suria

Kecoh budak pra sekolah stres nama panjang, tak usul periksa ibu bapa Amanda sakan dihentam... ada kata tak kelakar, siap minta JPN pantau!

Amanda dikatakan stres kerana namanya panjang.

NAMA melambangkan identiti seseorang, oleh itu acap kali kita mendengar ibu bapa mengambil masa yang lama bagi mendapatkan nama terbaik untuk anak-anak mereka.

Malah pernah suatu ketika, pemberian nama anak melebihi dua perkataan dan panjang menjadi trend dalam kalangan rakyat Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa namakan 4 anak dengan hanya 1 huruf... alasannya kalau nama panjang pun tetap disebut pendek

ARTIKEL BERKAITAN: Sempoi! Suami isteri namakan 11 anak dengan 4 huruf sama

Sebagai anak, siapalah kita untuk menghalang ibu bapa daripada memberikan nama yang diminati mereka.

Bagaimanapun, tular di media sosial apabila seorang kanak-kanak menangis ketika menulis namanya di buku.

Perkongsian yang dibuat oleh ibu saudaranya itu menjadi tular kerana keletah kanak-kanak tersebut yang seakan-akan tertekan dengan namanya sekali gus mengundang reaksi warganet.

Menerusi video berdurasi 30 saat itu, kanak-kanak tersebut turut meminta namanya ditukar supaya lebih pendek.

Amanda petah berkata-kata walaupun baru berusia 5 tahun.

Amanda petah berkata-kata walaupun baru berusia 5 tahun.

"Nama... panjang sampai 10, tukar bagi Inara (adik)," katanya sambil menangis.

Bagaimanapun ibunya hanya memberi reaksi ketawa selepas melihat gelagat anaknya itu.

Rata-rata netizen pula menzahirkan rasa simpati terhadap kanak-kanak tersebut dan turut mengecam ibu bapanya.

"Kesian anak tu. Reda saja adik dapat mak bapa macam tu... tak pernah fikir atas kesalahan yang mereka buat awak susah, siap buat video bahan lawak, akhirnya panggil nama tiga huruf saja."

"Tak kelakar! Kalau nama anak tiga hingga empat (perkataaan) campur nama si bapa juga tiga hingga empat (perkataan) sudah jadi enam. Kesian anak-anak mahu mengisi (borang)... Masa awal sekolah boleh kita bantu, paling malas beli cop tapi tunggu bila waktu peperiksaan. Orang lain dah boleh baca doa sementara nak buka kertas periksa, dia tulis nama pun tak habis lagi."

Syahira bersama Amanda dan anak buahnya yang lain.

Syahira bersama Amanda dan anak buahnya yang lain.

"JPN tolong pantau isu begini, nak daftar nama maksimumkan letak tiga perkataan sahaja contoh Tengku Adila Natasha binti Tengkujuh... cukup! Orang akan panggil Dila atau Tasha saja nanti. Tolong ibu bapa fikir la sikit."

"Ibu bapa yang syok sendiri letak nama anak panjang-panjang kesian anak yang nak tulis tu. Lepas tu ejaan pun bukan main berbelit-belit lagi kononnya nak nampak moden katakan."

"Nampak kelakar tapi inilah yang terjadi sekarang, letak nama anak-anak yang pelik susah nak baca, boleh jadi medical error atau rumit kalau ada urusan apa-apa, saya yang kerja di hospital pun pening baca."

"Perkara seperti ini sudah dijangkakan. Oleh itu ibu bapa perlu berfikir secara rasional ketika beri nama anak. Anak mungkin stres sepanjang hayat dan menyalah ibu bapanya."

Bagaimanapun, menurut ibu saudara kanak-kanak bernama Nurul Ariana Amanda, kanak-kanak berusia lima tahun itu baru memulakan sesi persekolahan selepas bercuti selama sebulan oleh itu dia perlu menulis nama di setiap helaian buku sebagai kerja sekolah.

Antara reaksi netizen yang mengecam ibu bapa Amanda.

Antara reaksi netizen yang mengecam ibu bapa Amanda.

Kata Syahira Ismail, 27, disebabkan penat selepas kira-kira 30 minit di meja, dia membuat 'drama' kerana mahukan perhatian.

"Sebenarnya, dia baru belajar menulis... jadi kena tulis nama di setiap muka surat dan masa tu dia dah penat. Amanda memang agak kuat drama dan nama dia tidak panjang pun.

"Cumanya, dia jenis yang tidak boleh duduk diam. Dari kecil dia memang aktif, jadi bila kena tulis dan duduk di satu tempat dalam masa yang panjang dia jadi bosan.

Dia juga gemar membuat rakaman sendiri seperti perkongsian hidangan.

Dia juga gemar membuat rakaman sendiri seperti perkongsian hidangan.

"Sebelum ni pun saya pernah bantu dia buat kerja sekolah, dia ambil masa yang lama nak siapkan satu task dan jenis yang nak berehat dua tiga kali baru sambung," jelasnya sambil menyatakan anak buahnya seorang yang banyak bercakap.

Bercerita tentang nama pula, katanya, ibu Amanda memilih nama tersebut kerana maksudnya adalah disayangi.

"Disebabkan maksud nama itu, Amanda memang sentiasa disayangi malah ibunya pernah dimarahi oleh penjaga yang teramat sayang dengan dia," jelasnya lagi sambil meminta orang ramai jangan terus menghentam tanpa mengetahui perihal sebenar.

Trend menamakan anak dengan nama-nama yang panjang lagi susah disebut eloklah difikirkan. Sebutan salah akan menukar makna nama tersebut, oleh itu Islam menyediakan panduan khusus dan hukum-hukum yang berkaitan dengan pemberian nama ini.

JABATAN MUFTI NEGERI PERAK

Terdahulu, Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak pernah memberi penerangan berhubung pemberian nama anak.

Menurut petikan yang dikeluarkan, nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seorang insan malah dengan nama itulah dia akan dikenali.

"Dengan nama itu jugalah dia akan dipanggil pada hari akhirat kerana itu nama bukan perkara kecil. Ia boleh melibatkan hukum larangan jika nama yang diberikan itu tidak menepati ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

"Oleh sebab itu, nama merupakan antara perkara yang terawal sekali diberi perhatian untuk anak yang baru lahir. Sejak anak masih dalam kandungan lagi ibu bapa sudah mencari dan merancang dengan teliti nama yang akan diberikan kepada anak mereka.

Keletah Amanda yang comel menarik perhatian netizen.

Keletah Amanda yang comel menarik perhatian netizen.

"Trend menamakan anak dengan nama-nama yang panjang lagi susah disebut eloklah difikirkan. Sebutan yang salah akan menukar makna nama tersebut kepada makna yang lain pula oleh itu, Islam telah menyediakan panduan yang khusus dan hukum-hukum yang berkaitan dengan pemberian nama ini," jelasnya.

Dalam pada itu, antara lain yang dijelaskan adalah pemberian nama kepada anak sunat diberikan pada hari ketujuh kelahirannya manakala Imam al-Bukhari Rahimahullah pula mengkhususkan waktu memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran adalah bagi ibu bapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka.

"Sementara bagi ibu bapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama hingga ke hari yang ketujuh. Pendapat ini disokong oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalaani Rahimahullah dalam kitabnya Fath al-Bari. Begitu juga sunat diberikan nama kepada anak damit yang meninggal sebelum sempat diberikan nama," jelasnya.

Tambahnya, sebaik-baik nama dan yang paling disukai oleh Allah Subhanahu wa Taala ialah Abdullah dan Abdurrahman sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, bahwasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah bersabda 'Nama-nama yang paling disukai di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman'.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain