suria

Muda-muda dah jadi cef di hotel, kelab golf... pemuda ini kongsi realiti di belakang dapur, dedah salah satu punca masakan tak sedap

Hadi akui tak terlepas menerima komen-komen kurang enak, namun menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya.

AKSI tangkas jejaka ini beraksi di dapur ketika menghasilkan hidangan barat meraih perhatian netizen.

Dalam tempoh kurang 24 jam, video yang dikongsi Muhd Hadi Nor Haidi 'meledak' di media sosial sehingga meraih lebih 700,000 tontonan.

Di sebalik video tular itu, siapa sangka cef muda berusia 22 tahun ini masih lagi 'hijau' dalam bidang yang diceburinya.

ARTIKEL BERKAITAN: 7 tahun beraksi di dapur hotel, cef bawa diri ke Sabah selepas berhenti kerja... apa sebenarnya yang dicari-cari?

ARTIKEL BERKAITAN: Cef viral murah senyuman dah move on selepas ‘kehilangan’... akui lesung pipit jadi tarikan, cuma jodoh tak kunjung tiba

Ketika dihubungi mStar, anak jati Pahang yang senang disapa Hadi itu sempat memperincikan perjalanannya dalam bidang Kulinari sehingga berjaya menempatkan diri sebagai cef di sebuah kelab golf di ibu negara.

"Saya baru habis belajar tahun lepas. Ketika itu masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya jadi down, kawan yang ambil bidang lain dah boleh bekerja. Saya pula jadi tersangkut sebab banyak restoran tutup.

"Masa tu saya mula salahkan diri, rasa menyesal ambil kulinari. Tapi saya tak putus asa, saya buat bisnes jual sushi dan Vietnamese roll. Lepas tu baru saya beranikan diri lompat masuk hotel.

"Masa belajar dulu pun saya pernah part time di hotel. Kalau nak dikira, sehingga hari ini saya dah bekerja di empat hotel dan dua kelab golf. Di tempat baharu ni, saya dah enam bulan bekerja. Saya major dalam masakan barat," ujarnya.

hai 2

Hadi banyak belajar memasak melalui internet.

Mengimbas zaman kanak-kanaknya, anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui minat memasak timbul dengan sendiri.

Dia kemudiannya memanfaatkan kewujudan internet untuk mempelajari pelbagai resipi sehinggalah melengkapkan pengajian dalam bidang tersebut di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) pada tahun lalu.

Ibu bapa saya beri sokongan, janji saya gembira. Mereka tak pernah bandingkan anak orang lain jadi doktor, jurutera dan sebagainya.

HADI

"Saya bermula sejak kecil lagi. Dulu, kalau saya bising di dapur mesti mak marah. Tapi akhirnya dia perasan saya suka duduk di dapur. Jadi dia akan bagi periuk untuk saya bermain dan tak kacau dia memasak.

"Mak saudara saya juga berniaga nasi lemak. Jadi pada waktu itu saya terdetik nak jadi cef. Tapi saya masih ragu. Adakah itu pilihan tepat? Hidangan pertama saya hasilkan adalah paprik ayam ketika umur 10 tahun.

"Mak tak banyak ajar saya memasak, cuma Alhamdulillah saya manfaatkan internet untuk cari menu masakan yang saya nak buat. 100 peratus internet. Masuk bidang ini ibarat jadi saintis, kena sentiasa bereksperimen," ujarnya yang membesar di Terengganu.

hadi 3

Kata jejaka ini, juadah yang dimasak tanpa keikhlasan sudah tentu rasanya tidak sedap.

Menurut Hadi lagi, dia bersyukur apabila keluarga memberikan sokongan penuh terhadap bidang yang diminati.

Sepanjang perjalanan dalam bidang itu, dia akui tak terlepas menerima komen-komen kurang enak, namun menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya.

"Ibu bapa saya beri sokongan, janji saya gembira. Mereka tak pernah bandingkan anak orang lain jadi doktor, jurutera dan sebagainya.

"Saya juga pernah alami mulut-mulut orang yang cakap kerja tukang masak macam perempuan. Tapi kata-kata itu bukanlah dari ahli keluarga saya. Pada saya, itu minat yang saya nak kejar, jadi saya abaikan," ujarnya lagi.

hadi 4

Video yang dikongsi cef muda ini meraih lebih setengah juta tontonan di TikTok.

Mengulas video tular di TikTok, Hadi berkata dia sekadar mahu berkongsi realiti sebenar di dapur yang mungkin tidak diketahui ramai.

Selain memuji ketangkasan Hadi yang kelihatan serius di dapur, ada netizen wanita turut meninggalkan komen yang berpendapat lelaki pandai memasak sebagai 'cool' dan sangat menawan hati.

Jelas Hadi, dia bersyukur dengan segala komen positif netizen dan berharap ia dapat memberi inspirasi kepada anak muda yang mahu menceburi bidang sama.

hedi 9

Anak jati Pahang yang membesar di Terengganu ini minat memasak sejak kecil lagi.

"Saya terfikir, kenapa tak ramai content creator Malaysia yang buat video di dapur, yang tunjukkan betapa sukarnya nak masak sesuatu hidangan. Sampai bergaduh di belakang sebelum sampai kepada pelanggan.

"Ini realiti sebenar di dapur, kucar-kacir yang berlaku. Saya terkejut video itu viral. Pesanan saya kepada adik-adik yang tengok rancangan memasak di TV, jangan tertipu. Hakikatnya tak sama macam TV.

"Saya pernah kerja berdiri sampai 18 jam. Tapi penat akan bertukar jadi senyuman bila dengar pujian pelanggan. Memasak tak boleh dipaksa, ia kena datang dari hati. Kalau memasak kerana terpaksa, mesti rasanya tak sedap," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain