suria

Bapa dapat khabar duka di hari jadi... Anak tunggal hidap leukemia! Tak sampai 48 jam, ramai tampil derma darah O positif

Kisah Insyirah tular di Twitter sehingga mengundang perhatian warganet untuk membantunya.

BUKAN mudah bagi seorang bapa apabila menerima perkhabaran daripada doktor bahawa anak tunggalnya disahkan menghidap kanser.

Apatah lagi berita duka berkenaan diterima si ayah ketika baharu sahaja menyambut hari ulang tahun kelahirannya.

Sungguhpun perit untuk ditelan, namun Muhd Iqbal Zamani Md Nor, 45, reda dan berlapang dada dengan berita yang paling tidak dapat dilupakan seumur hidupnya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai kagum lihat lelaki berdarah ‘rare’ dihubungi doktor demi selamatkan wanita hamil, pahala datang sendiri!

ARTIKEL BERKAITAN: “Jarum tak sakit, rasa macam kena gigit semut je” - Alahai... ramai lelaki takut kena cucuk, penderma darah terkejut!

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhd Iqbal berkata anak tunggalnya, Nur Insyirah Balqis Muhd Iqbal, 15, didiagnos menghidap Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) pada penghujung bulan lalu.

"Anak saya Insyirah, tinggal bersama neneknya di Perlis, manakala saya pula bekerja di Semenyih. Dia adalah anak tunggal saya dengan arwah isteri.

"Sebagai bapa yang tinggal berjauhan, saya beri peruntukan wang kepadanya setiap bulan untuk makan minum dan perbelanjaan yang diperlukan.

derma 1

Antara penderma darah yang tampil awal selepas hebahan dibuat di media sosial.

"Segala-galanya bermula apabila Insyirah kerap mengadu sakit perut dan tak boleh makan makanan pedas. Neneknya minta saya pulang ke kampung, tambahan pula dia sudah berusia.

"Saya fikir wang boleh cari, anak seorang sukar diganti. Saya resign, balik ke Perlis pada Oktober tahun lalu dan bekerja sendiri," ujarnya.

Menurut Muhd Iqbal, sungguhpun sudah mendapatkan rawatan, sakit perut anak perempuannya tidak berkurangan, malah keadaannya semakin teruk apabila secara tiba-tiba ditumbuhi ruam.

"Selepas sakit perut dan ruam, tiba-tiba keluar darah pula ikut hidungnya... batuk pun keluar kahak berdarah. Saya tak sedap hati. Apabila buat swab Covid-19, hasilnya negatif.

"Kemudian apabila buat ujian demi ujian, doktor beritahu mereka detect ada sel kanser dalam darahnya.

derma 2

Aplikasi Whatsapp Muhd Iqbal dibanjiri dengan mesej orang ramai yang begitu prihatin.

"Doktor nak ambil air tulang belakangnya untuk kenal pasti penyakitnya. Adik beradik, saudara mara beri pendapat macam-macam, tapi saya akhirnya akur... saya setuju dan menaruh kepercayaan kepada doktor untuk lakukan yang terbaik.

"Hasil prosedur tersebut, pada 25 Mac, doktor sahkan Insyirah menghidap ALL. Rawatan yang perlu dilaluinya pada peringkat ini adalah kena tambah darah. Tapi jenis darahnya O positif dan bekalan di hospital kurang.

"Sebab itu, saya dan keluarga sepakat membuat hebahan untuk orang ramai tampil menderma darah demi menyelamatkan Insyirah," ujarnya yang kini bekerja sebagai tukang kayu dan pekerja penghantaran (rider).

Saya fikir wang boleh cari, anak seorang sukar diganti. Saya resign, balik ke Perlis pada Oktober tahun lalu dan bekerja sendiri.

MUHD IQBAL ZAMANI MD NOR

BAPA

Terdahulu, kisah Insyirah tular di Twitter selepas pelbagai pihak membuat hebahan bagi meminta jasa baik orang ramai agar tampil menderma darah jenis O positif untuk menyelamatkan gadis berkenaan.

Siapa sangka, hanya dalam tempoh kurang 48 jam selepas hebahan dibuat, pihak hospital terpaksa menghadkan bilangan penderma kerana bekalan darah buat anaknya sudah lebih daripada mencukupi.

"Ya Allah, tak terkata betapa bersyukurnya saya. Ramai yang datang ke hospital untuk menderma darah. Ada daripada kenalan saya, kawan Insyirah, kenalan keluarga... yang tak kenal pun ramai. Mereka datang daripada pelbagai bangsa.

"Ada seorang pakcik umur 61 tahun... dia hubungi saya sendiri nak derma. Sanggup datang hospital tapi tak boleh derma sebab faktor umur. Ramai lagi yang mesej saya. Syukur tak terkata," katanya yang baharu mendirikan rumah tangga kali kedua, November tahun lalu.

Tambah Muhd Iqbal, Insyirah ketika ini dikuarantin di wad Covid-19 di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana dijangkiti virus berkenaan.

derma 3

Insyirah kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

"Sebaik tempoh kuarantin tamat pada Sabtu, barulah dia dipindahkan ke wad Onkologi dan bakal jalani prosedur 'chemoport' dan seterusnya kemoterapi.

"Insyirah perlu follow up untuk dapatkan rawatan secara berterusan untuk tempoh dua bulan ini," katanya.

Terlalu terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia, Muhd Iqbal menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang tampil membantu, secara langsung mahupun tidak langsung.

"Insyirah jadi kuat semangat sebab dia dapat support dari orang ramai yang tampil membantu. Dia bersemangat untuk sembuh.

"Saya rasa bersyukur sebab dilahirkan di negara yang mana kita ada rakyat cukup prihatin. Mulianya hati rakyat Malaysia. Yang prihatin dan menderma, yang berdoa, yang panjangkan mesej hebahan.. terima kasih banyak-banyak.

"Hanya doa yang saya mampu panjatkan buat kalian," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain