suria

Umur 6 tahun dah tunjuk bakat mekap, ibu berhenti marah anak main gincu, bedak selepas tengok hasilnya... rela wajah jadi ‘kanvas’

Auni Nafisah sering merias wajah ibunya, Haslindah.

BAKAT semulajadi.

Itulah ungkapan sesuai yang dapat menggambarkan kehebatan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dari Johor Bahru, Johor.

Auni Nafisah Mohd Asri sudah mempamerkan bakat sebagai jurusolek (MUA) seawal usia enam tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi ibu... pengurus muda bukan sahaja sanggup lepaskan jawatan tapi pilih jadi 'mak andam', kini gaji dah level high class

ARTIKEL BERKAITAN: Anak lelaki umur 11 tahun dah boleh diharap mandikan bayi baru lahir, masak dan jaga ibu berpantang - “Saya sangat tegas, garang”

Malah solekan yang dikenakan pada wajah ibunya kelihatan sempurna walaupun masih tidak setanding jurusolek dewasa yang lain.

Bagi ibunya, Noor Haslindah Hasan, 36, pada awalnya dia memarahi Auni Nafisah yang lebih mesra dipanggil kakak kerana sering menggunakan alat solek miliknya.

"Awal-awal dulu memang kakak selalu kena marah sebab habis gincu saya patah dan hilang, saya pun tak gemar tengok dia main alat mekap ni semua tapi dia terus buat dan rakam.

"Sebab tu saya tahu dia selalu guna barang saya. Masa tu, dia selalu guna celak, bedak dan gincu untuk mekap adiknya. Sekarang ni, bila tengok bakat dia, saya dah tak marah... siap belikan barang berkaitan untuk dia praktis.

Bakat Auni Nafisah muncul seawal usianya enam tahun.

Bakat Auni Nafisah muncul seawal usianya enam tahun.

"Muka saya pula dijadikan 'kanvas' untuk dia memahirkan diri. Bezanya kakak, dia lebih gemar untuk solek wajah orang lain berbanding dirinya sendiri," ceritanya gembira kepada mStar.

Menurut Haslindah, selain wajahnya menjadi 'mangsa', wajah ibu saudaranya yang dipanggil mak ngah dan anak keduanya turut dijadikan 'tempat' untuk kakak mengasah bakat.

Malah kata suri rumah ini lagi, anak sulungnya itu pernah mengatakan mahu menjadi mak andam jika ibu saudaranya itu berkahwin kelak.

Noor Haslindah sedia menjadi 'kanvas' buat puteri sulungnya mencurah bakat.

Noor Haslindah sedia menjadi 'kanvas' buat puteri sulungnya mencurah bakat.

"Dia pernah cakap dekat adik saya, 'mak ngah, nanti kakak nak mekap mak ngah masa kahwin ya'. Adik saya pula hanya mengiakan sambil ketawa," katanya yang semakin memberi galakan untuk kakak menceburi bidang solekan.

Lebih menggembirakannya apabila kanak-kanak tersebut turut mendapat sokongan daripada warganet apabila videonya merias wajah dimuat naik ke laman sosial.

Kata Haslindah, anaknya lebih bersemangat kerana menerima pelbagai barang solek daripada orang ramai yang sanggup membuat penghantaran kepadanya.

"Bila video tu dah fyp di TikTok, tiba-tiba ada orang mesej saya dan bertanya berkenaan minat kakak. Tu yang dia rasa seronok... sebab dapat sokongan daripada luar juga.

Keluarga sentiasa memberi sokongan kepada kakak.

Keluarga sentiasa memberi sokongan kepada kakak.

"Lepas tu ada beberapa orang yang baik hati bagi kakak alat mekap. Mulanya berat hati nak terima, tapi fikirkan rezeki atas bakat dia, saya terima dengan hati terbuka.

"Mereka terus minta alamat rumah sebab nak bagi alat solek dan beberapa barangan mekap sebagai tanda sokongan. Saya rasa sangat terharu dan bersyukur sebab ramai sokong minat kakak," katanya yang menetap di Johor.

Ya. Saya benarkan kalau itu minat dan pilihan kakak. Bagi saya, selagi minat dia elok, apa salahnya saya memberi sokongan, janji apa yang dilakukannya seiring dengan pelajaran.

NOOR HASLINDAH HASSAN

Tambahnya, selepas mendapat barang-barang tersebut, anaknya semakin gembira dan bersemangat untuk merias wajah orang sekelilingnya.

Ketika ditanya sama ada dia akan membenarkan anak sulungnya memilih jurusolek sebagai kerjaya satu hari nanti, ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, dia akan menerima keputusan anaknya dengan hati terbuka.

"Ya. Saya benarkan kalau itu minat dan pilihan kakak. Bagi saya, selagi minat dia elok, apa salahnya saya memberi sokongan, janji apa yang dilakukannya seiring dengan pelajaran.

Antara netizen yang menhantar mesej sokongan kepada kakak.

Antara netizen yang menhantar mesej sokongan kepada kakak.

"Buat masa ini, saya tidak dapat menjelaskan tentang perkembangan pendidikan dia kerana dua tahun sesi pembelajaran dilakukan secara PdPR. Tapi apa yang saya boleh katakan adalah pelajaran pun dia minat.

"Subjek paling dia minat Matematik... walaupun tidak sehebat pelajar lain, kiranya pelajaran dan minat dia seimbang. Cuma pada pemerhatian saya, kakak lebih ke arah kemahiran.

"Dia juga suka mencuba sesuatu di luar kotak fikiran, tapi kalau dah minat, dia akan buat bersungguh-sungguh," jelasnya mengenai perkembangan Auni Nafisah.

Videonya merias wajah menjadi tular di TikTok dan ditonton hampir 800,000 pelayar selain mendapat 70,700 tanda suka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain