suria

Kurang ajar! 'Air kencing ikat tepi' mendarat di cermin kereta selepas potong lori di LPT, ajak berhenti nak settle tak nak... mujur ada baldi makcik jual buah

Tangkapan skrin (screenshot) daripada rakaman kamera dashcam kereta Muhammad Saifulzaman memaparkan cermin hadapannya dibaling bungkusan cecair dipercayai air kencing.

KETIKA ini kamera papan pemuka (dashcam) ibarat satu item 'wajib' untuk dipasang pada kenderaan masing-masing.

Selain untuk tujuan keselamatan pemilik kenderaan, pemasangan dashcam juga berfungsi untuk merakam apa jua insiden yang berlaku sepanjang pemanduan.

Ternyata ia sangat berguna lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan segelintir pengguna jalan raya yang kurang beradab, justeru dashcam sangat penting untuk dijadikan sebagai bahan bukti, sebagaimana insiden dialami oleh lelaki ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah terkejut tangga jatuh kena kereta baharu, tak jadi marah banding dirinya dengan pekerja kontrak - “Mungkin uncle tu kerja teruk”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ‘ajar’ pemandu kereta cuba ambil kesempatan, ‘cucuk’ belakang nak elak bayar tol... mujur dah lama pasang kamera

Menerusi perkongsian di Facebook baru-baru ini, lelaki bernama Muhammad Saifulzaman Sabirin memuat naik satu rakaman daripada dashcam memaparkan cermin bahagian hadapan keretanya terkena bungkusan dipercayai air kencing yang dibaling oleh seorang pemandu lori.

Klip rakaman berkenaan menjadi tular di laman sosial sehingga mengundang perdebatan warganet, dengan rata-ratanya mengecam tindakan pemandu lori berkenaan.

Tampil menceritakan kisah sebenar yang berlaku pada 23 Mac lalu, Muhammad Saifulzaman berkata ketika kejadian, dia dan keluarganya yang terdiri daripada lima dewasa dan seorang kanak-kanak, sedang dalam perjalanan dari Selangor ke sebuah negeri Pantai Timur untuk menghantar adiknya pulang ke kolej.

"Kejadian berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sebelum Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh. Saya memotong lori tersebut setelah kenderaan di lorong laju tiada.

"Tapi setelah berada di sebelah lori tersebut, pemandunya terus buka tingkap dan lempar plastik. Terkejut ketika bunyi 'boom'. Ada ahli keluarga yang sedang mamai nak terlelap ketika itu.

"Bungkusan itu betul-betul kena cermin (hadapan). Saya sedang fokus pada pemanduan tak perasan dari mana datang benda tu. Ada ahli keluarga yang perasan benda tu datang dari arah lori.

air kencing 1

Muhammad Saifulzaman turut berkongsi klip rakaman dashcam keretanya di laman Facebook.

"Saya potong lori tersebut dan cuba perlahankan kenderaan dan berharap lori tersebut pun dapat berhenti ketepi bersama-sama. Tapi malangnya dia di belakang kami follow rapat je.

"Saya pun kekalkan pemanduan dan keluarkan tangan lambai seperti isyarat kenapa berbuat demikian, pemandu lori cuma 'dammed' lampu sahaja banyak kali," ujarnya kepada mStar.

Menurut Muhammad Saifulzaman, dia membuat keputusan untuk singgah di R&R berkenaan untuk berehat serta mengisi perut dan dalam masa yang sama berharap agar lori berkenaan turut berhenti di lokasi berkenaan, namun hampa.

Ketika berhenti rehat, dia mengambil kesempatan untuk memeriksa cermin hadapan keretanya dan mendapati masih terdapat sisa-sisa cecair daripada bungkusan yang dibaling.

Saya pun tak ada berdendam dengan pemandu lori tersebut. Cuma tindakan dia buat tu agak kurang ajar sebab buang sampah keluar daripada kenderaan ketika bergerak laju.

MUHAMMAD SAIFULZAMAN SABIRIN

"Kesan air tu masih ada di bahagian wiper sedikit sebab sebelum itu saya dah bilas dengan air wiper. Bau tu tiada tapi jika ia kesan air manis, mesti melekitnya lain.

"Saya pinjam baldi makcik jual buah nak buat siram. Tak sempat nak cari car wash. Semasa masuk sempadan Terengganu, kena hujan lebat," ceritanya.

Tidak menyangka video berkenaan menjadi tular, Muhammad Saifulzaman berkata tujuannya membuat perkongsian agar pengalamannya dapat dijadikan iktibar buat pengguna jalan raya yang lain.

"Saya pun tak ada berdendam dengan pemandu lori tersebut. Cuma tindakan dia buat tu agak kurang ajar sebab buang sampah keluar daripada kenderaan ketika bergerak laju.

"Saya cuma nak ingatkan kepada pengguna jalan raya yang lain agar tidak berbuat demikian kerana boleh mengundang padah kepada pemandu yang jenis cepat gelabah dan boleh menyebabkan kemalangan

"Lagi satu, agar ia menjadi peringatan kepada semua agar tidak membuang sampah keluar kenderaan. Saya berharap benda ni tak diperbesarkan dan jadi isu yang sensitif... cuma peringatan bersama saja," tambahnya lagi.

komen air kencing

Antara komen netizen terhadap perkongsian video berkenaan.

Video tersebut turut dikongsikan di laman Facebook Malaysian Crime Watch (MyWatch) dan sehingga kini meraih lebih daripada 1,300 jumlah tontonan.

Menjengah ke ruangan komen, majoriti warganet mengecam tindakan pemandu lori berkenaan yang disifatkan tidak berhemah dan tidak mempunyai kesedaran sivik.

"Nasib bukan objek keras. Kalau terkena penunggang motosikal macam mana? Pengetahuan sivik kena ada, bukan pada diri sendiri tetapi juga orang sekeliling.

"Kalau minum air tak habis jarang dibuang keluar... mesti air kencing ni.

"PDRM patut saman orang yang buang sampah keluar dari kenderaan," demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain