suria

Tak sangka content nasyid dapat sambutan, pelajar Usuluddin siap dipelawa ajar mengaji... peminat UAI ini nak jadi da'i berilmu

Luqman memasang angan-angan untuk bergelar pendakwah suatu hari nanti.

KEMERDUAN suara jejaka ini mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran, zikir harian dan nasyid ternyata menarik perhatian netizen di media sosial.

Menurut Muhammad Luqman Suhairi, 20, dia mahu berkongsi bakat kurniaan Allah dengan orang ramai serta menyebarkan dakwah dengan cara tersendiri dalam dunia moden hari ini.

"Saya sebenarnya aktif menyertai nasyid sejak sekolah menengah. Kemudian sejak setahun lalu, saya mula aktif hasilkan content dakwah di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu aktif nasyid di sekolah, kini rancak di TikTok... pelajar terima respons luar jangka

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih TikTok platform berdakwah... gadis berpurdah seawal usia 14 tahun hampir menangis saat terima mesej individu luah hasrat berhijrah - "Mak pesan jaga mana wajib"

"Apa salahnya saya kongsi bakat yang ada ini, pada masa sama dapat sebarkan manfaat kepada orang ramai menerusi video nasyid, bacaan al-Quran serta zikir harian.

"Bila orang ramai dengar, mereka pun akan dapat manfaat," ujar penuntut Universiti Malaya (UM) yang senang disapa Luqman itu.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dia juga terharu kerana masih ramai netizen yang menggemari lagu-lagu nasyid dalam zaman moden ini.

"Kalau nak diikutkan, banyak kumpulan nasyid yang saya minati. Antaranya Raihan, Rabbani, Hijjaz dan UNIC.

luqman7

Video nasyid Luqman meraih perhatian ramai di aplikasi TikTok.

"Ramai yang kata nasyid ni mengimbas kenangan. Lagu-lagu nasyid yang lama, orang masih ingat sehingga ke hari ini. Ia segar dalam ingatan.

"Bila saya hasilkan video, jadi seronok sebab orang lain pun boleh ikut sama menyanyi. Suasananya jadi bertambah meriah," ujarnya lagi.

Saya nak jadi da'i yang cukup ilmu dan boleh bantu orang sekeliling daripada salah faham agama dan sebagainya.

LUQMAN

Penangan video-video tular di aplikasi TikTok turut menyebabkan dia dihujani dengan pelbagai mesej dan komen daripada netizen.

Jelas Luqman, dia turut dipelawa mengelola kelas pengajian al-Quran, namun menolak dengan cara baik kerana terikat dengan jadual pengajian yang padat.

"Saya bersyukur, pada masa sama saya rasa bangga kerana ramai warga TikTok yang suka content dakwah sebegini. Kita tahu sebelum ini, ramai anggap TikTok tempat hiburan semata-mata.

luqmn 8

Luqman merupakan penuntut bidang Usuluddin di UM.

"Ada ramai juga yang mesej, minta saya ajar mengaji. Cuma sekarang saya masih belajar, agak sibuk. Kalau ada rezeki, InsyaAllah suatu hari nanti saya akan buka kelas mengaji.

"Ramai juga yang mesej dan minta saya teruskan buat video. Saya berterima kasih atas sokongan ramai. Bakat ini kurniaan Allah, saya akan guna sebaiknya supaya orang lain pun dapat manfaat," ujarnya yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan.

Mengenai dirinya, pelajar tahun pertama bidang Usuluddin itu memasang impian untuk bergelar pendakwah suatu hari nanti.

luqman3

Luqman harap video dihasilkannya mampu memberi manfaat kepada orang ramai.

"Saya ambil Usuluddin sebab daripada sekolah rendah, sekolah agama dan hingga sekolah menengah pun saya sambung bidang agama. Ia merupakan minat utama saya.

"Bidang Usuluddin sebenarnya sangat luas dan ia merangkumi pelbagai pengkhususan lain. Saya mengimpikan untuk jadi pendakwah suatu hari nanti.

"Saya nak jadi da'i yang cukup ilmu dan boleh bantu orang sekeliling daripada salah faham agama dan sebagainya. Itu antara cita-cita saya," ujarnya yang meminati Ustaz Azhar Idrus.

Untuk rekod, Luqman memiliki 39,000 pengikut di TikTok dan lebih 10,000 pengikut di laman Instagram.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain