suria

Laju gila sebab guna disc brake, bearing guna speed hantu! Lelaki dakwa pandai bikin basikal lajak tak dipuji, tapi teruk dikecam

Seorang lelaki menunjukkan basikal yang sudah diubahsuai dengan ciri-ciri tertentu menyerupai basikal lajak.

ISU basikal lajak menjadi antara topik yang paling hangat diperkatakan ketika ini, sama ada di kedai kopi mahupun media sosial.

Ia susulan perkembangan terbaharu keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap kerani, Sam Ke Ting, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lalu.

Keputusan mahkamah tersebut mendapat reaksi yang pelbagai daripada masyarakat dengan rata-ratanya menyifatkan ia adalah keputusan yang tidak adil kerana kerani wanita tersebut dihukum atas kesalahan yang bukan dilakukannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes basikal lajak: Rayuan Sam Ke Ting didengar Isnin ini

ARTIKEL BERKAITAN: Kes basikal lajak: Kerani mohon kebenaran rayu keputusan Mahkamah Tinggi

Malah sokongan terhadap Ke Ting begitu memuncak apabila lebih daripada 800,000 tandatangan berjaya dikumpul selepas satu petisyen bagi mendesak pembebasan wanita tersebut dilancarkan menerusi laman Change.org.

Belum lagi reda ketidakpuasan hati orang ramai terhadap keputusan mahkamah, terbaharu sebuah video memaparkan seorang lelaki berkongsi 'kemahirannnya' mengubahsuai basikal lajak, mengundang kemarahan orang ramai.

komen lajak

Sebahagian komen netizen yang mengecam lelaki berkenaan.

Menerusi video berdurasi 1.01 minit yang dimuat naik di laman Facebook We Are Malaysian, lelaki yang dipercayai merupakan pemilik sebuah kedai basikal menunjukkan ciri tambahan pada sebuah basikal yang sudah diubahsuai olehnya.

"Yang ini lagi dahsyat... siap ada ekzos dan hon. Apa yang special? Pertama kita tengok ada hon. Yang kedua ada disc brake. Paling best adalah ekzosnya. Bunyi kuat bos.

"Basikal ini ada brake tapi pakai satu sahaja... disc brake belakang. Ia pakai disc brake sebab laju gila bos. Dia punya bearing pun pakai speed hantu punya. Ini memang limited," kata lelaki berkenaan.

lajak 1

Insiden pada tahun 2017 yang mengorbankan nyawa lapan remaja berbasikal lajak.

Difahamkan, video tersebut pada asalnya dimuat naik di laman TikTok lelaki berkenaan sebelum menjadi tular dan dikongsi platform media sosial lain.

Bagaimanapun carian di laman TikTok miliknya mendapati video asal tersebut sudah dipadamkan.

Sementara itu menerusi ruangan komen, rata-rata warganet menyuarakan rasa marah kepada lelaki berkenaan kerana dianggap sebagai salah satu pihak yang menggalakkan lagi aktiviti berbasikal secara berbahaya dalam kalangan remaja.

Kau ni memang jenis tak peka ke pekak badak bang? Basikal lajak ni umpama pembunuh senyap kau tahu!

NETIZEN

"Rupa-rupanya kau ni mamat yang mempromosikan aktiviti dan menjual basikal lajak menjahanamkan generasi muda kita.

"Ingatkan vaksin je ada penggalak rupa-rupanya geng lajak pun ada penggalak juga.

"Kau ni memang jenis tak peka ke pekak badak bang? Basikal lajak ni umpama pembunuh senyap kau tahu!" demikian antara komen netizen yang mengecam lelaki berkenaan.

Dalam pada itu, tidak kurang ada juga yang membuat pautan kepada akaun Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meminta siasatan dijalankan terhadap lelaki berkenaan.

lajak 2

Gelagat remaja berbasikal lajak pada waktu malam di jalan raya yang nyata membahayakan nyawa.

"Polis tolong tangkap ini orang. Berpunca orang inilah yang menghubah suai basikal. Ia boleh melibatkan kes maut di jalan raya.

"PDRM tangkap dia. Modify basikal untuk membahayakan nyawa,"tulisn netizen.

Sehingga kini posting di laman Facebook We Are Malaysian meraih sehingga 385 share.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain