suria

Ramai buntu dibuang kerja secara ‘unfair’, jangan terlalu lama bersedih tapi bertindak cepat! Peguam ini share panduan dari A hingga Z

Menerusi satu bebenang, Nas Rahman berkongsi prosedur yang patut dilakukan jika seseorang dipecat secara tidak adil. Gambar hiasan

DALAM tempoh seminggu kebelakangan ini, media sosial hangat membicarakan beberapa pengumuman penting yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara topik yang diperkatakan adalah keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang ternyata cukup melegakan hati ramai.

Satu lagi topik yang turut menjadi perbualan hangat adalah pengumuman perdana menteri mengenai keputusan kerajaan yang meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga 8 beranak lalui tempoh sukar, 2 kali ketua keluarga dibuang kerja... tak mahu lari dari masalah, suri rumah buat 2 job biaya keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: Plan nak keluarkan RM10,000 wang KWSP, dah fikir apa nak buat? Trader kongsi ilmu biakkan duit, yang pasti elak pelaburan saham

Menurut perdana menteri, pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sebagaimana yang dijangka, pengumuman berkenaan mendapat reaksi yang pelbagai daripada rakyat.

Di kala sebahagian rakyat menarik nafas lega, terdapat pula segelintir golongan yang terkena 'tempias' tidak baik di mana mereka terpaksa diberhentikan kerja kerana majikan tidak mempunyai pilihan ekoran tidak mampu membayar gaji dengan jumlah sedemikian.

Ramai yang meluahkan kesedihan di laman sosial meratapi nasib masing-masing dan situasi tersebut mendapat perhatian seorang peguam.

kerja 1

Ramai yang buntu dan tidak arif mengenai tindakan yang patut dilakukan sekiranya dipecat. Gambar hiasan

Menerusi satu bebenang di Twitter, peguam yang lebih senang dikenali sebagai Nas Rahman berkongsi panduan yang perlu dilakukan sekiranya seseorang dipecat secara tidak adil (unfair dismissal).

"Semalam tengok TikTok pasal seorang ni kena buang kerja dengan bos dia sebab bos dia cakap tak mampu bayar gaji minimum RM1,500.

"Ini dikira unfair dismissal ye guys. Majikan tak boleh terminate suka hati. Kalau korang kena macam ni, buat aduan ke JPP untuk kes unfair dismissal. JPP bermaksud Jabatan Perhubungan Perusahaan," tulisnya.

Menurut peguam berkenaan, sesiapa sahaja boleh membuat aduan ke JPP untuk mencabar kes dipecat secara tidak adil oleh majikan, tanpa mengira berapa had gaji seseorang.

Bila kita rasa kena buang kerja secara tak betul macam ni, jangan ambil masa lama sangat untuk bersedih. Kena bertindak cepat!

NAS RAHMAN

PEGUAM

Menerusi satu pautan berasingan, peguam tersebut berkongsi prosedur untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang melakukan pemecatan secara tidak adil.

"Sebenarnya, ramai je yang tak puas hati bila kena buang kerja tapi ramai yang tak ambil tindakan sebab tak tahu caranya.

"Pertama sekali, kita kenal pasti dulu apa jenis-jenis buang kerja yang selalu berlaku. Antaranya kena buang dengan alasan masalah disiplin, prestasi kerja, pemberhentian kerja (retrenchment), tenaga kerja berlebihan (redundancy), syarikat atau cawangan tutup, dipaksa letak jawatan, pembuangan kerja secara konstruktif atau dibuang tanpa alasan langsung.

"Bila kita rasa kena buang kerja secara tak betul macam ni, jangan ambil masa lama sangat untuk bersedih. Kena bertindak cepat!

"Pertama, perlu buat aduan ke JPP dalam masa 60 hari dari tarikh pembuangan kerja atau tarikh akhir kerja. Apabila aduan sudah dibuat, pegawai JPP akan menetapkan tarikh bagi suatu proses Runding Damai," terangnya.

nas

Nas Rahman adalah seorang peguam di Messrs Nas Rahman & Co.

Tambahnya, sekiranya kes tidak selesai di peringkat JPP, pekerja tersebut boleh meminta pegawai JPP untuk merujuk kes ke Mahkamah Perusahaan bagi memulakan prosiding.

"Semasa sebutan kes sehingga sebelum bicara, mana-mana pihak boleh mengusulkan supaya proses Mediasi dijalankan terlebih dahulu. Sekiranya masih tiada sebarang persetujuan, barulah mahkamah teruskan dengan bicara penuh.

"Perbicaraan biasanya akan mengambil masa beberapa hari bergantung kepada bilangan saksi dan hari bicara tidak semestinya berterusan kerana bergantung kepada jadual Mahkamah.

"Dalam kes yang mana pekerja menang, majikan perlu bayar pampasan yang diberikan dalam masa 30 hari dari tarikh Award atau keputusan," tulisnya lagi.

Perkongsian tersebut sehingga kini meraih lebih 10,500 ulang kicau (retweet).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain