suria

Ibu tunggal tempah teksi ke kubur, anak-anak rindu arwah bapa... Uncle Kentang murah hati belanja Teksi 10 sen

Uncle Kentang membantu seorang ibu tunggal yang mempunyai masalah pengangkutan untuk menziarahi pusara arwah suami.

NAMA Uncle Kentang sememangnya tidak asing lagi bagi komuniti Facebook dan juga rakyat Malaysia.

Lelaki yang dikenali kerana aktif melakukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan itu turut sinonim dengan beberapa inisiatif 'tidak masuk akal' seperti Teksi 10 sen, Kedai 10 sen, Ambulans RM1, Rumah Transit RM1, Kereta Sewa RM1 dan banyak lagi.

Inisiatif-inisiatif berkenaan adalah ideanya untuk meringankan bebanan khususnya buat golongan B40 yang kurang berkemampuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 5 tahun, pemuda pulangkan kereta sewa RM1 sebulan diguna untuk ke kelas... Uncle Kentang terkejut dah bergelar engineer!

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan setakat ‘Kedai 10 Sen’, Uncle Kentang bakal buka kiosk makan bayar RM1 di stesen LRT... “Memang gila buat benda ni, sebab saya anak Malaysia”

Baru-baru ini Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng berkongsi kisah penuh meruntun jiwa di mana dia dihubungi oleh seorang wanita bagi mendapatkan pertolongan.

Bukan wang ringgit atau barangan keperluan, sebaliknya permintaan wanita berstatus ibu tunggal itu cukup membuatkan dirinya terkesan.

kentang 2

Inisiatif Teksi 10 sen adalah pengangkutan yang khusus untuk menghantar atau mengambil mana-mana individu kurang berkemampuan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Foto: Kentang Media

"Permohonan simple tapi amat bermakna buat dirinya (wanita itu). Dia tanya 'Uncle, boleh saya gunakan perkhidmatan Teksi 10 sen?'. Aku pun jawab 'Boleh. Makcik nak ke mana? Hospital mana?" kongsinya dalam hantaran tersebut.

Untuk makluman, inisiatif Teksi 10 sen adalah pengangkutan yang khusus untuk menghantar atau mengambil mana-mana individu kurang berkemampuan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Bagaimanapun jawapan yang diberi oleh wanita berkenaan nyata mengejutkan Uncle Kentang.

"Tidak Uncle, saya nak ke kubur, nak baca Yasin dan lawat arwah suami. Anak-anak pun rindu dekat ayah mereka. Semuanya masih kecil.

"Saya tak mampu bayar duit teksi atau Grab. Nak minta tolong Uncle bagi perkhidmatan Teksi 10 sen," kongsi Uncle Kentang sebagaimana yang diceritakan wanita berkenaan.

kentang 3

Uncle Kentang juga menyediakan perkhidmatan ambulans buat golongan kurang berkemampuan. Foto: Kentang Media

Ketika dihubungi mStar, Uncle Kentang berkata wanita itu menetap di Taman Putra Perdana, Puchong dan mahu menziarahi pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.

"Walaupun selalunya Teksi 10 sen untuk tujuan perubatan dan kesihatan tetapi kali ini kita bantu, kita akan tunaikan hajat mulia ibu tunggal tersebut.

"Dia minta pertolongan hantarkan ke kubur untuk menziarahi pusara arwah suaminya... bukannya nak pergi membeli-belah," katanya.

Difahamkan wanita tersebut memohon bantuan pengangkutan untuk kegunaan pada Sabtu ini.

Dia minta pertolongan hantarkan ke kubur untuk menziarahi pusara arwah suaminya... bukannya nak pergi membeli-belah.

UNCLE KENTANG

Menurut Uncle Kentang lagi, daripada perbualan dengan ibu tunggal berkenaan juga didapati wanita tersebut sememangnya seorang individu yang kurang berkemampuan.

"Bukan itu saja, saya berhasrat untuk bantu dia membeli serba sedikit keperluan untuk menyambut Aidilfitri nanti," kata bekas anggota polis ini lagi.

Sementara itu bercakap mengenai inisiatif Teksi 10 sen, Uncle Kentang berkata idea itu tercetus selepas dia menyaksikan kepayahan seorang lelaki berbangsa Cina yang terpaksa berulang alik ke hospital bagi rawatan susulan untuk penyakit kanser.

"Selepas melihat kepayahannya dan ramai lagi orang miskin dan sakit yang menghadapi masalah yang sama, kami memutuskan untuk memulakan operasi Teksi 10 sen.

kentang 1

Uncle Kentang sinonim dengan beberapa inisiatif 'tidak masuk akal' seperti Teksi 10 sen, Kedai 10 sen, Ambulans RM1, Rumah Transit RM1, Kereta Sewa RM1 dan banyak lagi.

"Ramai yang mengalami masalah kesihatan semakin merosot kerana mereka 'ponteng' pada temujanji di hospital atas beberapa faktor.

"Bayangkan kalau rawatan cuci luka di premis kerajaan RM1, tapi kos tambangnya lagi mahal daripada rawatan. Kebanyakan golongan B40 tak mampu, jadi penyakit melarat hingga meninggal dunia.

"Kalau dia meninggal dunia, isteri dan anak-anak mesti susah. Sebab itu kita bantu menerusi inisiatif ini. Lagipun mana-mana agama menggalakkan kita membantu orang sakit dan memudahkan urusan orang lain," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain