suria

Roti canai ‘banjir’ ada ulat! 5 sekawan rasa nak muntah, dapat extra lauk pertama kali singgah makan di gerai viral... pekerja tak minta maaf pun

Bulatan merah menunjukkan ulat yang ditemui dalam hidangan roti canai.

PEKENA roti canai, dicicah bersama kuah kari atau kuah kacang dal 'banjir' pasti terangkat!

Sememangnya roti canai merupakan makanan kegemaran rakyat Malaysia sepanjang masa.

Namun kecoh satu video tular menunjukkan sepinggan roti canai 'banjir' mengandungi 'perisa tambahan' berupa seekor ulat!

ARTIKEL BERKAITAN: Dah makan banyak, tiba-tiba nampak benda bergerak celah nasi dengan salmon... agak-agak apa yang berlaku selepas itu?

ARTIKEL BERKAITAN: Separuh roti dah dimakan, tapi rupa-rupanya berintikan ulat!

Berkongsi pengalaman, Ahmad Idham Ahmad Hamzah berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10 pagi Jumaat ketika menikmati sarapan di sebuah gerai di Georgetown, Pulau Pinang.

"Saya bersama empat rakan dari Taiping berjalan-jalan ke Pulau Pinang. Gerai ni agak popular sebab sebelum ni pernah lalu tapi selalu ramai orang atau roti canai dah habis.

"Tapi semalam tak ramai orang, itu yang kami singgah makan di situ. Tapi tak sangka pula lain pula jadinya, baru pertama kali saya makan di gerai tu," katanya kepada mStar.

roti canai ulat 2

Idham berkongsi pengalamannya bersama rakan-rakan ke sebuah kedai makan.

Lebih mesra disapa Idham, dia yang berusia 20 tahun itu memberitahu, empat daripada mereka masing-masing menikmati roti canai biasa bersama seketul ayam dan kuah sambal.

"Yang ada ulat tu daripada roti canai seorang kawan, dia baru makan sikit sebelum dia tegur nampak macam ulat. Bila kami tengok, memang sah itu ulat sampah warna putih.

"Saya dan dua lagi rakan dengan roti canai yang dah nak habis terus berhenti makan. Kami panggil pekerja gerai tu dan mengadu roti canai ada ulat," ujarnya yang berasal dari Taiping, Perak.

Namun, tindakan pekerja tersebut amat mengejutkan apabila mengambil pinggan yang mengandungi ulat tersebut sebelum datang kembali ke meja menghantar roti canai baru.

"Kami beritahu roti canai ada ulat. Tak minta maaf, pekerja ambil pinggan yang ada 'roti canai ulat' dan ganti dengan yang baru. Sudah tentu kami dah tak nak makan, tak ada selera.

"Kawan saya yang nyaris termakan ulat tu rasa mual macam nak muntah. Kami bertiga yang dah nak habis makan tak boleh nak fikir, terbayang adakah kami termakan ulat?" kata Idham sambil menambah ulat tersebut telah mati ketika ditemui di sebalik sajian roti canai.

roti canai ulat 3 W

Makanan dan minuman yang dipesan Idham dan rakan-rakan.

Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, peniaga tersebut dikatakan mahu memberi bayaran balik di atas makanan yang yang telah dibayar makan sebelum makan.

"Kami tunggu kira-kira 10 minit, tapi orang yang sama tak datang-datang pun kat meja. Kami tak nak buat kecoh, jadi terus beredar dari situ.

"Memang serik nak makan di situ lagi. Patulah masa datang rasa sesuatu tak kena bila tengok meja pun kotor, berhabuk dan melekit sebelum dilap," katanya sambil menambah kos keseluruhan makanan dan minuman berjumlah lebih RM30.

Sebelum pergi ke mana-mana kedai yang viral, periksa dahulu kedai tu bersih atau tidak. Peniaga pun walaupun berniaga di tepi jalan, kebersihan harus diutamakan.

AHMAD IDHAM AHMAD HAMZAH

Mengenai video yang dikongsi menerusi aplikasi TikTok hingga meraih lebih 700,000 tontonan, Idham menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berkunjung ke mana-mana premis makanan terutama yang tular di media sosial.

"Sebelum pergi ke mana-mana kedai yang viral, periksa dahulu kedai tu bersih atau tidak. Peniaga pun walaupun berniaga di tepi jalan, kebersihan harus diutamakan.

"Ramai komen yang datang gerai tu memang kotor dan sebelum ni pernah diperiksa oleh pihak berkuasa kerana kotor,” katanya.

roti canai ulat 4

Idham (tengah) dan rakan-rakan berkunjung ke Pulau Pinang dari Taiping.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman mereka berkunjung di kedai makan sama.

"Aku makan. Balik KL, cirit-birit teruk. Lepas tu kalau datang takkan repeat dah.”

"Hari tu aku pergi. Termenung, tak makan pun. Bayar balik terus hahaha.”

"Pernah datang sini makan, sudu dia kasi tu masih ada sisa makanan, terpaksa cuci guna wet tissue. Banyak lalat dan dekat dengan tong sampah. Kembang tekak," demikian antara komen netizen.

Pada akhir 2019, dilaporkan dua premis termasuk kedai roti canai popular di Georgetown, diarah tutup selama 14 hari, selepas dapurnya didapati tercemar dengan najis tikus dan lipas.

Arahan itu dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas dua kedai berkenaan, masing-masing di Jalan Datuk Keramat dan Jalan Transfer, diperiksa oleh semasa Ops Penutupan Premis.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain