suria

Bayi 4 bulan tidur tak bangun-bangun, ibu sedar badan dah sejuk... Arwah si comel positif Covid-19 tanpa sedar

Aurelia meninggal dunia kerana Covid-19.

IBU mana yang tidak terkejut apabila anak yang lincah tiba-tiba terkujur kaku tidak sedarkan diri.

Lebih menyedihkan apabila dalam keadaan kecemasan itu, tidak ada satu pun hospital swasta yang ingin menerima pesakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi tunjuk tingkah laku ‘sangat baik’ masa mandi, dipakaikan baju sebelum ke rumah pengasuh... petangnya ‘pergi’ tinggalkan mak ayah

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu bayi 15 bulan maut di pusat asuhan, pasangan reda pemergian anak kali kedua

Berkongsi cerita tentang kematian anak yang baru berusia empat bulan dua hari, Aina Mazlan memberitahu, anaknya disahkan meninggal dunia pada pukul 6.47 petang, 12 April lalu.

Ujarnya pada pagi hari kejadian, dia membawa dua anaknya iaitu Aidan serta Aurelia Adreena Mohamad Afi ke kedai makan ibunya kerana mahu membeli barang-barang tempahan gift box kuih raya.

"Ibu teman saya pergi beli dan dia tolong jagakan anak-anak dalam kereta. Semasa ibu jagakan, Aurelia dalam keadaan baik dan bermain dengan nenek dia... mereka juga buat panggilan video dengan datuk.

Aurelia baru berusia 4 bulan 2 hari.

Aurelia baru berusia 4 bulan 2 hari.

"Dalam pukul 12, saya dan anak-anak balik rumah seperti biasa. Bagi anak sulung main dengan adik dia sebelum tidur dan pada masa ini, Aurelia masih aktif serta tidak tunjukkan tanda sakit mahupun demam.

"Dia tak menangis mahupun merengek, kemudian kedua-dua beradik itu tidur. Nak dijadikan cerita, pada pukul 5 petang saya tengok mereka masih tidur dan berfikir mungkin masih penat, jadi saya terus ke dapur untuk mengemas.

"Selepas 30 minit, saya tengok balik dan nak kejut bagi susu... tapi bila angkat, Aurelia tidak beri sebarang tindak balas," kongsinya di Twitter.

Terkejut dengan situasi itu, dia cuba mengejutkan Aurelia dan mendapati mata anak keduanya tertutup sebelah dan badan sudah sejuk.

Gambar kenangan Aidan bersama adiknya.

Gambar kenangan Aidan bersama adiknya.

"Saya, suami dan anak sulung terus ke klinik berdekatan kerana pada masa itu orang sedang bersiap sedia untuk berbuka puasa dan takut jalan sesak.

"Sampai ke klinik, doktor suruh buat CPR sementara menunggu ambulans tiba. Mereka menghubungi kesemua hospital swasta yang berdekatan tetapi tiada yang mahu terima pesakit dalam keadaan tidak sedar diri kecuali hospital kerajaan," katanya yang menetap di Kota Damansara, Selangor.

Syukur Hospital Sungai Buloh sedia menerima Aurelia

Tambahnya, sementara menunggu ambulans sampai, doktor di klinik terus memberikan CPR dan mereka turut menyatakan 'no pulse'.

"Doktor sentiasa sebut 'no pulse'. Saya rasa kosong sangat pada masa itu. 15 minit kemudian ambulan sampai dan terus ke Hospital Sungai Buloh, dalam perjalanan ke sana baby dapat oksigen dan masa tu dia buka mata.

Pukul 6.47 petang, ada seorang doktor keluar panggil saya dan maklumkan baby dah meninggal dunia.

AINA MAZLAN

"Sampai saja di hospital, terus masuk ke Unit Rawatan Rapi dan saya tunggu di luar. Semasa menunggu, beberapa doktor keluar dan bertanya jika ada ahli keluarga terdekat yang positif Covid-19 di rumah. Saya jawab tiada kerana melakukan ujian pengesanan wabak empat hari berturut-turut dan keputusan negatif.

"Tiba-tiba doktor maklumkan yang Aurelia positif sedangkan dia tiada sebarang simptom. Tidak demam, batuk mahupun selsema. Dia elok sihat dan ceria. Kemudian dalam pukul 6.47 petang, ada seorang doktor keluar panggil saya dan maklumkan baby dah meninggal dunia, mereka dah cuba pelbagai cara tetapi tidak berjaya," katanya lagi.

Pengebumian hanya dihadiri suami dan ayahnya sahaja.

Pengebumian hanya dihadiri suami dan ayahnya sahaja.

Walaupun sedih dengan keadaan yang menimpa itu, dia tetap reda.

Namun katanya, dia sekali lagi diduga apabila pada hari pengebumian, dia dan anak sulung tiba-tiba positif.

"Urusan pengecaman mayat, mandikan jenazah hanya dilakukan oleh suami kerana keputusan ujian dia negatif," katanya yang turut bersyukur kerana urusan pengebumian dipermudahkan dan dapat dilakukan oleh suami bersama ayahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain