suria

Ngeri! Wanita trauma lelaki misteri muncul dari almari bilik hotel, ketukan pintu tengah malam cetus tanda tanya

Penceroboh mendakwa dia mencari individu bernama Sarah.

KEGEMBIRAAN untuk menyambut Aidilfitri di kampung bertukar mimpi ngeri selepas bilik hotel yang ditempahnya diceroboh oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Menerusi rakaman video yang tular, lelaki berkenaan menyatakan dia sedang menunggu seorang wanita bernama Sarah yang didakwanya sebagai 'scammer'.

ARTIKEL BERKAITAN: Ceroboh bilik hotel: Pengawal keselamatan direman, positif dadah methaphetamine

Penjelasannya bagaimanapun mencurigakan, menyebabkan pertengkaran berlaku antara tetamu hotel dan lelaki berkenaan.

"Nama Sarah dan saya bank in (duit) pun pada Sarah. Kejap laa... saya ni nak bincang dengan cara baik, saya ketuk pintu banyak kali," katanya yang turut mendakwa baru ditipu oleh seorang wanita bernama Sarah.

Bercakap kepada mStar, wanita yang merupakan tetamu hotel dan menginap di bilik berkenaan yang dikenali sebagai Sarah berkata, insiden tersebut berlaku di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan pada 5 Mei lalu.

Menurutnya, dia dan keluarga sering menempah bilik di hotel tersebut setiap kali pulang beraya di kampung, namun tidak menyangka penginapan kali berakhir dengan insiden menakutkan.

Menceritakan detik cemas yang dialami, Sarah yang berusia 50-an memberitahu, dia dan keluarga terkejut selepas penceroboh tersebut tiba-tiba keluar dari almari di bilk yang dihuninya.

"Petang tu saya dan keluarga keluar makan di rumah tok abah (datuk) pukul 6 petang dan saya pulang semula ke hotel kira-kira pukul 10.30 malam.

Tangkap layar seorang lelaki yang dikatakan keluar dari almari di bilik hotel.

Tangkap layar seorang lelaki yang dikatakan keluar dari almari di bilik hotel.

"Masa itu, suami saya cucuk kad akses pada pintu tetapi tak boleh buka. Banyak kali cucuk tapi tak boleh masuk juga.

"Saya kemudian ke lobi dan maklumkan mengenai perkara itu kepada pengurusan hotel dan mereka beri kad akses yang lain, tapi tetap tak boleh buka. Saya terpaksa turun sekali lagi dan panggil pihak pengurusan untuk naik ke atas dan membuat pemeriksaan.

"Selepas beberapa kad akses digunakan akhirnya pintu boleh dibuka," katanya.

Menurutnya yang juga pemilik kedai dobi di Kajang, Selangor, bilik dalam keadaan seperti biasa tanpa sebarang tanda mencurigakan.

Namun kata Sarah, seorang lelaki keluar dari almari pakaian di bilik secara tiba-tiba selepas dia membuka tudung dan meletakkan beg di atas katil.

"Dia pegang telefon dan charger saya, apabila ditanya 'buat apa masuk dalam bilik saya'... dia cakap bukan curi barang tetapi mencari individu bernama Sarah yang telah scam dia.

Kejadian berlaku di salah sebuah hotel di Kota Bharu.

Kejadian berlaku di salah sebuah hotel di Kota Bharu.

"Memang ada nama saya pada charger tersebut sebab mudah untuk cari bila berada di luar dengan anak-anak. Saya tanya kalau cari scammer kenapa masuk bilik, kenapa tidak tunggu di bawah dan macam mana tahu bilik tu ada nama Sarah?

"Dia dakwa ada orang bagi kad akses kepada dia suruh masuk bilik ini, iaitu bilik saya. Apa yang saya pelik, bilik ditempah dan didaftar atas nama anak saya, macam mana dia tahu saya nama Sarah?" ujarnya yang curiga bagaimana penceroboh boleh masuk ke bilik menggunakan kad akses yang lain.

Sarah berkata, lelaki berkenaan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut selepas menghubungi pihak pengurusan hotel selain laporan polis dibuat oleh anak perempuannya.

Seorang lelaki datang mengetuk pintu bilik beberapa jam selepas itu dan ia disedari oleh anak lelaki saya yang berusia 20 tahun. Selepas ditanya, dia terus melarikan diri.

SARAH

Dalam pada itu, trauma dan ketakutan belum hilang, Sarah dikejutkan pula dengan kehadiran seorang lagi individu yang dipercayai rakan penceroboh terbabit.

"Seorang lelaki datang mengetuk pintu bilik beberapa jam selepas itu dan ia disedari oleh anak lelaki saya yang berusia 20 tahun. Selepas ditanya, dia terus melarikan diri," katanya.

Sarah berkata, dia kesal dengan kejadian yang berlaku dan mendakwa pihak pengurusan hotel tidak mengambil serius untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, dia masih terkejut dan trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu takut.

Video rakaman yang dikongsinya itu sebagai peringatan kepada masyarakat untuk berwaspada dan berharap pengurusan hotel lebih bertanggungjawab bagi mengelakkan kejadian berulang.

"Saya kecil hati sebab keluarga saya pergi buat laporan polis dan pihak pengurusan hotel langsung tidak menghubungi saya atau bertanya keadaan saya selepas kejadian tersebut," dakwanya.

Antara reaksi netizen.

Antara reaksi netizen.

"Saya trauma, setiap hari tidak boleh tidur, masih dalam keadaan takut, bayangkan tiba-tiba dia keluarkan pisau," tambahnya.

Video berdurasi satu minit 3 saat itu meraih lebih sejuta tontonan di apliaksi TikTok.

Rata-rata warganet meluahkan rasa takut dengan insiden yang berlaku itu.

"Bahaya, lapor polis kak. Panggil pengurusan hotel, macam mana dia boleh masuk atau ada kunci pendua? Takut dia rakam apa-apa.

"Seramnya masuk-masuk bilik ada orang lain dalam almari bilik! Kalau tidak perasan kadi kes rompak, bunuh.

"Macam mana lelaki tu boleh masuk dalam bilik orang?

"Bagaimana kalau seorang perempuan sahaja yang menginap hotel? Auto 'beraksi' member," ujar beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain