suria

Toleh belakang, lori datang laju! Mangsa rempuhan imbas saat ‘melayang’ tepi jalan, nampak 2 penunggang motor maut

Ammar merupakan salah seorang mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

CUACA yang tidak menentu kebelakangan ini menjadi cabaran utama buat mereka yang menunggang motosikal.

Selain basah terkena hujan, mereka juga berisiko terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Pada Isnin petang, Mohd Ammar Zulkifli, 20, yang sedang dalam perjalanan dari Yan, Kedah ke Bayan Lepas, Pulau Pinang menjadi mangsa rempuhan sebuah lori ketika dia berhenti berteduh di bawah sebuah jejambat di KM92.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, dekat Sungai Petani, sekitar 2.40 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai nyaris kemalangan, lelaki ini pilih baiki sendiri jalan yang dah lama berlubang... ada alasan ‘masuk akal’ kenapa tak buat aduan!

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri trauma akibat kemalangan, suami asal Tajikistan tiba-tiba minat nak beli motor... ramai ajak konvoi lepas viral, siap suruh beli RXZ

Bercakap kepada mStar, dia yang senang disapa Ammar mendedahkan kini sedang berehat di kediaman keluarganya di Yan selepas menerima rawatan di Hospital Sungai Petani pada petang kejadian.

"Saya dari kampung, nak balik ke Pulau Pinang untuk bekerja. Saya bertolak pukul 2, kejadian berlaku dalam 2.40 petang. Masa tu pun saya dah basah kena hujan, jadi saya berhenti di bawah jejambat.

"Ada beberapa motor lain sedang berteduh. Tak sampai lima minit pun saya berhenti. Masa tu saya pun dah nak gerak semula. Saya nak ke depan tapi rasa tak sedap hati. Saya toleh ke belakang, nampak lori datang laju.

ammar2

Ammar menerima rawatan di Hospital Sungai Petani pada Isnin.

"Masa tu, saya dah tak tahu nak fikir apa. Fikiran jadi kosong. Tiba-tiba saya dah terlambung ke belah kiri jalan. Motor saya memang total lost, saya baru saja beli motor itu empat bulan lepas," ujarnya yang sudah tujuh bulan bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Selain dirinya yang mengalami kecederaan bahu dan kaki, Ammar akui masih terkejut dengan kejadian itu yang menyebabkan dua lagi penunggang motosikal maut.

Saya terima jahitan di kaki dan tulang di bahu belah kanan lari sikit. Kaki juga membengkak sebab luka dalam.

AMMAR

"Selepas rempuhan, saya call ayah. Masa tu saya difahamkan seorang dah meninggal. Seorang lagi kritikal, tak lama kemudian dia juga meninggal. Kiranya dua orang yang meninggal. Saya ucapkan salam takziah buat keluarga mangsa.

"Sekarang ni saya cuti dua minggu. Saya terima jahitan di kaki, tulang di bahu belah kanan lari sikit. Kaki juga membengkak sebab luka dalam. Selepas dirawat, semalam juga saya dah balik rumah," ujar anak kelima daripada enam beradik itu.

Menurut Ammar, dia juga ada berkongsi rakaman selepas rempuhan itu menerusi TikTok sehingga ia tular dan meraih lebih setengah juta tontonan.

ammar 7

Antara mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

Namun katanya, video itu tiba-tiba lesap, dipercayai disekat oleh TikTok kerana kandungannya yang sensitif.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kesemua sembilan buah motosikal berada di lokasi kejadian kerana mencari tempat berteduh dari hujan lebat dan tidak mengenali di antara satu sama lain.

Akibat kemalangan, dua penunggang motosikal dikenali sebagai Mohd Amirul Ismail, 28, dari Kampung Seberang Chegar, Anak Bukit dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, dari Taman Seri Marina, Kuala Kedah meninggal dunia akibat parah di kepala, lapor Sinar Harian.

ammar 4

Kejadian berlaku sekitar 2.40 petang, Isnin.

Menurut Adzli, tangkapan telah dilakukan ke atas pemandu lori berusia 28 tahun dan permohonan reman dibuat pada pagi Selasa.

Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif dan ujian EBA II juga didapati bebas alkohol.

Kes disiasat bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain