KECOH di media sosial mengenai sebuah restoran berkonsepkan masakan Cina Muslim yang didakwa mengelirukan pengguna. Restoran yang terletak dekat OUG di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur itu dikatakan menggunakan papan tanda premis yang tertera iklan minuman keras. ARTIKEL BERKAITAN: Sotong ada sijil halal Jakim, netizen sebar fitnah bakal disaman syarikat pengeluar ARTIKEL BERKAITAN: Restoran Ruhil Shafinaz 'sepi' terkait isu status halal - “Ada dalang cuba aniaya viralkan gambar restoran kami” Dakwaan itu dibuat oleh seorang pengguna Facebook berikutan sajian di restoran tersebut turut ditempah menerusi khidmat penghantaran makanan yang rata-rata pelanggan juga beragama Islam. Keadaan di dalam restoran. "Buat naya (aniaya) pelanggan. Aku jahat... tapi aku tak mahu bersubahat," ujarnya menerusi posting yang kini tular. Pengguna Facebook yang dipercayai bekerja sebagai penghantar makanan turut memberitahu, rakan sekerjanya mendakwa pernah menerima pesanan daging babi dari restoran sama. Rata-rata netizen meluahkan rasa kesal kerana premis berkenaan dikatakan turut menggunakan empat jenama restoran dan salah satu daripadanya membabitkan nama seorang cef muslim. Butiran mengenai premis tersebut sedang berusaha mendapatkan sijil halal. Malah, menerusi perkongsian beberapa foto turut menunjukkan premis berkenaan turut disediakan tempat sembahyang bukan Islam. "Dahulu penah tempah dari kedai ni... nama dia nasi ayam penyet **** kalau tidak silap, kali kedua order rasa macam nak tengok kedai ni di Facebook. Apabila search ada rider komplen pasal kedai ni, ada tokong. Kisah dua tahun lepas... masih lagi wujud rupanya kedai ni." "Masalahnya kalau dia asingkan tak apa juga. Ni makanan non-halal pun dia masak sekali tu," dakwa beberapa netizen. Berdasarkan semakan mStar, seorang lelaki yang dipercayai bekerja sebagai tukang masak mendakwa restoran tersebut berkonsepkan makanan Cina muslim. Posting yang menyatakan restoran tersebut berkonsepkan Cina Muslim. Semakan di portal rasmi Halal Malaysia pula tidak menjumpai sebarang rekod berkaitan keempat-empat jenama di bawah operasi premis tersebut. Susulan itu, pemilik restoran, Aadham Fareed Abdullah tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan yang tular di media sosial sambil menambah premisnya masih belum mempunyai sijil halal. Mengakui restorannya masih menggunakan papan tanda iklan minuman keras ketika ini, Aadham memberitahu, sewaktu ia baru dibuka sekitar 2020, dia didatangi pembekal minuman keras yang mahu membantu membiayai kedainya. Saya mohon maaf kerana signboard yang terpampang itu tidak dapat diturunkan lagi sehingga mengelirukan orang ramai dan penghantar makanan. AADHAM FAREED "Pada 2020, ada pembekal arak datang... jadi masa itu saya pun okay sebab ada orang nak sponsor tapi perlu letak signboard mereka mengikut tempoh perjanjian. Saya tidak boleh pulangkan, untuk tempoh 18 bulan atau perlu membayar ganti rugi sebanyak RM22,000. "Sekarang sudah tamat tempoh yang ditetapkan tapi memerlukan 30 hari lagi untuk pihak berkenaan hadir mencabut signboard tersebut. Saya juga dalam proses mendapatkan sijil halal daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Agama Islam). Ambil masa sedikit sebab masih belum dapat nama yang sesuai untuk kedai kerana saya mahu kekalkan nama asal yang telah lama digunakan keluarga. "Banyak prosedur yang perlu dilakukan untuk mendapatkan status halal tersebut dan saya sedang usahakan termasuk mengubah suai kedai. "Saya mohon maaf kerana signboard yang terpampang itu tidak dapat diturunkan lagi sehingga mengelirukan pelanggan beragama Islam.," katanya ketika dihubungi mStar. Aadham Fareed berharap usahanya mendapatkan sijil halal dipermudahkan. Pemuda berusia 28 tahun itu bagaimanapun menafikan dakwaan premisnya menjual daging babi meskipun ketika restoran beroperasi sebelum dia memeluk Islam pada Mac 2021. Jelasnya, makanan yang dijual di premisnya dimasak oleh tukang masak beragama Islam dari Indonesia. "Pekerja Melayu, orang Indonesia dan Malaysia... sebab itu ada dapur ayam penyet. Dari awal saya tidak jual menu berasaskan daging babi dan semua bahan mentah diambil daripada pembekal beragama Islam," jelas anak kelahiran Sarawak itu. Selain itu, Aadham turut menjelaskan bahawa 'tokong kecil' di kedai itu adalah milik ibunya yang beragama Buddha dan ia akan dihantar pulang ke rumah keluarganya di Sarawak. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI