suria

Tak kenal ibu kandung, gadis reda kini terpaksa jauh dari bapa angkat tempat menumpang kasih... dikata ‘muka sama’ pun dah cukup gembira!

Sof sangat manja dengan ayah angkatnya kerana dipelihara sejak bayi.

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Video yang dimuat naik, Nurshahira Sofea, 20, mengundang rasa sebak netizen apabila menunjukkan hubungan akrab dirinya dengan bapa yang sudah lanjut usia.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak cari adik dan ayah... hanya ‘berbekalkan’ nama Abdullah - “Kami sikit pun tak pernah dicium, dibelai oleh ibu bapa kandung”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kasih sayang keluarga sejak bayi, dah besar gadis ini terpaksa ‘tinggalkan’ nenek pula kerana nak peluk Islam - “Saya akan cari dia semula”

Namun, di sebalik perkongsian video tersebut, terselit kisah sedih apabila gadis tersebut hanya menumpang kasih sebagai anak angkat dalam keluarga Yakub Hassan, 76, sejak bayi lagi.

"Sebenarnya dari kecil lagi saya dah diambil oleh keluarga ayah. Saya tak pernah tengok pun keluarga saya yang betul. Cuma dengar cerita daripada ayah je pasal mak ayah kandung saya.

"Ayah angkat kenal mak kandung saya masa mereka kerja sekali di Singapura dulu. Ayah kata mak kandung tak mampu jaga saya sebab tu bagi saya pada ayah.

"Mak kandung saya ni kawan baik ayah tapi sekarang dah lost contact. Saya cuma tahu nama sebenar dalam kad pengenalan je. Saya tak tahu rupa ibu kandung macam mana sekarang," jelasnya yang mesra disapa Sof.

Bercerita lanjut, kata Sof, bapa angkatnya sudah berpisah dengan isteri yang juga ibu angkatnya semasa dia berusia 11 tahun dan gadis ini mula tinggal bersama Yakub di sebuah perkampungan Felda di Johor Bahru, Johor.



Ayah angkat Sof merupakan kawan baik ibu kandungnya.

Jelasnya lagi, dia bagaimanapun sudah tidak menetap dengan bapa angkatnya semasa berada di tingkatan lima kerana lelaki itu uzur dan memerlukan penjagaan rapi.

"Masa saya darjah lima, mak dan ayah bercerai jadi saya ikut ayah tinggal dekat Johor sebab dia kerja sana. Saya dengan ayah je tinggal dalam rumah tu. Adik beradik lain tak tinggal sekali.

"Tapi masa ayah dah tak berapa sihat, dia duduk dengan anak kandungnya di Kuala Lumpur. Jadi saya terpaksa duduk di Johor Bahru dengan famili kawan," ujarnya lagi.

Menurut gadis ini lagi, setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia terus bekerja di pusat beli belah, Mid Valley Southkey di Johor Bahru.

Tambah Sof lagi, dia juga menolak tawaran menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di KPTM (Kolej Poly-Tech Mara), Bangi, Selangor, kerana tidak mampu untuk membiayai kosnya.



Sof tidak menyambung pengajian walaupun menerima tawaran di KPTM, Bangi.

"Lepas SPM, saya terus kerja bahagian retail di mall. Saya ada dapat tawaran sambung belajar tapi tolak sebab tak nak menyusahkan orang lain," jelasnya.

Bercerita lanjut megenai video yang menjadi tular, Sof berkata dia cuma mahu menyimpan video tersebut sebagai kenangan untuk dirinya kerana sudah jarang berjumpa dengan ayah angkatnya.

Rakaman itu juga mendapat pelbagai komen positif walaupun ada yang tersalah anggap bahawa lelaki dalam video tersebut adalah datuk gadis ini.

"Saya boleh jumpa ayah sebulan sekali je sekarang. Rindu sangat sebab rasa dah tak ada tempat bergantung, lagi pun saya tak boleh call ayah selalu sebab dia tak ada telefon sendiri. Saya akan call ayah melalui telefon kakak waktu cuti hujung minggu.

"Ada yang cakap muka kami sama. Saya terharu bila ada yang komen macam tu sebab saya ni anak angkat saja," ujarnya lagi.



Gadis ini berjumpa ayah angkatnya sebulan sekali sahaja sejak berjauhan.

Sof turut menyatakan bahawa dia tidak ada sebarang usaha untuk mencari keluarga kandungnya kerana dia sendiri belum bersedia untuk berjumpa dengan mereka.

Menurut gadis ini, dia beranggapan bahawa semua ini sebagai ujian daripada Allah dan reda dengan ketentuan Ilahi untuknya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain