suria

Menantu stres mentua pandai-pandai suap air masak pada bayi umur 2 bulan, awas ‘mummies’ Dr Imelda kata bahaya!

Seorang wanita mendakwa tertekan kerana ibu mentuanya sering memberikan air masak kepada bayinya yang baru berusia dua bulan. Foto: Positive Parenting.

FASA selepas menimang cahaya mata merupakan detik paling getir dalam kehidupan setiap pasangan.

Malah, masyarakat kita juga popular dengan pelbagai mitos serta pantang-larang melibatkan bayi serta ibu yang sedang berpantang.

Turut menjadi perdebatan sejak sekian lama tentunya tindakan segelintir individu yang mula memberikan air masak kepada bayi mereka sebelum mencecah usia enam bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Risau tak boleh survive, doktor kata jangan terlalu berharap... bayangkan dugaan ibu berpantang ini tanpa bayi di sisi, yang pasti tidak mengalah!

ARTIKEL BERKAITAN: Kulit anak bertompok, bersisik sejak usia sebulan... ibu hilang kata-kata dapat tahu peluang sembuh cuma 70 peratus

Dalam satu perkongsian di Facebook, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Imelda Balchin menasihatkan orang ramai agar menghentikan perbuatan itu kerana ia membawa kesan yang tidak baik untuk si cilik.

Dr Imelda membuat teguran tersebut susulan perkongsian mesej seorang wanita, mendakwa tertekan gara-gara sikap ibu mentuanya yang sering memberikan air masak kepada bayinya yang baru berusia dua bulan.

"Jangan beri bayi minum air masak sebelum usia enam bulan. Saya nak beritahu anda semua sebab-sebabnya. Sila share beramai-ramai, semoga semua ibu mentua mendapat ilmu pengetahuan ini.

"Pertama, badan bayi tak sama dengan badan orang dewasa. Kandungan air dalam badan bayi memang lebih tinggi berbanding badan orang dewasa. Lebih kurang 55 peratus berat badan orang dewasa ialah air, tetapi 75 peratus berat badan bayi ialah air. Maka bayi tidak perlu minum air seperti orang dewasa.

baby3

Kata Dr Imelda, perbuatan memberi bayi minum air masak boleh menyebabkan darah mereka menjadi cair.

"Kedua, kandungan susu ibu ialah 88 peratus air dan rendah garam. Susu ibu mengandungi semua keperluan air dan garam untuk bayi. Susu ibu ialah kurniaan Allah yang terbaik untuk bayi. Tak perlu lagi tambah air masak untuk bayi sebelum usia enam bulan yang belum boleh makan," ujarnya.

Tambah Dr Imelda, dia juga melarang mana-mana ibu memberi susu lembu asli mahupun susu kambing kepada anak kecil yang belum mencecah usia setahun kerana kandungan garam yang tinggi.

Jelasnya, susu formula yang dirumuskan khas untuk bayi merupakan alternatif yang lebih baik kerana kurang kandungan garam dan mengandungi protein yang mudah untuk dihadam oleh bayi.

"Saya juga melarang ibu-ibu memberi air masak kepada bayi sebab ini boleh menyebabkan terlalu banyak air dan kekurangan garam di dalam darah bayi, iaitu water intoxication. Ketiga, perut bayi sangatlah kecil dan tak boleh minum banyak-banyak sekaligus. Dia boleh ambil sedikit saja pada satu masa, sebab itulah cepat lapar semula.

"Sebab itulah bayi perlu minum susu ibu sedikit-sedikit tetapi dengan kerap. Bayi perlukan protein susu ibu dan khasiat di dalam susu ibu untuk membesar. Di dalam air masak tidak ada apa-apa khasiat, tiada zat dan tiada protein. Jika anda penuhkan perut bayi dengan air masak, dia akan tak lalu minum susu ibu sebab perut dia sudah dipenuhkan dengan air. Ini boleh menyebabkan bayi kekurangan nutrisi penting untuk membesar dengan sihat.

Apa yang bagus untuk anda, jika diambil dengan berlebihan boleh menjadi racun. The dose makes the poison.

DR IMELDA BALCHIN

PAKAR PERUNDING OBSTETRIK & GINEKOLOGO

"Keempat, untuk payudara ibu membuat susu dengan banyak, ini memerlukan stimulasi daripada bayi. Lebih banyak kali ibu menyusukan bayi, maka ada lebih stimulasi untuk payudara ibu membuat lebih susu mengikut keperluan dan permintaan bayi. Inilah dinamakan supply by demand. Jika anda dah bagi air masak kepada bayi dan bayi dah kenyang dengan air, maka bayi tidak akan mahu menyusu, akibatnya ialah payudara ibu pun akan tidak membuat banyak susu," ujarnya panjang lebar.

Tambah Dr Imelda, bayi juga tidak perlu diberi air masak kerana mereka belum makan makanan pejal seperti orang dewasa yang mengandungi kandungan garam semulajadi lebih tinggi berbanding susu ibu.

Malah katanya, tindakan memberi air masak juga boleh menyebabkan darah bayi menjadi cair, sehingga membawa risiko hyponatremia, sel-sel badan tidak boleh berfungsi, termasuklah sel otak, sel otot dan sel jantung.

"Buah pinggang bayi sangatlah kecil, belum lagi matang dan belum boleh lagi berfungsi seperti buah pinggang orang dewasa. Buah pinggang bayi tak boleh tapis terlalu banyak air untuk membuat banyak air kencing seperti orang dewasa. Jika orang dewasa minum banyak air maka lebih banyak air ditapis keluar sebagai air kencing.

file78qnns90gtl1xezv73n

Selain air masak, Dr Imelda melarang ibu memberi susu lembu asli mahupun susu kambing kepada anak kecil yang belum mencecah usia setahun. Foto: Dreamstime/TNS.

"Tetapi buah pinggang bayi belum lagi boleh berfungsi sepenuhnya. Buah pinggang bayi tak boleh proses terlalu banyak air. Akibatnya ialah jika anda beri bayi minum air masak, darah bayi akan menjadi cair sebab terlalu banyak air berkumpul di dalam darah dan tidak dibuang oleh buah pinggang. Inilah dinamakan water intoxication.

"Apakah komplikasi water intoxication? Apabila kepekatan garam di dalam darah menjadi terlalu rendah atau cair, iaitu hyponatremia, sel-sel badan tidak boleh berfungsi, termasuklah sel otak, sel otot dan sel jantung. Akibat water intoxication ialah sawan, kelemahan badan, muntah berlebihan, kerosakan otak, koma dan kematian.

"Orang dewasa pun boleh dapat water intoxication, sawan dan kematian jika minum enam liter air sekaligus, tetapi bayi yang baru lahir boleh dapat water intoxication jika diberi minum air masak walaupun hanya sedikit. Kalau nak bancuh susu formula pun, ada arahan penting tentang sukatan yang perlu diikut.

baby2

Paparan skrin mesej seorang wanita yang dikongsi di Facebook Dr Imelda.

"Jangan sengaja bancuh susu formula dengan terlebih air. Pesanan saya yang terakhir, apa yang bagus untuk anda, jika diambil dengan berlebihan boleh menjadi racun. The dose makes the poison," ujarnya.

Perkongsian Dr Imelda menerusi Facebook turut menerima lebih 4,000 tanda suka (likes) dan dihujani pelbagai komen netizen.

"Alamak anak saya semua minum air kosong masa baby. Sorry anak-anak mama. Orang tua-tua dulu cakap lepas menyusu kena bilas dengan air kosong. Saya akan pastikan kesilapan ini tak berulang kepada cucu-cucu saya nanti. Terima kasih Dr Mel.

"Nurse kat Klinik Kesihatan (KK) pun tak larat pesan dah benda ni tapi ada juga yang buat.

"Allahuakbar... mentua tu yang ada masalah sebenarnya," tulis beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain