suria

Aduh! Yayang buat kerja ‘tak clean’, nak mohon pekerjaan kantoi dengan HR pakwe tolong buat resume

Resume wanita ini dikatakan bukanlah dihasilkan sendiri sebaliknya disiapkan oleh teman lelakinya. (Gambar hiasan)

MENCARI pekerjaan adalah salah satu perkara terpenting dalam hidup, jadi semestinya kita mahu melakukannya dengan cara terbaik.

Beberapa etika tertentu perlu menjadi keutamaan dan dipatuhi semasa berkomunikasi dengan bakal majikan atau sesebuah syarikat untuk memohon pekerjaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita terkejut syarikat tak jaga bahasa, berani balas emel permohonan kerja beritahu bos suka sentuh-sentuh

ARTIKEL BERKAITAN: “Jatuh sekali, aku bangun tiga kali” - Tak sia-sia promo diri di media sosial, lelaki ini terus ‘dirisik’ 8 syarikat

Baru-baru ini seorang Perunding Kerjaya, Nik Akmal Nik Othman, berkongsi satu posting di laman sosial berkenaan ‘insiden’ melibatkan seorang gadis yang menghantar emel kepada sebuah syarikat.

Bercerita lanjut, emel dan resume yang dilampirkan menunjukkan pelajar dari kursus Pentadbiran Perniagaan ini mahu menjalani latihan industri di syarikat itu.

Berdasarkan emel yang dihantar, ia ditulis dengan bahasa yang sopan, bagaimanapun ada perkara lebih penting pelajar ini mungkin terlepas pandang.



Antara ciapan yang membalas tweet asal.

Di bahagian bawah emelnya, jelas menunjukkan bahawa resume tersebut bukanlah dihasilkan sendiri sebaliknya disiapkan oleh teman lelakinya.

Tanpa mengarang emel baharu sebelum dihantar kepada syarikat tersebut, gadis itu terus memajukan (forward) emel daripada teman lelakinya yang melampirkan resume yang telah disiapkan berserta pesanan ringkas.

“Nah yayang resume yayang. Kalau ada penambahbaikan sila bagitahu saya ye. Hehe. I love you yayang. Muahhh!!!” demikian ayat yang ditulis dalam emel yang dihantar teman lelakinya.

Sememangnya tiada seorang pun daripada kita mahu majikan berpotensi mendapat tahu perkara seperti ini, terutamanya apabila kita sedang terdesak mencari pekerjaan atau penempatan latihan.

Menerusi kapsyen Nik Akmal, dia menyatakan bahawa etika menghantar emel adalah antara kemahiran utama kerana ia merupakan platform yang digunakan untuk komunikasi rasmi.



Tangkap layar satu cadangan untuk penambahbaikan agar masalah tersebut tidak berulang.

Dia juga berkata dalam kes seperti ini seseorang itu dianggap bertuah jika HR (Human Resources) masih memutuskan untuk memanggil sesi temu duga walaupun kebarangkalian 'diusik' berkaitan emel itu tinggi.

Bagaimanapun, Nik Akmal mengingatkan orang ramai bahawa perlu difahami sekiranya HR menolak permohonan itu serta-merta kerana ia menunjukkan kekurangan profesionalisme dan tidak melakukan kerja secara sendiri.

Bukan itu sahaja, dia juga membayangkan bahawa individu itu tidak cukup teliti dalam memeriksa kerjanya sendiri sebelum menghantar permohonan itu kepada majikan.

"Semuanya bergantung kepada jenis pekerjaan yang kita pohon kerana keputusan muktamad terletak di tangan majikan," katanya.



Tangkap layar ciapan asal kepada posting yang menjadi tular.

Berikutan insiden memalukan ini yang menjadi tular, beberapa warga maya turut berkongsi tip dan saranan mengenai perkara ini.

“Dalam dunia kerja, email ni medium komunikasi paling utama dan rasmi. Zaman sekarang, ramai yang baru masuk pasaran kerja biasanya jarang guna email. Majoriti, selesa guna WhatsApp. Jadi kesilapan reply, forward message, penggunaan CC, BBC dll (dan lain-lain) memang biasa.

“Sebagai orang yang terlibat dengan kerja HR, pernah terima resume/cv (via e-mail) macam ni. Kalau calonnya bagus, panggil interview. Terima atau tak; lepas habis interview saya kepilkan side note letak smiley atau sedikit teguran sebagai rujukan calon tu. Biasa la tu, anak muda.



Ciapan seorang pengguna Twitter yang bekerja di bahagian HR di sebuah syarikat.

“Selain belajar menulis surat rasmi, di sekolah juga cikgu patutnya dah mula ajar cara menulis e-mail rasmi dan etika menghantar e-mail rasmi,” komen beberapa warga maya.

Justeru, penting untuk setiap individu yang ingin memohon pekerjaan menyemak semula emel sebelum menghantarnya untuk mengelakkan berlakunya situasi seperti ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain