suria

Hanya satu kosong itupun diletak kerusi cop parkir, bapa anak istimewa bengang peniaga selamba minta alihkan kereta... kenapa nafikan hak OKU!

Isma Nizam akui kesal apabila kemudahan tempat letak kereta OKU disalah guna oleh peniaga di kompleks sukan itu.

ISU salah guna tempat letak kereta Orang Kelainan Upaya (OKU) bukanlah satu yang baru.

Kali ini, seorang lagi individu tampil berkongsi pengalaman sama yang dilaluinya di sebuah kompleks sukan di Klang, Selangor pada Ahad minggu lalu.

Cerita Isma Nizam Norahman, 34, dia hadir ke pusat rekreasi itu bersama anak istimewanya, Ahmad Baihaqi, 5, untuk beriadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Cop parking! Lelaki ini anggap anak-anaknya ada rezeki berdepan golongan ‘cacat mental’, “Laju-laju dia keluar berdiri kat kotak”

ARTIKEL BERKAITAN: Seram! 'Suspek' warga emas cop parking guna batu nisan, “Kali pertama tengok terkejut, lepas tu rasa marah pun ada”

Imbasnya, dia berdepan kesulitan untuk meletakkan kereta di ruang parkir OKU kerana ia telah ditanda dengan kerusi oleh seorang peniaga.

"Sebenarnya dah banyak kali berlaku. Cuma hari tu saya geram sikit, juga terkilan. Isteri saya bekerja, jadi saya sendirian bawa anak ke taman. Masa tu hampir semua parkir OKU dah penuh.

"Saya pusing kereta hinggalah jumpa satu petak parkir OKU yang kosong. Tapi ia ditanda dengan kerusi plastik. Saya alihkan kerusi dan masukkan kereta. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang tegur.

"Dia minta saya alihkan kereta sebab dia nak masukkan van berniaga. Saya cakap dengan dia, saya bawa anak OKU. Dia dengan muka selamba tetap suruh saya alihkan kereta.

isma 3

Ahmad Baihaqi kini berusia lima tahun.

"Saya cakap lagi sekali saya bawa anak OKU. Apa masalah untuk saya letak kereta di petak itu? Kenapa nak kena alih? Kemudian dia cakap sorry, terus dia pergi," ujarnya.

Menurut perunding takaful yang menetap di Klang itu, dia kesal dengan kejadian berkenaan kerana sebilangan rakyat negara ini masih kurang sensitif dengan hak orang OKU.

Kepada peniaga mahupun orang ramai, janganlah buat macam tu sebab ia bukan hak kita. Tempat itu sudah digazetkan untuk OKU.

ISMA NIZAM

Tambah Isma Nizam, dia juga mahu kempen berkaitan dan penguatkuasaan terus dipergiatkan oleh pemimpin dan pihak berkuasa agar golongan OKU tidak terus ditindas sedemikian rupa.

"Kalau saya datang dengan isteri, saya akan turunkan isteri dan anak, kemudian saya akan letak kereta di ruang parkir biasa. Cuma hari tu, saya bersendirian bawa anak, saya memang kena guna parkir OKU.

"Kepada peniaga mahupun orang ramai, janganlah buat macam tu sebab ia bukan hak kita. Tempat itu sudah digazetkan untuk OKU. Saya harap kita semua ada sivik. Kena guna akal. Kita tak rasa apa yang orang OKU lalui.

isma 2

Isma Nizam bersama isteri dan anaknya.

"Isu ini berlarutan sudah lama. Saya harap pihak berkuasa tegas buat rondaan. Dah jadi satu masalah bila kita menafikan hak OKU, ia akan jadi barah dalam masyarakat.

"Bukan sekadar tempat letak kereta, tandas OKU pun disalah guna, digunakan orang tak berkenaan. Kempen kena selari dengan penguatkuasaan," ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, Isma Nizam berkata anak keduanya itu mengalami kecederaan dalam otak sejak dalam kandungan dan dilahirkan sebagai penghidap cerebral palsy, yang mempunyai masalah dari bahagian pinggang ke bawah.

isma 4

Si comel ini mengalami kecederaan dalam otak sejak dalam kandungan.

Jelasnya, si bongsu itu baru sahaja boleh berjalan pada tahun lalu, namun perlu menggunakan bantuan reverse walker.

Selain kesukaran berjalan, anaknya turut mengalami komplikasi buah pinggang bengkak dan masih menjalani rawatan susulan sehingga ke hari ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan