KERAP kali kita dihidangkan dengan kisah jenayah seksual membabitkan mangsa yang terdiri daripada anak-anak kecil. Apa yang lebih membimbangkan, pelaku jenayah tersebut adalah dalam kalangan insan yang dikenali mangsa. Bagi kebanyakan kes, pelaku jenayah ini begitu licik kerana mensasarkan kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa, dan dalam masa yang sama 'bijak' menyembunyikan perbuatan terkutuk mereka agar tidak dapat dihidu oleh ibu bapa mangsa. ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa Uncle S tonyoh muka kakak pada kemaluan dia?” - Anak jadi mangsa nafsu rakan bapa, hanya menggigil tahan air mata dengar penjelasan doktor ARTIKEL BERKAITAN: Mengejutkan! Petugas makmal hospital dedah hakikat nafsu serakah tak kenal mangsa, tempat - “Dari meraba sehingga tiada pilihan melainkan melayan” Bagaimanapun bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Perbuatan terkutuk seorang remaja yang baharu menginjak usia 14 tahun terbongkar selepas mangsanya, seorang kanak-kanak perempuan berusia hampir tiga tahun, membuka mulut. Kisah tragis yang menimpa kanak-kanak perempuan tersebut dikongsikan di Facebook oleh seorang aktivis kemasyarakatan, Natipah Abu, selepas diceritakan kembali oleh ibu mangsa yang dikenali sebagai Nor Syafiqah. Kad temujanji untuk si kecil bertemu pakar psikiatri dan pakar obstetrik & ginekologi (O&G). "Anak yang saya tatang bagai minyak yang penuh, dirogol orang yang dikenali kami dalam sekelip mata. Sepantas kilat kejadiannya. Selama ini, tidak pernah sekali pun anak saya berpergian jauh dari rumah tanpa mengkhabari saya. "Tertuduh bukanlah orang lain. Dia ada pertalian darah yang dekat dengan kami sekeluarga. Jadi bagaimanalah hendak mencurigai dia. Tambahan pula apa yang berlaku tidak pernah wujud dalam kotak fikiran saya," tulis Natipah, sebagaimana perkongsian si ibu kanak-kanak malang berkenaan. Menurut wanita berkenaan, selepas kejadian tersebut, keluarganya dijadikan seperti musuh oleh sanak saudara sendiri kerana menuduh mereka mengada-adakan cerita. Kanak-kanak kecil yang tidak berdosa itu menjadi mangsa nafsu serakah darah daging sendiri. Gambar hiasan Lebih malang, usahanya untuk bersemuka dengan ibu tertuduh bagi mencari penyelesaian, sentiasa berakhir dengan perbalahan. "Saya hanya ingin menuntut keadilan buat anak saya yang masih kecil. Sedih, marah dan kecewa saya hanya Tuhan saja yang tahu. Menuduh kami memburukkan tertuduh, saya dan keluarga dipulaukan saudara mara. "Kami diminta keluar dari rumah pusaka milik arwah ibu yang didirikan atas tanah warisan atas alasan tanah itu bukanlah hak milik ibu. Dosa apakah anak sekecil itu maka dia dituduh menipu sedangkan anak saya disahkan ada kesan 'kemasukan' di kemaluannya. "Di saat kami sangat memerlukan sokongan saudara mara terdekat, kami terpaksa menerima hakikat dibuang saudara mara," kongsi ibu berusia 29 tahun berkenaan. Saya hanya ingin menuntut keadilan buat anak saya yang masih kecil. Sedih, marah dan kecewa saya hanya Tuhan saja yang tahu. NOR SYAFIQAH IBU MANGSA Selepas berfikir dan membuat pelbagai pertimbangan, menurut Natipah, wanita tersebut dan keluarganya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah pusaka milik arwah ibunya dan berhijrah dari kampung halaman. "Kini saya dan suami yang hanya kerja kampung sudah habis semua wang dan terpaksa meminjam apabila kami terpaksa pindah dari rumah pusaka arwah ibu. "Saya nekad hendak membantu suami menambah pendapatan dengan menjual aneka kek di gerai. Saya sangat berminat membuat kek dan saya pernah mengikuti kelas membuat kek. "Saya ingin berniaga bagi membantu suami membina semula ekonomi keluarga kami yang merudum sejak peristiwa itu. Natipah merupakan seorang aktivis yang aktif dalam lapangan kebajikan dan kemasyarakatan sejak lebih 10 tahun lalu. "Semoga kisah saya ini menjadi teladan buat semua ibu-ibu yang ada anak perempuan. Tak kira berapa usia anak itu, jangan sekali-kali mempercayai siapa pun yang ada di sekelilingnya," kongsi wanita itu lagi. Sehubungan itu menurut Natipah, dia menggerakkan inisiatif Sedekah Jumaat bagi membantu Nor Syafiqah mengusahakan gerai makanan demi membina semula hidup baru mereka sekeluarga. Sehingga kini perkongsian Natipah di laman Facebook meraih 140 share. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI