suria

Rasakan! ‘Hantu’ comot selepas sebungkus paprik ayam hinggap di muka ketika cuba usik mangsa - “Dia merajuk dan terus tidur”

Dalila (kanan) terlalu terkejut apabila disergah Fatin (kiri) sehingga terbaling lauk paprik ayam.

ZAMAN ketika sama-sama menuntut di kolej semestinya mencipta banyak memori bersama rakan-rakan, lebih-lebih lagi sebelum masing-masing membawa haluan sendiri selepas tamat pengajian.

Paling menyeronokkan sudah tentunya dipertemukan dengan rakan yang sekepala dan 'gila-gila'!

Begitu juga kisahnya dengan sekumpulan pelajar perempuan ini yang masing-masing boleh dikatakan 'kaki sakat' dan gemar mengusik antara satu sama lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Hajat hati nak buat prank je, tak sangka mak ambil serius video tugasan anak - “Kau apasal cakap bohong, mama tak nak lah”

ARTIKEL BERKAITAN: Kena prank dek rakan sekampus, laptop 'hilang' punca siswa bikin video parodi... tak sangka follower bertambah, kawan baharu pun ramai!

Video ketika mereka menyakat atau melakukan 'prank' terhadap seorang rakan dengan memakai telekung putih serta mengenakan solekan seperti hantu, mengundang tawa warganet yang turut sama terhibur.

Mana tidaknya, prank yang kononnya mahu menakutkan rakan tersebut tidak menjadi gara-gara 'hantu' dibaling dengan sebungkus paprik ayam.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Fatin Nabila Mohamad Khozan berkata, video prank tersebut sebenarnya merupakan video lama ketika dia dan empat rakan lain menghuni rumah sewa pada 2019.

"Kami berlima penuntut Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak dan menyewa berdekatan dengan kolej. Video tu saja nak throwback kenangan pada 2019, sekarang ni ada yang dah habis belajar dan saya sendiri masih menuntut di semester lima.

"Alkisahnya, saya dan seorang lagi main solek-solek. Yang mangsa prank, Nur Dalila Abdullah Hasin ketika itu keluar beli makanan dengan seorang lagi rakan serumah yang lain.

HANTU

Fatin dan seorang lagi rakan serumahnya menyolek wajah seperti hantu dan mengusik rakan-rakan mereka.

"Asalnya tak rancang pun nak prank. Tapi sebab main mekap-mekap, spontan timbul idea. Mangsa pertama kami adalah housemate yang tak ikut keluar beli makanan. Tapi tak menjadi sebab dia tak takut.

"Bila Nur Dalila balik, dia terus ke dapur ambil pinggan dan nak makan di ruang tamu. Masa itulah saya muncul dari dinding. Agaknya sebab terkejut teruk, dia spontan terbaling paprik ayam di tangannya. Habis sebungkus!" ceritanya yang senang disapa sebagai Fatin.

Penuntut jurusan Kejuruteraan Awam ini berkata, akibat balingan Nur Dalila, muka, telekung dan dinding rumah sewa mereka terpercik kuah paprik ayam tersebut.

HANTU 2

Akibat balingan Dalila, wajah serta telekung Fatin comot terkena kuah paprik.

"Saya cepat-cepat 'selamatkan' sisa lauk paprik yang masih ada dalam plastik sebab tak nak membazir. Lagi pula Nur Dalila mesti lapar.

"Tapi dia merajuk... ambil toto dan terus tidur. Kami serba salah sangat dan nak pujuk. Dalam keadaan tu, kami nak tunggu dia sejuk dulu, baru nak pujuk.

"Esoknya, kami pujuk dia dan dia okay je. Dia kata sebenarnya nak tergelak tapi saja nak mogok sebab lapar. Bila tunjuk video yang dirakam, dia pun tergelak-gelak," ujarnya yang berasal dari Kulim, Kedah.

Sebenarnya masing-masing kaki sakat. Saya pun sebenarnya selalu juga jadi mangsa usikan mereka sampai pernah berenang dalam kolam ikan.

FATIN NUR NABILA MOHAMAD KHOZAN

Bercerita serba sedikit mengenai persahabatan mereka, Fatin berkata mereka berlima sudah kenal rapat sejak semester satu.

"Sebenarnya masing-masing kaki sakat. Saya pun sebenarnya selalu juga jadi mangsa usikan mereka sampai pernah berenang dalam kolam ikan.

"Tapi kami jenis tak ambil hati dan tak serik mengusik satu sama lain," ujarnya.

KOLEJ

Fatin bersama rakan sekuliah di Politeknik Sultan Azlan Shah.

Wanita berusia 22 tahun ini menambah, dia dan rakan-rakannya sama sekali tidak menyangka video prank 'paprik' itu mendapat perhatian sehingga meraih melebihi 445,000 jumlah tontonan.

"Kebanyakan komen netizen semua lucu-lucu. Kami happy video tu menghiburkan orang lain juga.

"Apa yang saya boleh kongsikan, ciptalah seberapa banyak kenangan dengan rakan-rakan. Masa inilah kita nak kumpul kenangan dan momen dengan mereka. Nanti boleh throwback balik. Masa tu mesti rindu zaman belajar.

"Kepada semua kawan-kawan yang dalam grup Thekeyboardworrioss, kamulah sahabat dunia akhirat saya," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain