suria

Cemas pipi anak usia 2 tahun tertusuk berus gigi, ingatkan trauma tapi menangis sebab lapar... ibu tak sangka dapat ‘request’ sebelum masuk OT

Fina berkongsi kisah mulut anaknya tertusuk berus gigi.

SIAPA sangka berus gigi yang dilihat tidak membahayakan boleh mendatangkan kemalangan.

Begitulah detik cemas yang dialami seorang ibu apabila sebatang berus gigi tertusuk ke dalam mulut anaknya yang masih kecil.

Berkongsi pengalaman, ibu kepada kanak-kanak itu, Fina Arif berkata, kejadian berlaku pada anak lelakinya yang berusia dua setengah tahun, pada Februari tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas hitamkan mata anak suka main telefon, wanita ini dedah dirinya pula 'disekolahkan' si kecil ketika syok layan filem Tamil

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat mak ayah kaki hiking, bayi usia 2 tahun dah 5 kali sampai puncak gunung... perlu banyak persediaan termasuklah hafal lagu Itsy Bitsy Spider

Wanita berusia 40 tahun itu memberitahu, anaknya yang lasak bersiap sedia untuk berus gigi selepas menikmati sarapan.

"Saya pakaikan tuala pada anak, dia kemudian berlari dengan berus gigi masih dalam mulut. Dia sambung naik atas katil di bilik tidur pula. Saya kata jangan berlari, nanti jatuh katil.

"Tak sampai lima minit, anak betul-betul jatuh. Saya yang berada di situ terus mendapatkan anak, tengok tangan dia kalau patah. Alhamdulillah tak patah," katanya kepada mStar.

tertusuk berus gigi mainpic 5 W

Fina (kanan) membawa anaknya bagi mendapatkan rawatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, katanya, dia cuba menenangkan anaknya yang lebih mesra disapa Emir dengan menarik keluar berus gigi dari dalam mulutnya.

"Saya cuba cabut, tarik tapi tak boleh. Ingatkan berus gigi tersangkut antara gigi, tapi rupa-rupanya tertusuk ke dalam isi pipi kirinya.

"Masa tu cuma berdarah sikit, mungkin tusukan berus gigi tu menahan daripada lebih banyak darah keluar. Saya terus panggil suami untuk bawa anak ke klinik," ujarnya yang menetap di Denai Alam, Selangor.

tertusuk berus gigi 2 W

Anak Fina selepas pembedahan di hospital.

Menurut Fina, dia mengakui panik sehingga menjerit memanggil nama suami pada mulanya namun terpaksa menahan diri bagi memastikan keadaan anaknya terkawal.

"Sampai ke klinik, doktor pun takut nak pegang. Kami dinasihatkan supaya terus bawa anak ke hospital. Masuk kecemasan dan perlu menunggu giliran untuk pembedahan.

"Anak pula perlu berpuasa sebelum dibius untuk pembedahan. Kasihan dia menangis kelaparan sementara tunggu masuk OT (dewan bedah).

"Syukur anak jenis tahan sakit. Cuma menangis selepas jatuh katil dan bila saya rakam video dia dalam perjalanan ke hospital juga masa minta makanan sebab lapar," katanya yang membawa anaknya itu mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta dekat Subang.

tertusuk berus gigi 1 W

Fina (kanan) bersama Emir.

Mengenai anak bongsu daripada dua beradik itu yang kini berusia empat tahun, Fina terkejut saat anaknya membuat permintaan sebelum masuk ke dewan bedah pada pukul 8 malam.

"Saya sangka dia akan trauma dengan berus gigi. Tapi tidak, sebaliknya dia request nak berus gigi baru sebab berus gigi yang tertusuk dalam mulut dia ada kesan darah.

Mujur berus gigi tertusuk di bahagian dalam tepi mulut, kalau tembus ke luar kulit atau ke tekak, keadaan lebih parah.

FINA ARIF

"Esok pagi terus makan banyak sebab lapar sangat pada hari sebelumnya," katanya yang merupakan stokis bagi produk penjagaan rambut, kulit dan kuku.

Fina yang juga pelatih bagi aktiviti menyelam berkata, setiap kejadian yang berlaku adalah ketentuhan Tuhan meskipun ibu bapa memantau pergerakan anak-anak sepanjang masa.

tertusuk berus gigi 5 W

Anak Fina ceria menggunakan berus gigi baharu.

Jelasnya, ibu bapa perlu mengawal diri dan jangan terlalu panik, termasuk berfikir dan bertindak pantas apabila berlaku kecemasan.

"Bila nak jadi, tetap akan jadi jika ditakdirkan. Malang tak berbau. Nasihat saya, kalau ada anak terutama yang lasak, pastikan ada insurans perubatan untuk mereka.

"Mujur ada insurans untuk anak-anak. Kos keseluruhan pembedahan anak hampir RM11,000. Itu baru satu malam di wad dan esok discaj, bayangkan kalau bermalam-malam.

"Syukur anak saya selamat. Doktor kata mujur berus gigi tertusuk di bahagian dalam tepi mulut, kalau tembus ke luar kulit atau ke tekak, keadaan lebih parah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain