KEDATANGAN Aidilfitri disambut dalam suasana berbeza buat sebuah keluarga selepas kehilangan 'hero' mereka akibat Covid-19 pada Julai tahun lalu. Menurut Airisha Hanis Muhammad Afandy Chua, 21, dia dibesarkan oleh bapa tiri, Allahyarham Hamzah Dolmat Azhari Zainal Abidin sejak kecil, sekali gus menyifatkan pemergiannya satu kehilangan besar. "Mama dah berpisah dengan ayah kandung, jadi saya dibesarkan oleh ayah tiri sejak berusia empat tahun. Saya dah anggap arwah macam ayah sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... 2 tahun tahan rindu, anak sedih ada halangan lain tak dapat balik Sabah pada hari kematian bapa ARTIKEL BERKAITAN: Anak hilang kekuatan, ibu meninggal selepas 13 tahun tanggung 5 penyakit... hanya pusara pengubat rindu! "Setiap kali raya, ayah (Allahyarham Hamzah) yang paling teruja. Tapi inilah tahun pertama berpuasa dan beraya tanpa insan tersayang dalam hidup saya dan keluarga. "Ayah meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Ampang pada 10 Julai 2021, ketika umur 54 tahun. Ayah meninggal dalam tidur. Masa tu kami sekeluarga turut dijangkiti Covid-19," ujarnya yang senang disapa Rish. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, bulan suci Ramadan turut sunyi selepas pemergian bapanya, ternyata cukup berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. "Kami belum puas lagi nak buat semua benda dengan ayah. Walaupun hanya ayah tiri, ayah sayang kami macam anak kandungnya sendiri. Saya selalu kata yang saya tak dapat bayangkan puasa dan raya tanpa dia. Tapi kali ini, saya hadapi perasaan itu dengan rasa tak percaya. "Saya reda sebab Allah sayangkan ayah. Tapi alangkah indah kalau dapat raikan puasa dan raya dengan ayah. Teringat sebelum ni, mesti ayah akan ajak sahur di restoran mamak atau Mc Donald's. Itu yang kami selalu buat setiap kali bulan puasa. Kenangan... keluarga bersama arwah (kiri). "Arwah banyak buka mata saya bahawa kasih sayang seorang ayah tu boleh kita rasa walaupun bukan darah daging sendiri. Sampai bila-bila saya tak akan lupa jasa baik dan pengorbanannya," ujar Rish yang menetap di Rawang, Selangor. Dalam pada itu, kedatangan 1 Syawal turut meruntun emosi apabila ia disambut pada hari ulang tahun kelahiran ke-47 ibunya, Maidzatul Akmar Mahajal Abidin. Pada hari tersebut, Rish turut menghadiahkan sekeping lukisan memaparkan swafoto ibunya bersama arwah sebagai tanda kenang-kenangan untuk mereka sekeluarga. Dalam hati, saya tertanya sekiranya hadiah lukisan ini memadai untuk mama. Tapi saya rasa itu gambar terbaik. Mama pun terus simpan lukisan itu dalam biliknya. RISH Video kejutan hadiah penuh emosi itu dikongsi di aplikasi TikTok sehingga meraih lebih 100,000 tontonan. "Lukisan itu ditempah masa nak dekat raya. Baru saja siap pada Ahad lalu. Kebetulan hari lahir mama jatuh pada hari raya pertama. Kali ini ayah tiada untuk raikan bersama. "Biasanya kami sekeluarga tak akan terlepas sambut hari lahir. Kali ini, saya bagi hadiah lukisan untuk mama. Kalau orang tengok video pun boleh menangis, apatah lagi saya. Foto kenangan mereka sekeluarga. "Tapi dalam hati, saya tertanya adakah hadiah lukisan ini memadai untuk mama? Tapi saya rasa itu gambar terbaik. Mama pun terus simpan lukisan itu di biliknya. "Saya terharu dengan komen netizen di TikTok yang mendoakan arwah. Terima kasih atas doa semua. Semoga yang senasib dengan saya terus kuat walaupun tak boleh nak kuat. Yang mana ada insan tersayang, bahagiakanlah mereka," ujar lepasan diploma perakaunan itu. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI