suria

Rider rawat diri sendiri selepas kemalangan, sorok luka tak mahu pelanggan nampak... yang penting makanan selamat sampai!

Dino sudah mengalami kemalangan beberapa kali sebelum ini semasa bekerja sebagai penghantar makanan.

SESETENGAH individu mungkin akan melihat tugas seorang penghantar makanan sekadar menunggang motosikal dan menghantar makanan mengikut permintaan di lokasi yang ditetapkan pelanggan.

Namun, di sebalik apa yang kita nampak seperti mudah itu, ramai tak sedar cabaran utama mereka adalah risiko bahaya semasa menjalankan tugas.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup luar rumah pelanggan, ramai ‘panas hati’ sampai ada yang menangis – “Dah order tu standby lah siap-siap!”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sangka pertama kali buat pesanan delivery, rider menggigil hantar 2 ketul ayam - “Berkali-kali dia minta maaf, saya rasa bersalah”

Sebuah video yang dikongsi di laman sosial menunjukkan seorang penghantar makanan mengalami kemalangan yang berada di luar sebuah rumah pelanggan dalam keadaan luka mengundang sebak netizen.

Muhd Nur Danial Mohd Ravi, 23, cedera di bahagian tangan dan kaki namun tetap meneruskan pekerjaannya demi mencari rezeki.

"Saya dalam perjalanan nak hantar makanan customer pagi tu. Lepas saya ambil bubur dekat vendor i-City Mall, saya terus gerak ke rumah customer dekat Klang. Rumah customer tu dekat kawasan kampung.

"Masa saya tengah nak belok dekat selekoh, motosikal saya tunggang hilang pertimbangan lalu saya terjatuh. Motor saya terseret ke tepi dan saya terguling tengah jalan. Mujur tak ada kereta lalu, kalau tak, saya tak tahu apa jadi dekat saya masa tu.

"Ada orang yang lalu lalang nampak saya, mereka berhenti dan tanya keadaan saya. Ada yang suruh saya pergi klinik tapi saya tak nak dan kebetulan pula hari Ahad jadi tak ada klinik yang buka. Dalam kepala saya masa tu cuma nak selesaikan kan trip je," ujarnya yang mesra disapa Dino.



Jejaka ini merupakan anak pertama dalam adik beradiknya.

Jelas Dino yang menetap di Meru, Klang ini, dia sebenarnya berasa sedih dan trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya.

Bagaimanapun, anak sulung daripada empat beradik ini juga bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan parah yang mengakibatkan dia tidak boleh bekerja lagi.

Saya pun tak mengharapkan simpati atau nak susahkan siapa-siapa sebab tu saya teruskan saja kerja saya.

DINO

Menurut Dino, dia turut lega setelah melihat keadaan motosikal yang hanya ada kerosakan kecil saja.

"Saya tengok balik selekoh tu rupanya ada tumpahan minyak. Jalan dekat situ licin sebab tu saya boleh jatuh. Nasib baik saya tak patah tulang cuma luka bahagian lengan kiri dan lutut.

"Motosikal pun cuma ada kesan calar sikit dan cermin belah kiri hancur kena seret dekat jalan tapi masih boleh digunakan. Saya pun bangun dan teruskan saja hantar makanan lagipun bubur yang saya bawa pun masih OK dan tak tumpah.

"Yang saya pelik, bahagian lengan saya berdarah walaupun saya pakai baju dua lapis. Saya punya t-shirt dan hoodie tak terkoyak langsung. Saya letak iodin, tampal guna kapas dan tisu bahagian luka tu dan sarungkan semula hoodie untuk sorok dari customer," jelasnya lagi.

Bercerita lanjut, dia hanya meninggalkan saja makanan yang dipesan di luar rumah kerana sudah dibayar dan tidak mahu pelanggan tersebut melihat keadaan dirinya.



Gambar bahagian lengan Dino yang luka semasa kemalangan.

Tambahnya lagi, ini bukan kali pertama dia mengalami kemalangan seperti ini dan menganggap ia sebagai lumrah hidup seorang penghantar makanan yang mana pekerjaan ini telah dilakukan selama satu tahun.

"Saya tak jumpa pun customer tu sebab dia dah bayar siap-siap makanan. Saya pun tak mengharapkan simpati atau nak susahkan siapa-siapa sebab tu saya teruskan saja kerja saya," ujarnya.

Menjelaskan videonya yang tular di TikTok, jejaka ini berkata dia cuma mahu menyimpan video tersebut sebagai kenangan namun dia tidak menyangka akan mendapat perhatian khalayak.

Dia turut menitipkan pesan kepada orang lain terutama sekali kepada individu yang mencari rezeki sebagai 'rider' sepertinya.

"Ramai yang komen cakap kesian tengok keadaan saya dalam video tu. Mereka ada juga doakan saya murah rezeki dan berterima kasih dekat saya. Terharu pula bila orang lain boleh hargai dan nampak struggle kerja macam kami ni.



Dino bekerja sebagai rider Grabfood sudah melebihi satu tahun.

"Saya harap semua yang buat kerja sama macam saya, berhati-hati masa kejar trip jangan bawa laju-laju sebab nyawa kita ni tiada ganti," katanya.

Dalam pada itu, Dino yang mengalami sedikit bengkak di bahagian bahu berkata dia sedang berehat di rumah untuk dua hingga tiga hari dan akan kembali mencari rezeki semula sebagai penghantar makanan tidak lama lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain