suria

Kun Fayakun! Tak sangka rindu arwah bapa terubat selepas 7 tahun... terasa kaku, tak henti menangis saat melihat pakcik berserban merah di Masjidil Haram

Kenangan manis di mana Qaseh Rofizah 'bertemu' kelibat menyerupai arwah bapanya (kanan) ketika mengerjakan umrah pada 2019.

SERING kali kita disajikan dengan perkongsian mengenai pengalaman warganet ketika mengerjakan umrah mahupun haji.

Satu perkara yang sering kali dikongsikan adalah betapa makbulnya doa yang dilafazkan ketika berada di tanah suci, sebagaimana kisah yang dialami wanita ini.

Sungguhpun sudah tiga tahun berlalu, namun segala-galanya masih segar dalam ingatan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Qaseh Rofizah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan ‘tak pernah berenggang’ dijemput selang dua hari di Madinah, anak bongsu dapat 2 ‘kejutan’... awal pagi dan selepas solat hajat

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki! Pemuda ini pernah berdoa nak belajar di Madinah, selepas 4 tahun terkejut dimakbulkan walau result tak berapa bagus

Siapa sangka, rindu terhadap arwah bapa, Khalid Hussin, yang kembali ke rahmatullah pada 2012 terubat selepas berlaku satu peristiwa ajaib ketika dia mengerjakan umrah pada Mac 2019.

"Alhamdulillah umrah saya telah ditaja oleh seorang hamba Allah. Saya dan suami berpakat mengikuti jemaah UAK Travel kendalian Ustaz Abdullah Khairi.

"Setelah beberapa hari ziarah di Madinah, kami ke Makkah untuk mula mengerjakan umrah. Suatu hari, ketika menunggu waktu Zohor bersama sahabat, Nurjannah di dalam Masjidil Haram, saya solat taubat, membaca Al-Quran, membaca doa yang kawan-kawan kirimkan.

"Kemudian saya pejamkan mata berfikir apa lagi yang nak didoakan. Tiba-tiba teringat arwah, maka saya berdoa pada Allah

"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Aku mohon pada-Mu agar Kau berilah peluang untukku melihat wajah ayahku. Aku terlalu rindu ayahku ya Allah. Berilah peluang ini... sekejap pun tak apa ya Allah," ceritanya kepada mStar.

umrah 1

Qaseh Rofizah dan suami mengerjakan umrah pada Mac 2019.

Tanpa diduga, sebaik sahaja membuka mata dan melihat ke hadapan, sosok tubuh seorang lelaki tua membuatkan dadanya hampir pecah kerana saling tak tumpah seperti arwah bapanya,

"Mata kami bertembung. Ketika itu pakcik itu sedang mengambil air zam-zam untuk diminum. Saya menangis. 'Ayah..ayah.. itu ayah. Cek (saya) kat sini ayah'.

"Esakan saya makin kuat hingga Kak Jannah, sahabat jemaah satu hotel bertanya kenapa menangis. 'Kak Jannah, tu ayah saya kak, yang pakai serban merah tu'.

"Kaki dan tangan saya kaku tak boleh bergerak nak bangun pergi ke 'ayah'. Hanya menangis tak berhenti. Beberapa jemaah dari bangsa dan negara lain turut memerhatikan saya. Kemudian pakcik itu terus berlalu dari situ," cerita wanita berusia 41 tahun yang berasal dari Sik, Kedah ini.

umrah 3

Arwah bapa Qaseh Rofizah meninggal dunia pada 2012 kerana sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Menurut Qaseh Rofizah, dia tidak lagi menemui kelibat lelaki tua berkenaan sejak kejadian di Masjidil Haram itu.

"Cukuplah sekali Allah beri peluang untuk menatap wajahnya. Saya reda dan berterima kasih banyak-banyak pada Allah.

"Setelah pulang ke hotel, saya tunjuk gambar arwah ayah kepada Kak Jannah dan dia sangat terkejut kerana pakcik itu rupanya saling tak tumpah seperti arwah ayah," ujarnya yang aktif sebagai sukarelawan bersama NGO yang ditubuhkan sendiri, Bantuan Qaseh.

Kaki dan tangan saya kaku tak boleh bergerak nak bangun pergi ke 'ayah'. Hanya menangis tak berhenti.

QASEH ROFIZAH

Berkongsi serba sedikit mengenai arwah, Qaseh Rofizah berkata bapanya meninggal dunia pada usia 68 tahun kerana sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

"Arwah sangat penyayang. Saya anak perempuan yang sangat rapat dengannya. Arwah juga seorang yang tegas dan rajin bekerja. Arwah adalah peneroka Felda Lubuk Merbau," ujarnya yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih sehingga 399,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok, Qaseh Rofizah berkata dia sekadar mahu mengabadikan kenangan manis itu di laman sosial.

umrah 2

Ibadah umrah pada 2019 menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan seumur hidup oleh Qaseh Rofizah.

"Ini satu pengalaman yang hebat bagi saya ketika berada di Tanah Suci. Kepada semua sahabat yang membaca kisah ini, jadikan ia pengajaran dan pengalaman.

"Ketika di Tanah suci, kita seharusnya berfikir yang baik-baik dan banyaklah membantu sesiapa saja di keliling kita. Percayalah dengan kuasa Allah. Kun Fayakun. Jika Allah kata jadi, maka jadilah ia. Al-Fatihah buat arwah ayah, Haji Khalid Hussin," akhirnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan