suria

Macam Kak Long 7E tapi versi warga asing, suka menangkan anak! Kes jiran gaduh di Klang dah selesai tapi ramai masih geram... kenapa TTL?

Video pergaduhan sesama jiran yang tular di media sosial.

"MACAM Kak Long 7E suka menangkan anak!"

Demikian antara komen berunsur geram yang dilontarkan netizen terhadap sebuah video tular memaparkan insiden pertengkaran sesama jiran yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Menerusi video berdurasi 1.04 minit itu, kelihatan dua lelaki dewasa saling bertikam lidah, di mana pihak pertama menegur anak pihak kedua yang juga jirannya yang bermain bola berdekatan rumahnya sehingga mengakibatkan sedikit kerosakan pada bahagian bumbung.

ARTIKEL BERKAITAN: Kak Long akhirnya akui tak pandai didik anak, sedang ikhtiar bawa Adam jumpa ustaz... bukan kejar wang tapi mahu didikan agama

ARTIKEL BERKAITAN: Buat video tiru gaya OKU, polis lengkapkan kertas siasatan Kak Long 7E

Bagaimanapun pihak kedua seolah-olah enggan menerima teguran malah mempertahankan anaknya kerana 'masih budak'.

Di dalam video itu juga kelihatan pihak kedua cuba bertindak melampaui batas apabila memandu kenderaan pacuan empat rodanya secara berbahaya sehingga mahu merempuh jirannya itu.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku di sebuah taman perumahan di Bandar Sultan Suleiman, Klang, Selangor.

Gara-gara video tersebut menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan perdebatan hangat, seorang pengguna Facebook, Sabrina SehJa, tampil menceritakan kisah sebenar di sebalik insiden berkenaan.

JIRAN 1

Sebahagian penjelasan seorang pelayar mengenai insiden membabitkan bapanya dengan jiran yang juga seorang Polis Bantuan.

Menurutnya, insiden yang berlaku pada petang Khamis (24 Mac) itu bermula apabila bapanya menegur sekumpulan remaja dan kanak-kanak yang bermain di taman permainan berhampiran gara-gara bola mereka mengenai bumbung kediamannya sehingga pecah.

"Kumpulan remaja dan kanak-kanak tersebut telah lari ke rumah wanita Indonesia memakai baju putih selendang coklat cerah (isteri polis bantuan) seperti kelaziman kerana rumah tersebut merupakan tempat melepak mereka sejak keluarga itu mula menyewa di situ.

"Ayah cuba untuk bertanya mengenai pelaku kepada mereka dan pada ketika itulah munculnya wanita Indonesia tersebut memarahi ayah kerana dikatakan selalu mencari kesalahan anak lelakinya walhal ayah tidak pun menuduh anaknya, sekadar mahu kepastian.

"Tidak lama kemudian setelah ditelefon oleh si isteri, si suami (polis bantuan) datang menaiki kenderaan dalam keadaan laju cuba untuk melanggar ayah saya tanpa usul periksa. Dia menyatakan ayah saya suka cari gaduh," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

kenyataan

Kenyatan media polis mengenai insiden pergaduhan itu pada Sabtu.

Tambah pelayar wanita itu lagi, kejadian tersebut bukanlah insiden kali pertama kerana rumah mereka telah beberapa kali diganggu oleh kumpulan kanak-kanak terbabit namun sering terlepas kerana 'dipertahankan' oleh pasangan suami isteri tersebut.

"Mereka mengatakan bahawa anak-anak mereka masih budak budak. Sejak dari itu, mereka telah melakukan provokasi kepada ayah dengan mengejek dan memanggil botak, tempang dan pelbagai gelaran lain yang tidak enak didengar serta menyinggung perasaan sebagai seorang warga emas.

"Setiap kali ayah membuat aduan kepada ibu bapa mereka, mereka menafikan perangai anak mereka seperti itu dan menyuruh ayah supaya jangan menyibuk hal anak mereka.

"Justeru itu, adakah wajar ayah saya hanya membiarkan mereka menggangu emosi, harta benda serta ketenteraman dirumah sendiri yang telah lama diduduki?

"Budaya menormalisasi serta membela anak tanpa usul periksa menjadi-jadi sejak kebelakangan ini kerana mereka mendapat sokongan segelintir ibu bapa biarpun perbuatan anak mereka melampaui batas," tulisnya.

Wahai PDRM, sila teliti video itu semula. Nampak sangat polis bantuan tersebut berniat nak langgar pakcik tu. Harap ambil tindakan yang sepatutnya.

NETIZEN

Ujarnya, jiran sekeliling juga mengambil pendekatan enggan campur tangan kerana khuatir akan turut diganggu.

Sehingga kini perkongsian pelayar tersebut meraih sehingga 11,000 shares di Facebook.

Menjengah ke ruangan komen pula, rata-rata warganet mengecam tindakan pasangan jiran wanita berkenaan yang disifatkan tidak pandai mendidik anak.

"Sudah tentu, anak adalah cerminan daripada ibu bapa mereka.

"Lain betul zaman ni, dulu kalau anak-anak buat salah memang balik berbirat kena balun dengan mak ayah dekat rumah," demikian antara komen netizen.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao pada Sabtu berkata insiden pergaduhan tersebut sudah diselesaikan dengan cara baik.

Katanya, polis sudah menerima laporan yang dibuat kedua-dua pihak berkenaan.

Jelas Vijaya, pihaknya turut sudah memanggil kedua-dua pihak ke balai polis untuk direkodkan keterangan.

komen

Sebahagian komen warganet yang mendesak agar Polis Bantuan tersebut dikenakan tindakan daripada PDRM.

"Mereka kemudian bersetuju menyelesaikan perselisihan faham itu dengan cara baik dan kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (TTL)," ujarnya dalam satu kenyataan yang turut dimuat naik di laman Facebook Polis Daerah Klang Utara.

Sungguhpun begitu, segelintir warganet tetap mendesak PDRM agar mengambil tindakan tatatertib terhadap jiran wanita berkenaan yang juga seorang polis bantuan.

"Jangan sebab pelaku adalah anggota polis, Polis Klang Utara tidak berlaku adil.

"Wahai PDRM, sila teliti video itu semula. Nampak sangat polis bantuan tersebut berniat nak langgar pakcik tu. Harap ambil tindakan yang sepatutnya.

"Patut lucutkan jawatan polis bantuan dia," demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain