suria

Adik kesayangan meninggal dunia pagi 1 Syawal, tragedi beli ais batu masih segar... Kakak simpan tudung putih terakhir arwah

Adik ketujuh Azira meninggal dunia kerana dilanggar kereta pada pagi 1 Syawal, 14 tahun lalu.

RINDU kepada insan yang sudah tiada sememangnya perit untuk diungkap dek kerana terpisah antara dua alam.

Begitulah hebatnya penangan rindu yang ditanggung oleh wanita ini yang kehilangan bukan seorang, tetapi empat ahli keluarga dalam tempoh 18 tahun.

Perkongsian Azira Mamat di laman sosial, iaitu video yang memaparkan momen-momen terakhir bersama arwah ibu, bapa dan adiknya, nyata meruntun jiwa netizen sekaligus dapat menyelami perasaan yang ditanggung olehnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang 5 ahli keluarga sejak usia 4 tahun, pemuda hanya sedar erti kehilangan ketika masuk sekolah - “Nenek tunjuk keratan akhbar tragedi”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami terpilih untuk dugaan ini” - Lima nyawa keluarga hilang akibat Covid-19, Aidilfitri disambut ala kadar dengan seribu makna

Menurut Azira, dia dan keluarganya menerima tamparan hebat buat pertama kali sewaktu adik lelakinya yang juga anak kelima daripada lapan adik beradik, meninggal dunia akibat dilanggar kereta yang terbabas ke tepi jalan berhampiran rumah mereka di Kampung Teris, Kuala Berang Terengganu.

"Adik nombor lima adalah yang pertama meninggal dunia. Kejadian berlaku pada 2004 ketika umurnya empat tahun. Masa itu saya pula berumur 10 tahun. Rumah kami tepi jalan besar.

"Ketika itu adik bermain bersama-sama sepupu. Nak dijadikan cerita, sebuah kereta kemalangan dengan lori dan kereta tersebut terbabas ke tepi jalan dan menghentam adik.

"Selang empat tahun kemudian, adik perempuan nombor tujuh pula menyusul. Lebih tragis, arwah adik yang berusia lapan tahun ketika itu meninggal dunia pada pagi 1 Syawal.

"Arwah mahu ke kedai di seberang jalan rumah kami... dia tolong belikan ais batu. Tak lama tu kami dengar bunyi dentuman kuat. Kami terus meluru ke jalan. Dalam hati memang terdetik adik kena langgar. Mungkin sudah ajalnya... adik dilanggar kereta ketika melintas jalan," ujar wanita berusia 35 tahun ini.

kubur adik

Pusara adik ketujuh Azira yang meninggal dunia pada pagi 1 Syawal.

Azira yang merupakan anak ketiga daripada lapan adik beradik berkata, kehilangan adik buat kali kedua memberi kesan yang mendalam buat dirinya, lebih-lebih lagi arwah begitu rapat dengannya.

"Saya ingat lagi, masa kami adik-beradik beli baju raya di pekan beberapa hari sebelum Syawal, adik perempuan pilih kasut dan baju berwarna putih. Tudung yang dipakai pada 1 Syawal juga warna putih.

"Walaupun dah 14 tahun, saya masih lagi menyimpan tudung yang dipakai arwah ketika itu sampai sekarang dan tak pernah basuh. Masih ada kesan peluh pada tudung tersebut.

"Raya tahun berikutnya kami menangis selepas solat sunat Aidilfitri sebab terkenangkan pemergian adik pada pagi 1 Syawal. Kami akhirnya reda, kerana tahu arwah adik-adik pasti berada di syurga," ujarnya yang kini menetap di Klang dan mengusahakan bisnes makanan.

mak ayah

Arwah ibu dan bapa Azira yang meninggal dunia pada 2014 dan 2018.

Keluarga Azira sekali lagi diuji apabila bapa kesayangan meninggal dunia pada 2014 kerana menderita sakit asma.

"Saat ini, ibulah yang paling terkesan sebab dia sudah melalui kehilangan anak dan suami.

"Mak pernah cakap, hilang anak memang sedih tapi ketika itu ada ayah sebagai tempat mengadu, dan masih ada anak lain sebagai penyeri.

"Tapi hilangnya ayah, mak ibarat hilang tempat bergantung. Separuh nyawanya terasa pergi bersama. Mak tak boleh tengok jenazah, takut tak tahan sedih. Dia duduk jauh saja. Nampak luar seperti tabah tapi dia sedih sangat," cerita Azira.

Walaupun dah 14 tahun, saya masih lagi menyimpan tudung yang dipakai arwah ketika itu sampai sekarang dan tak pernah basuh.

AZIRA MAMAT

Empat tahun selepas pemergian bapa, Azira berkata ibunya pula menyusul, di mana detik itu dunianya dirasakan gelap gelita.

"Mak meninggal dunia pada 2018 kerana kencing manis dan buah pinggang. Usia mak ketika itu 54 tahun. Menghadapi tiga kematian sebelum itu, pemergian emak paling sakit.

"Walaupun tahu ajal bila-bila masa boleh menjemput sebab mak memang sakit, tapi bila tiba detik kematian, perasaan sedih kehilangan seorang ibu sukar digambarkan," ujar ibu kepada tiga orang anak ini.

Tambah Azira, keempat-empat ahli keluarganya disemadikan di tanah perkuburan yang sama di kampung mereka.

"Sekarang rumah arwah mak dan ayah dihuni oleh adik yang lain. Setiap kali pulang ke kampung, memang tak pernah lepas peluang ziarah kubur mereka semua. Walau dah bertahun, rindu tetap ada lebih-lebih lagi bila tengok orang lain boleh belanja dan bahagiakan mak ayah masing-masing.

kubur

Pusara ibu, bapa dan adik kelima Azira dikebumikan di tanah perkuburan yang sama.

"Dulu kami susah... sekarang bila dah senang sikit dan nak kongsi rezeki dengan mak ayah, mereka pula dah tiada.

"Walaupun mak ayah sudah tiada, kami adik beradik yang menetap di negeri lain tetap pulang ke kampung halaman untuk berkumpul adik beradik. Tak sangka perkongsian yang saya buat untuk dijadikan sebagai kenangan meraih perhatian netizen.

"Apa yang boleh saya kongsikan, hargailah keluarga kita. Mereka yang ada bersama kita ketika susah mahupun senang. Selagi mereka ada, hargailang mereka dan jangan sesekali berkira," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain