suria

Akibat curi kulit siput di pulau, pelancong didatangi makhluk misteri waktu malam... mujur lifeguard buka mulut, pulangkan ke tempat asal

Ra'id berkongsi kisah itu sebagai peringatan buat pelancong di luar sana.

APABILA 'masuk' ke tempat orang, kita wajar menjaga tutur kata dan tingkah laku.

Minggu lalu, seorang pelancong di Pulau Tioman, Pahang mengalami gangguan mistik selepas dia membawa pulang cengkerang dan kulit siput dari pantai ke resort penginapannya.

Menurut Ra'id Faykar Radzali, 27, yang bertugas sebagai lifeguard di pulau itu, pelancong lelaki berkenaan membuat aduan selepas tidur malamnya terganggu dek kedatangan entiti misteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah menyesal pindah ke Tioman sejak 6 tahun lalu, ‘Merman Pulau’ akui lebih tenang... paling sempoi ada hati nak jadi duyung jantan!

ARTIKEL BERKAITAN: Indah namun sepi pengunjung! Perkongsian ‘Gadis Pulau’ buat ramai tak keruan, tak sabar nak ke Tioman - “Rumah saya 10 meter je dari pantai”

"Kejadian berlaku pada Khamis. Masa pergi snorkeling, kita dah brief kat setiap tempat bahawa coral, kulit siput dan apa sahaja tidak boleh diambil.

"Pertama, ia sudah termaktub dalam undang-undang Taman Laut. Keduanya, kita risau benda-benda ghaib yang mungkin berlaku.

"Masa balik snorkeling, kami tak tahu dia ada ambil sesuatu dari Tulai Island. Pagi esok dia datang jumpa lifeguard resort, dia kata dia kena 'ziarah' malam tadi," imbasnya ketika dihubungi mStar.

Senang disapa Ra'id, jejaka itu berkata dia tidak menceritakan dengan lanjut mengenai apa yang berlaku, namun bertindak menghantar semula item itu bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku.

merna2

Menurut Ra'id, kejadian itu berlaku pada minggu lalu.

"Dia tak cerita habis mengenai gangguan itu. Akhirnya, saya pergi pulangkan semula cengkerang kima dan kulit siput itu ke tempat asalnya.

"Nasib baik dia kena semasa masih di Pulau Tioman. Kalau dah keluar dari pulau, pasti lebih sukar. Sebelum ini ada pelancong yang kena selepas mereka pulang.

Pagi esok dia datang jumpa lifeguard resort, dia kata dia kena 'ziarah' malam tadi.

RA'ID

"Jadi, mereka terpaksa datang semula atau pos 'barang' yang mereka dah terambil," ceritanya lagi.

Ra'id bersyukur apabila pelancong terbabit yang menetap di Salang Indah Resort itu tidak lagi mengalami gangguan selepas item-item berkenaan dipulangkan ke tempat asalnya.

Selepas insiden itu berlaku, Ra'id turut berkongsi video menerusi aplikasi TikTok bagi memberi peringatan kepada pelancong di luar sana.

Video itu sehingga kini meraih lebih 322,000 tontonan di aplikasi TikTok.

meman4

Kata Ra'id, ia bukanlah kejadian pertama yang berlaku.

"Ini peringatan untuk kita semua. Lifeguard di sini pun selalu pesan. Walaupun dah pesan, kadang-kadang ada juga yang ambil sesuatu. Peringatan ini bukan untuk Pulau Tioman saja, malah untuk pulau-pulau lain juga.

"Di TikTok, ramai netizen turut bercerita mengenai pengalaman sendiri mengenai kes macam ni. Pengajarannya di sini, jangan sesekali ambil benda yang bukan hak kita. Jangan kerana cerita ini, anda takut untuk datang ke Pulau Tioman, air di sini tengah jernih macam kristal sekarang," ujar Ra'id berseloroh.

Dalam pada itu, Ra'id turut menzahirkan rasa syukur apabila kelonggaran yang diberikan kerajaan membolehkan destinasi pelancongan itu kembali 'bernyawa' selepas lama sepi dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas Ra'id, pengusaha pelancongan tak menang tangan menerima kunjungan pelancong, sekaligus memberi sinar positif buat mereka sepanjang tahun 2022 ini.

merman3

Keindahan Pulau Tioman yang mejadi daya tarikan pelancong.

"Baru mula buka sejak hujung Februari lalu. Alhamdulillah, sampai sekarang pelanggan tak putus. Ramai yang masuk ambil pakej. Booking pun penuh sampai awal puasa.

"Saya berharap agar tiada lagi gelombang jangkitan Covid-19. Semoga rakyat Malaysia senitasa jaga kesihatan diri," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Ra'id yang dikenali sebagai 'Merman Pulau' pernah mendapat liputan mStar pada Julai tahun lalu.

Pada waktu itu, kisahnya yang berhijrah ke Pulau Tioman untuk mencari rezeki di sana tular dan meraih perhatian ramai.

Malah, Ra'id juga aktif berkongsi video aktiviti serta keindahan pulau itu sehingga dia mengumpul hampir 80,000 pengikut di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain