suria

Anak diuji tak lama selepas sambung bisnes ibu! Jenuh jemur bawah matahari, pelanggan batal ‘order pukal’ kuih putu kacang

Kuih putu kacang yang dihasilkan Akmal adalah secara tradisional.

SETIAP perniagaan pasti ada pasang surutnya.

Begitu jua yang dialami seorang anak muda yang baru menceburkan diri dalam perniagaan kuih tradisional.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mudah nak cari duit beli food truck! Wanita ini terpaksa repair kek ‘kemalangan’ depan pelanggan, mujur lori tak remuk

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar runsing kereta baru beli dah hilang! Ramai buat bermacam andaian, betul ke Kelisa value tinggi sekarang?

Walaupun mewarisi perniagaan yang dimulakan keluarganya, Muhammad Khairul Akmal Azman yang baru berusia 19 tahun terpaksa juga 'bergelut' untuk memasarkan produk yang dihasilkan.

Ini kerana, pesanan kuih putu kacang yang dihasilkannya dibatalkan seorang pelanggan disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Berkongsi kisahnya dengan mStar, ujar anak jati Padang Rengas, Perak ini, dia ingin berdikari dan menyediakan modal sendiri walaupun pada asalnya perniagaan dimiliki oleh ibunya, Normah Ahmad.

"Pelanggan ini memang akan buat pesanan setiap tahun dan beli secara pukal bila hampir hari raya.

"Disebabkan pelanggan 'setia', mak saya tak ambil deposit sebab dah percaya... tiba-tiba terima panggilan pelanggan berkenaan nak batalkan tempahan semua 300 bekas sebab ada kecemasan yang perlu diuruskan," ujarnya.

Akmal memasang impian untuk memiliki produk kesihatan sendiri.

Akmal memasang impian untuk memiliki produk kesihatan sendiri.

Menurut pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan di Kolej Poly-tech Mara Bangi di Selangor itu lagi, perniagaan menggunakan jenama Normah Putu Kacang yang diwarisinya sudah bermula seawal tahun 2008.

Ujar anak muda ini lagi, perniagaan itu bermula kerana ibunya ingin memperluaskan resepi moyang yang sebelum itu hanya dibuat sekadar untuk kuih minum petang sahaja.

"Dalam tempoh awal, ibu berdepan pelbagai dugaan dan rintangan. Bukan mudah untuk menghasilkannya dengan peralatan tradisional kerana sangat rumit, malah kuih ini juga dijemur di bawah terik matahari demi mengekalkan rasa yang klasik.

Putu kacang dijemur secara tradisional di bawah terik matahari.

Putu kacang dijemur secara tradisional di bawah terik matahari.

"Ibu saya dulu suri rumah dan selalu menolong arwah moyang buat kuih putu kacang. Kemudiannya bagi menolong menyara keluarga, ibu mula hasilkan putu kacang untuk dijual kepada orang kampung dan Alhamdulillah lama-kelamaan perniagaan ibu semakin berkembang.

"Jadi pada tahun ini, saya ingin mulakan perniagaan putu kacang ini dengan mengeluarkan modal sendiri.

"Saya ambil risiko dengan mengeluarkan duit simpanan kira-kira RM3,000 kerana kesian dengan ibu yang sudah meningkat usia 56 tahun.

"Perniagaan kami tidaklah besar, selalunya sebulan sebelum puasa baru proses menghasilkan putu kacang dilakukan kerana akan dapat pesanan raya," katanya sambil menambah dia kini mempunyai empat pekerja.

Akmal bersama rakan sekelasnya di Kolej Poly-tech Mara Bangi.

Akmal bersama rakan sekelasnya di Kolej Poly-tech Mara Bangi.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada tiga beradik ini memberitahu, dia tidak menyangka seorang sahabatnya merakam dan menghasilkan video ketika dia sedang menjemur kuih tradisional berkenaan.

Menurutnya, disebabkan terharu dan menghargai video tersebut, dia memuat naik ke akaun TikTok miliknya.

Saya tidak meraih simpati sesiapa pun sebenarnya cuma saya muda lagi baru nak berjinak-jinak dalam perniagaan dan ambil risiko untuk keluarkan modal sendiri.

MUHAMMAD KHAIRUL AKMAL AZMAN

"Saya tak sangka ia akan tular dan disebabkan video itu ramai sangat yang membuat panggilan serta menghantar mesej untuk membeli.

"Mereka cakap 'saya memang dah lama cari kuih ni'... jadi saya putuskan untuk buka akaun di Shopee. Alhamdulillah, dalam tempoh yang singkat, stok kuih dah tinggal sedikit," jelasnya.

Katanya, video yang dikongsi itu bukanlah untuk meminta simpati sesiapa tetapi untuk mengingatkan diri sendiri tentang percubaan pertama dalam perniagaan.

"Saya tidak mahu meraih simpati sesiapa pun sebenarnya, cuma saya muda lagi baru nak berjinak-jinak dalam perniagaan dan ambil risiko untuk keluarkan modal sendiri.

"Jadi bila pesanan dah siap dan perlu tunggu lama untuk dapatkan bayaran, saya tidak boleh nak buat pusingan modal dan bayar gaji pekerja," luahnya sayu.

Netizen menitipkan doa kepadanya.

Netizen menitipkan doa kepadanya.

Mengakhiri ceritanya, ujar anak muda itu lagi, dia mahu meneruskan tradisi dan cara penghasilan kuih tradisional seperti yang dilakukan generasi terdahulu.

Bagaimanapun, dia juga mempunyai impian untuk mewujudkan produk kesihatan dengan jenama sendiri dan membantu masyarakat yang memerlukan.

"Bunyi macam cliche tapi itulah yang menjadi pembakar semangat saya dan membuatkan saya bekerja keras terutama sekali apabila melihat orang meminta derma," katanya.

Video tularnya itu ditonton hampir 800,000 pelayar TikTok dan turut dikongsi lebih 7,400 pengguna serta mendapat 89,700 tanda suka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain