suria

Berjurai air mata panggilan “mak” tak bersahut, rupa-rupanya sudah 7 bulan ibu tiada... Wanita ini tak pernah ‘skip’ ziarah rumah arwah

Ibu Nor Hidayah meninggal dunia pada September tahun lalu kerana dijangkiti Covid-19.

TIADA lagi kelibat sosok wanita tua yang duduk di kerusi roda sambil dibelai anak-anak yang setia menjaga tanpa sedikit pun keluhan.

Lebih sebak, rumah yang menjadi tempat adik-beradik membesar dan berkumpul ibarat hilang serinya selepas pemergian insan yang bernama ibu.

Video yang dikongsi wanita ini di media sosial saat dia menziarahi rumah arwah ibunya, benar-benar menggamit rasa sayu warganet lebih-lebih lagi disulami lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu dendangan Uji Rashid.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini ‘blur’, balik kampung tiada yang tunggu di pintu... terlupa mak dah pindah ‘rumah baharu’ - “Arwah tanam pokok, saya sedekah buah kepada jiran”

ARTIKEL BERKAITAN: “Mak balik jadi jenazah” – Lega permintaan ibu sempat ditunaikan tapi sambutan hari lahir hambar, kejutan tak kesampaian... Covid-19 ragut semuanya!

Lebih sebak apabila kedengaran wanita berkenaan memanggil dan mencari-cari ibunya yang sudah tiada, tanda rindu yang tak berpenghujung.

Menurut wanita bernama Nor Hidayah Johari, ibunya Hawa Yang meninggal dunia pada September tahun lalu selepas empat hari dirawat di hospital kerana dijangkiti Covid-19.

Sungguhpun tujuh bulan telah berlalu, namun semuanya masih jelas dalam ingatan Nor Hidayah saat pemergian arwah ibu.

"Kami adik-beradik bergilir jaga mak, dia tak boleh berjalan sejak dua tahun lalu. Arwah ayah dah meninggal pada 2016. Ogos tahun lalu, sepatutnya giliran saya yang jaga selepas kakak sulung.

"Tapi pada 31 Ogos, saya ambil dos kedua vaksin. Mak suruh saya berehat dulu, takut saya tak larat nak jaga dia. Dua hari kemudian, kakak sulung call sambil menangis beritahu suaminya positif Covid-19.

mak 1

Nor Hidayah dan adik-beradiknya akan mengemas rumah arwah ibu mereka bergilir-gilir.

"Masa tu memang risau sangat-sangat dekat mak sebab dia ada masalah paru-paru, selain sakit kaki. Nak dijadikan cerita, oksigen mak menurun dan kakak terus call ambulans. Mak dikejarkan ke Hospital Teluk Intan," cerita wanita berusia 34 tahun ini.

Tambah Nor Hidayah, dia dan adik-beradiknya tidak senang hati menantikan perkembangan daripada ibu mereka memandangkan tiada sesiapa dibenarkan untuk menemani, tambahan pula ibunya tidak mempunyai telefon bimbit.

"Saya duduk dekat Teluk Intan juga, jadi saya beli sebuah telefon bimbit, minta pengawal keselamatan tolong beri kepada mak. Hari kedua mak di hospital, baru dapat cakap dengan mak.

mak 4

Video yang sempat diambil dari jauh pada hari pengebumian arwah ibunya.

"Hari ketiga, mak tunjuk perkembangan positif. Dia berselera makan, boleh bersembang macam biasa. Tapi masa tu mak sempat pesan, kalau dia tak ada, dia minta kami adik-beradik selalu berkumpul di rumah mak.

"Hari keempat, kami tak dapat call. Mujur petang tu dapat buat video call. Masa tu mak nak buka topeng oksigen dia seolah-olah nak bercakap sesuatu kepada kami.

"Awal pagi hari kelima iaitu Khamis, dalam pukul 3 pagi, doktor beritahu mak dah tak ada," ceritanya dalam nada sebak.

Nor Hidayah yang merupakan anak kelapan daripada sembilan adik-beradik berkata, apa yang membuatkan mereka sedih dan terkilan adalah kerana tidak dapat menyempurnakan jenazah ibu kesayangan.

Walaupun sedih, kami puas kerana sempat berbakti, dapat jaga sepenuhnya sejak dia jatuh sakit dan tak boleh berjalan.

NOR HIDAYAH JOHARI

"Memang sedih sangat... namun apabila nurse beritahu, mak 'pergi' dalam keadaan yang baik iaitu saat genggam erat telekung, ia jadi pengubat hati.

"Walaupun sedih, kami puas kerana sempat berbakti, dapat jaga sepenuhnya sejak dia jatuh sakit dan tak boleh berjalan.

"Cuma Ramadan tahun ini tak seperti sebelumnya. Dulu rutin saya setiap hari akan bangun pukul 4 pagi, bersihkan dan siapkan mak untuk sahur, solat Subuh dan berpuasa.

"Saya tak boleh tengok bilik khas dia di rumah saya. Masih terasa seperti dia ada, teringat momen mandikan dia, gosok kakinya dan siapkan dia," ujarnya lagi.

mak 3

Nor Hidayah (dua, kanan) bergilir-gilir dengan adik beradiknya untuk menjaga ibu mereka.

Nor Hidayah berkata dia dan adik beradiknya tidak pernah gagal untuk pergi ke rumah peninggalan arwah ibu mereka secara bergilir-gilir, sebagaimana yang diamanatkan sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir.

"Tak ada siapa duduk di rumah mak tapi kami tetap datang gilir-gilir untuk kemas, siram pokok bunga dan berkumpul adik-beradik. Kami nak tunaikan seperti amanat arwah.

"Memang air mata sentiasa tumpah kalau masuk rumah mak. Buka pintu, nampak seolah-olah dia ada dekat dapur, dekat tempat dia selalu duduk. Rumah sentiasa kemas macam ada orang. Kami pasang alunan ayat suci al-Quran 24 jam, sebagaimana masa mak masih ada.

"Apabila ziarah ke kuburnya, masih tak percaya yang mak dah tiada," ceritanya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih sehingga lebih 600,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok, Nor Hidayah berkata dia turut terharu apabila membaca komen daripada netizen.

mak 2

Pemergian si ibu cukup memberi kesan kepada Nor Hidayah dan keluarganya.

"Ada yang cakap terima kasih sebab ingatkannya, kerana lambat laun semua akan rasa momen seperti video itu.

"Salah satu komen menyentuh hati saya, apabila ada yang kata dia guna Google Map untuk tengok rumah pusaka peninggalan ibu bapanya. Saya bersyukur sebab saya masih boleh datang ke rumah mak untuk lepas rindu.

"Ada juga yang komen, mereka tak kenal pun mak tapi menangis teresak-esak selepas tengok video tu.

"Saya mohon pada anak-anak yang masih ada ibu dan ayah, hargai mereka, ciptalah momen yang akan buat kita ingat sampai bila-bila. Tak lupa, terima kasih kerana mendoakan mak dan sedekahkan Al-Fatihah," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain