TIDAK seperti tahun-tahun sebelumnya, kali ini heboh di media sosial apabila tarikh sebenar hari raya pertama ibarat menjadi permainan teka-teki. Ia berikutan, terdapat dua versi kalendar yang menyatakan 1 Syawal jatuh pada hari Isnin (2 Mei) manakala satu lagi versi pada hari Selasa (3 Mei). ARTIKEL BERKAITAN: Nak melaram 1 Syawal terbantut! Baju raya jenama terkenal tak sepadan seperti iklan, netizen kata jangan samakan dengan model ARTIKEL BERKAITAN: Ramai merungut raya ‘single’ tiada pasangan, nasib wanita ini lebih pedih sambut Aidilfitri sebatang kara tanpa ibu bapa Malah, persoalan itu timbul sejak pertengahan Ramadan lalu dan isu penampakan anak bulan 1 Syawal setelah 29 atau 30 hari berpuasa kembali dibahaskan. Maka tidak hairanlah apabila pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sekitar jam 8 malam Ahad mengejutkan seluruh umat Islam di Malaysia. "Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Isnin, 2 Mei 2022," katanya. Sesetengah kalendar mamaparkan 1 Syawal pada hari Selasa, 3 Mei. Susulan pengumuman itu, rata-rata membuat hantaran tidak sempat menyediakan juadah utama hari raya seperti lemang dan rendang selain ada yang menyatakan tidak sempat membeli-belah di saat akhir. Bagi seorang pelayar Twitter bernama Addien, dia meluahkan rasa terkejut kerana pertama kali melihat kesalahan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada kalendar. "Pertama kali sepanjang hidup rasanya kalender salah bab raya ni. "Sudah dua tahun tidak beraya, sekali tahun 2022 dapat kejutan luar jangkaan seperti ini. Kelu lidah untuk berkata-kata," ciapnya ringkas. Perkongsiannya itu diulang kicau lebih 7,000 pelayar Twitter selain menerima kira-kira 10,000 tanda suka. Ciapan ringkas Addien di Twitter. Rata-rata warganet meluahkan rasa terkejut dan masih tidak percaya dengan pengumuman berkenaan. "Sudah dua tahun tak beraya. Dapat kejutan raya awal, ada yang kelam-kabut gosok baju sampai koyak, ada yang mak suruh panjat pokok kelapa... aku nak jalan bandar dengan adik, tapi mak suruh patah balik. Jadi satu pengalaman dan cerita anak cucu kelak. "Memang tidak sangka esok (2 Mei) Hari Raya Aidilfitri, ingatkan Selasa. "Kuih raya pun masih pada orang lagi. Baju raya mak aku pun belum siap lagi. Memang kelam-kabut semua orang, pusat beli-belah yang penuh dengan ramai orang terus lengang selepas pengumuman raya. NETIZEN "Baru nak berseronok tiba-tiba jadi panik. "Memang kelam-kabut semua orang, pusat beli-belah yang penuh dengan ramai orang terus lengang selepas pengumuman raya," ujar beberapa netizen. Bagi warganet yang lahir sekitar tahun 70an dan 80an pula, pastinya mereka mengimbau kenangan raya 'ad-hoc' seperti yang terjadi tahun ini. Beberapa netizen menyatakan pernah merasai kejadian sama semasa kecil. Mana tidaknya, pada masa itu, boleh dikatakan seisi keluarga 'panik' kerana persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri belum lengkap sehingga ia menjadi memori yang tidak dapat dilupakan. "Masa tu saya budak lagi, sekolah rendah... kena paksa berjaga untuk bantu mak ayah memasak sebab masing-masing kelam kabut. Bila diingat kembali, rasa kelakar. "Awal tahun 2000. Kelam-kabut sebab keesokannya raya dan apa pun tidak siap. Masing-masing masak daripada lepas berbuka sehingga hampir subuh, lemah semua satu rumah tetapi meriah," ujar Mia. Bagi Nurul Fatin, walaupun suasana yang pernah dilalui itu sedikit kelam kabut, namun seisi keluarga tetap bersemangat menyambut raya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI