam di Malaysia pastinya tidak sabar untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan yang dijangka bermula pada awal April ini.

Perasaan sama turut dirasai remaja berbangsa Cina berusia 19 tahun ini yang baru sahaja memeluk Islam secara rasmi pada 26 Julai tahun lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Rayyan, pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) yang menetap di Kajang, Selangor itu mengakui gementar bercampur teruja untuk mengharungi bulan mulia Ramadan secara rasmi sebagai seorang Muslim.

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun selepas lafaz syahadah sendiri, pemuda ini akhirnya peluk Islam secara rasmi! Ebit Lew antara individu beri pengaruh besar

ARTIKEL BERKAITAN: Tak percaya agama, peminat Black Metal ini akhirnya peluk Islam, akui apa yang ditemui ketika kaji al-Quran amat mengejutkan!

"Saya anggap Ramadan tahun lepas sebagai tempoh percubaan. Saya dah pernah berpuasa, tapi biasanya saya bersendirian. Sunyi makan seorang diri. Tapi kali ini, saya secara rasminya akan berpuasa sebagai orang Islam.

"Saya rasa gementar bercampur seronok. Kita pun dah boleh rentas negeri, jadi saya merancang untuk melawat kawan-kawan di negeri lain seperti Kelantan, Perak dan Pahang untuk berpuasa beramai-ramai dengan mereka," ujarnya.

Bercerita mengenai perjalanannya sehingga memeluk Islam pada tahun lalu, Rayyan akui ada beberapa faktor yang memberi pengaruh besar terhadap dirinya.

Selain itu, Rayyan turut menamakan pendakwah seperti Ustaz Wadi Annuar dan Ustaz Azhar Idrus sebagai inspirasinya dalam proses memeluk agama Islam.

rayyan2

Rayyan tak sabar untuk menunaikan ibadah puasa pada Ramadan kali ini.

"Ramai orang tanya perkara ini sampai sekarang. Ceritanya panjang tapi saya cuba ringkaskan. Sebenarnya saya mula berminat dengan Islam sejak sekolah menengah.

"Masa sekolah menengah, saya belajar subjek Pendidikan Moral. Kelas subjek ini biasanya habis awal, jadi saya akan balik ke kelas asal yang mana ia digunakan untuk subjek Pendidikan Islam.

Saya tengok video Saharul Ridzwan berzikir dan berselawat. Ia memberi impak yang besar dan positif kepada saya.

RAYYAN

"Sementara nak tunggu habis subjek itu, saya berdiri di pintu kelas untuk dengar ustazah mengajar. Saya juga banyak terpengaruh dengan kawan-kawan Melayu di sekolah.

"Selain itu, saya juga suka tengok video dakwah Ustaz Wadi Annuar dan Ustaz Azhar Idrus," ujar penuntut semester dua bidang Perakaunan dan Pengurusan itu.

Jelas Rayyan lagi, kisah penghijrahan selebriti seperti Saharul Ridzwan dan Nabil Ahmad turut menjadi daya penarik untuk dia mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam.

"Saya juga mendapat inspirasi daripada artis Melayu. Di aplikasi TikTok misalnya, saya tengok video Saharul Ridzuan berzikir dan berselawat. Ia memberi impak yang besar dan positif kepada saya. Saya sendiri tak tahu macam mana nak ungkapkan keindahannya.

saharul

Video selawat pelakon Saharul Ridzwan banyak memberi inspirasi kepada Rayyan untuk mendalami Islam.

"Seronok tengok termasuklah kisah Nabil Ahmad. Saya juga ada tengok video ustaz-ustaz lain berzikir, bukan artis saja. Sejujurnya hati saya rasa tenang," ujar Rayyan yang suka menonton rancangan Tanyalah Ustaz di TV3.

Tambah Rayyan lagi, dia juga pernah berasa 'cemburu' melihat umat Islam menunaikan solat berjemaah secara beramai-ramai sehingga ia menjentik hatinya untuk mendalami agama Islam.

Dalam pada itu, Rayyan turut berterima kasih kepada netizen di TikTok yang banyak memberikan sokongan buatnya selepas dia berkongsi video di aplikasi tersebut.

Pesan Rayyan kepada mana-mana individu yang mahu berhijrah ke jalan Allah, pedulikan kata-kata orang, sebaliknya teruskan usaha dengan penuh cekal dan sabar.

rayyan3

Rayyan merupakan penuntut Utar.

"Majoritinya di TikTok, mereka berikan sokongan moral. Mereka minta saya teruskan berusaha dan jaga hubungan baik dengan keluarga.

"Pesanan saya kepada semua orang yang nak berhijrah untuk jadi orang yang lebih balik, paling penting jangan pendulikan kata-kata yang toksik.

"Teruskan usaha anda untuk berjihad jadi orang yang berakhlak mulia. Kalau ada yang mengecam, biarkan. Tunjukkan potensi anda, buktikan bahawa anda juga boleh buat.

"Jadi paling penting dalam kehidupan penuh cabaran ini, kita kena bersabar. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar," ujarnya yang menetap di Kajang, Selangor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain