suria

Pemuda kongsi detik cemas pesawat dari Langkawi dilanda turbulence dahsyat, auto ingat mati selepas 40 minit ‘kaku’ di udara

Perkongsian oleh Idzaudin mengenai situasi panik semasa berlakunya 'air turbulence'.

PENGANGKUTAN udara merupakan kaedah perjalanan yang paling cepat dan selesa untuk ke destinasi tertentu.

Bagaimanapun perjalanan udara juga mempunyai bahaya dan risiko jadi sudah pasti ada juga pengalaman buruk dialami sesetengah penumpang semasa menggunakan pengangkutan jenis ini.

Mohamad Idzaudin Abdul Razak berkongsi kisahnya berdepan situasi di mana kapal terbang dinaikinya terumbang ambing sebelum mengalami pergolakan di udara dalam kejadian pada 17 Disember 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan biasa-biasa! Wanita viral bawa pesawat 'jalan-jalan' di lapangan terbang rupa-rupanya streamer PUBG - "Dua-dua kerja best"

ARTIKEL BERKAITAN: Penumpang kapal terbang diarah keluar dari pesawat kerana menggunakan seluar dalam wanita sebagai pelitup muka

Menurutnya yang senang disapa Idzaudin, tragedi yang dianggap ngeri dalam dalam hidupnya itu terjadi sewaktu dia mahu pulang ke rumahnya di Bangi, Selangor.

"Saya naik flight tu balik dari bercuti di Langkawi ke Kuala Lumpur. Masa tu musim hujan berpanjangan sampai banjir teruk dekat Shah Alam.

"Sepatutnya saya berlepas pukul 7 malam tapi ditangguhkan. Kami diarahkan naik pada pukul 8 malam. Pada awalnya kapal terbang bergerak macam biasa saja. Tapi saya ada perasan sesuatu dalam peta masa sampai di Ipoh... dekat skrin kecil tu nampak kapal terbang berpusing.

"Saya pelik tengok keadaan tu kenapa kapal terbang 'on hold' tak bergerak. Juruterbang pun tak buat pengumuman apa-apa jadi saya teruskan tengok peta. Agak lama juga, lebih kurang 40 minit tak bergerak dari Ipoh," jelasnya.

Setelah menunggu terlalu lama dan tiada sebarang pengumuman dibuat, dia mengambil keputusan untuk pergi ke tandas.

Dia yang kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang Komunikasi Strategi di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya berkata, pada waktu itu ramai juga penumpang lain sedang beratur untuk menggunakan tandas.

Keadaan kapal terbang yang dilihat melalui peta semasa dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Lumpur

Keadaan pesawat yang dilihat melalui peta semasa penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur.

Tambahnya, semasa sedang menunggu giliran untuk menggunakan tandas itulah berlaku air turbulence (pergolakan udara) dahsyat yang menyebabkan kapal terbang itu hilang pertimbangan.

"Sebelum air turbulence berlaku, kalau tengok pada peta kapal terbang tu berpusing agak lama tapi saya masih tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Saya agak semua orang pun tak panik, jadi saya pun pergilah tandas sebab dah lebih 40 minit dekat Ipoh tak bergerak.

"Masa tengah beratur di tandas tiba-tiba ada air turbulence. Agak kuat juga rasa bergelora tu. Saya boleh rasakan kapal terbang tu atas ke bawah dan kiri ke kanan berulang kali. Kebetulan masa tu ada pramugari dekat situ. Dia suruh kami yang sedang beratur untuk duduk dekat lantai.

"Masa tu memang dah panik. Pramugari suruh capai dan pegang apa yang boleh. Dekat sebelah saya ada budak perempuan. Saya kesian tengok dia tapi mujur ada penumpang lain pegang budak tu. Kalau kami tetap pergi ke tempat duduk memang akan jatuh," imbasnya kembali.

Pengalaman ini merupakan kali pertama berlaku dalam hidup jejaka ini sekali gus membuatkan dia takut namun pada masa yang sama dia percaya perjalanannya selamat kerana dikendalikan oleh juruterbang dan pramugari yang berpengalaman.

panik air turbulence 3

Idzaudin merupakan seorang pelajar MMU.

Bercerita lanjut mengenai rakaman yang diambil semasa kejadian mengerikan ini, dia tidak menyangka video tersebut akan tular sehingga meraih hampir 1 juta jumlah tontonan.

Rata-rata netizen turut menceritakan pengalaman mereka ketika menaiki kapal terbang dan berdepan situasi sama di ruangan komen video TikTok tersebut.

"Auto teringat dosa-dosa silam.

"Pernah kena macam ni. Masa tu 'auto taubat' mengucap tak henti-henti.

"Yang dah kahwin terbayang anak bini. Yang single auto teringat dosa dekat mak ayah," komen beberapa netizen.

Lanjutan daripada kejadian itu, setelah beberapa minit keadaan dalam pesawat kembali stabil dan dia akhirnya selamat kembali ke tempat duduk.

panik air turbulence 4

Pesawat yang dinaiki Idzaudin.

Tambahnya lagi, juruterbang juga membuat pengumuman bahawa keadaan cuaca di Kuala Lumpur agak teruk menyebabkan KLIA (Kuala Lumpur International Airport) ditutup dan mereka terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Mersing, Johor.

"Bila sampai dekat Johor, kapal terbang kami naik cuma parking saja tapi penumpang tak turun. Bayangkan kami terpaksa duduk sejam lebih dalam kapal tu tak turun atau keluar langsung. Lepas tu baru kami bergerak semula ke Kuala Lumpur. Masa tiba di Kuala Lumpur masih hujan sampai nampak petir tapi perjalanan OK saja.

"Alhamdulillah saya selamat mendarat malam tu walaupun lewat. Memang takut dengan apa yang terjadi, tapi berdasarkan statistik, perjalanan udaralah yang paling selamat sebenarnya berbanding kereta atau kenderaan lain yang lebih cenderung untuk mengalami kemalangan tak diingini.

"Bagi saya bahaya tu ada dekat mana-mana. Tapi pengalaman ni merupakan satu kenangan yang tak dapat dilupakan dan menjadi peringatan buat saya supaya sentiasa lebih ingat akan kematian," jelasnya menutupi kisah ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain