suria

Pemuda tersentak bawa gelandangan tak pernah makan McD, asyik ulang ungkapan sama untuk setiap jenis makanan yang dimakan

Mus memulakan satu usaha murni dengan belanja Uncle Rosli makan di McDonald's.

SETIAP daripada kita semestinya ada niat dan cara tersendiri untuk berbakti kepada masyarakat terutama sekali golongan susah.

Tidak terkecuali Mustaqim Hud, 23, yang bersimpati dengan nasib seorang lelaki berusia lebih separuh abad yang melakukan kerja-kerja mengutip tin dan besi buruk untuk dijual dan hasilkan dijadikan sumber pendapatan utama.

ARTIKEL BERKAITAN: Viral 2021: Hebatnya kuasa sedekah! Peniaga kambing bakar syukur rezeki melimpah, tapi reda gerai ditenggelami air bah... plan buka gerai ke-2

ARTIKEL BERKAITAN: Pasrah jual kambing bakar tak laku, lelaki cepat-cepat tutup gerai... kemudian terus pergi borong makanan peniaga senasib dengannya

Mesra disapa Mus, dia memulakan usaha murni ini dengan membelanja seorang lelaki yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Uncle Rosli makan di sebuah restoran makanan segera.

"Pakcik ni akan lalu lalang dekat kedai makan tempat saya kerja di Rantau Panjang, Klang, Selangor. Setiap malam dia akan ambil makanan di kedai saya sebab memang ada orang sponsor dan bayarkan makanan untuk dia.

"Boleh dikatakan saya orang paling rapat dengan dia sebab setiap hari dia datang kedai. Ada satu hari tu saya kesian tengok dia kutip tin tengah panas terik, jadi malam tu saya bawa dia belanja makan dekat McDonald's. Saya ambil peluang ni untuk berborak dengannya, nak tahu kisah hidup dia sebab saya jenis cepat kesian dekat orang," ujar Mus.

Graduan bidang Kejuruteraan Mekanikal itu mengakui dia tersentuh dan sedih melihat reaksi pakcik yang dikenalinya sejak lebih kurang dua bulan lalu ini sebaik sahaja dia menyuapkan hidangan ke mulut.

Jelas bekas penuntut Politeknik Shah Alam ini, Uncle Rosli memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama dia merasai nikmat makan di restoran itu sepanjang hidupnya, membuatkan Mus berasa lebih simpati dengan nasib warga emas ini.



Uncle Rosli mengakui ini merupakan kali pertama dia makan di McDonald's.

"Pakcik tu cakap dekat saya ni first time dia makan dekat sini. Selama ni dia takut nak masuk sebab anggap kedai ni orang kaya je boleh makan. Maksudnya orang ada duit saja boleh masuk sebab harga makanan sini dianggap mahal.

"Saya belikan bubur, kek, ice blended chocolate dan banyak lagi makanan dekat dia. Dia cakap 'sedap, patutlah mahal'. Setiap makanan dia makan tu semua dia akan cakap macam tu. Saya dapat rasakan memang jujur sangat reaksinya masa makan tu, tak ada berlakon langsung," ujarnya lagi.

Mus yang bekerja sebagai Penyelaras Bahan Masakan di sebuah restoran di Jalan Wan Hassan, Klang ini berkata Uncle Rosli juga menceritakan tentang kehidupannya yang tidak sama seperti orang lain.

Hidup dia memang agak daif. Nak pergi mana-mana pun guna basikal yang dia terjumpa dulu.

MUS

"Dekat McDonald's kan tempat orang makan beramai-ramai. Jadi bila dia tengok sekeliling, pakcik ni ada luah cakap hidup dia tak sama dengan orang lain. Dalam tu kan orang bawa keluarga atau kawan-kawan jadi pakcik ni sedih sebab dia tak ada semua (kawan dan keluarga) tu. Nak makan pun kena cari duit sendiri," katanya menceritakan semula luahan hati Uncle Rosli.

Menurut Mus lagi, Uncle Rosli juga pernah berkahwin namun tidak memiliki cahaya mata sepanjang perkahwinan dan jelasnya lagi dia sudah lama bercerai dan mula hidup sebatang kara sehingga kini.

Kata Mus, dahulunya Uncle Rosli tinggal di bawah jambatan Klang, Selangor tetapi telah berpindah dan tinggal di sebuah pondok di dalam kebun berdekatan kedai makan tempatnya bekerja.

"Mungkin pakcik ni berpisah masa kewangan tak kukuh jadi start dari situ dia jadi gelandangan. Sekarang dia tinggal dan tidur dalam pondok di kebun dekat je dengan tempat saya kerja. Tuan tanah tu suruh dia sambil-sambil jaga kebun.



Mus bekerja di kedai makan di Klang Selangor.

"Hidup dia memang agak daif. Nak pergi mana-mana pun guna basikal yang dia terjumpa dulu. Pendapatan pun tak tetap sebab dia cuma kutip apa saja yang boleh dijual. Biasanya dia jual besi dengan harga sekilo dapat RM6. Nak dapatkan sekilo pun makan masa berhari juga," ujarnya lagi.

Menurut Mus, apa yang dilakukan ini mendapat perhatian di Instagram selepas ramai netizen yang memberikan komen positif dan berterima kasih dengan inisiatifnya.

Mus juga menzahirkan rasa syukur dengan kehidupannya walaupun tidak mewah dan berharap lebih ramai lagi boleh berbuat sedemikian dalam usaha membantu golongan lebih memerlukan.

"Saya record masa tu sebagai kenangan saya nak simpan di media sosial saja tapi tak sangka ramai yang bagi respons positif dan puji apa saya dah buat ni.



Uncle Rosli mengutip besi buruk untuk dijual sebagai sumber pendapatan.

"Sebenarnya, bila kita tengok depan mata kesusahan orang lain, baru kita sedar betapa beruntungnya hidup kita. Kalau kita rasa hidup kita susah, ramai lagi dekat luar sana yang mahu kehidupan macam kita.

"Bila saya tengok nasib pakcik ni, saya terus rasa tersentak. Tak kira apa ujian atau banyak mana rezeki kita dapat, kita kena reda. Ada orang lain tak pernah rasa pun nikmat macam kita dapat ni," tambah Mus.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain