suria

Songkok sorok tanduk! Pelajar dakwa digagalkan subjek sebab enggan layan ‘ustaz’ gatal, order jagung rebus manis minta pegang tangan

Penjelasan Trisya mengenai gangguan seksual yang dihadapinya.

PENGALAMAN pahit menimpa seorang gadis apabila mendakwa pernah menjadi mangsa gangguan seksual seorang lelaki yang merupakan seorang pensyarah.

Kisah hitamnya berlaku semasa dia sedang mengikuti pengajian diploma di sebuah institusi yang enggan dinyatakan nama dan lokasinya.

Menurut Nor Batrisyia Izzatie, 22, dia bukanlah mangsa pertama yang terpaksa berdepan dengan situasi 'dikacau' oleh pensyarah yang dipanggil ustaz kerana mengajar subjek agama ini, sebaliknya ada rakan lain turut berdepan nasib sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali kena gangguan seksual dalam masa 24 jam, jerit pun tak guna... wanita ini sedar sikap orang sekarang - “Penumpang lain hanya tengok ‘drama’ saja”

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dipaksa sebut ‘I love you’ jadi mangsa gangguan seksual... lelaki tak dikenali ugut nak cari di tempat kerja, mujur cubaan sentuh gagal

"Kejadian ni jadi dekat saya masa semester empat. Saya kena ganggu dengan ustaz yang memang mengajar satu subjek saya ambil untuk semester tu.

"Sebenarnya ramai lagi 'mangsa' dia sebelum saya kena tapi saya baru tahu. Apa yang saya pernah kena, dia sentuh secara fizikal dan banyak lagi sebelum ni. Cara dia pandang saya pun lain padahal dekat kolej ni pelajar-pelajar boleh dikatakan semua kena pakai baju kurung dan jubah saja.

"Selain tu, dia selalu hantar teks dan call saya tak kena masa. Dia bahasakan dirinya abang dan panggil saya dengan panggilan 'sayang' beberapa kali. Kadang-kadang dia telefon saya tanya dekat mana, buat apa dan dah makan ke belum. Ada juga dia tanya tengah shooting ke tu sebab saya ada buat part time berlakon," dakwanya yang senang disapa Trisya.

Bercerita lanjut kepada mStar, Trisya memberitahu bahawa pensyarah yang dikatakan 'menggatal' dengannya ini sudah berumahtangga.

Dia yang mengambil jurusan Pengajian Perniagaan mendakwa keadaan menjadi lebih parah apabila lelaki berkenaan pernah memegang tangannya dengan alasan tidak munasabah.

Kisah dan pengalamannya menjadi mangsa gangguan seksual ini terbongkar semasa dia dan rakan-rakan kolej sedang berniaga bagi melaksanakan tugasan salah satu subjek diambil pada ketika itu.

"Kami kena berniaga jagung rebus manis untuk salah satu subjek yang saya ambil. Saya pula ditugaskan untuk COD (Cash On Delivery) dekat pensyarah. Bila saya dapat tahu ustaz ni ada buat tempahan, saya mengomel dalam hati sebab malas nak hadap muka dia.

Trisya menjadikan lakonan sebagai kerja sambilannya.

"Hari saya hantar makanan tu saya elok berpakaian baju kurung. Bila sampai bilik dekat pejabat ustaz tu saya bagi salam dan terus beritahu nak hantar jagung dia order. Kemudian dia makan dan cakap dekat saya 'sedap dan manis jagung ni macam awak'. Saya dah mula tak selesa bila dapat respons macam tu.

"Tiba-tiba dia suruh saya tutup pintu bilik tapi saya persoalkan kenapa perlu tutup sebab tak ada orang lain selain kami berdua. Dia cakap ada perkara belum selesai. Saya ingatkan dia nak saya selesaikan mengenai hafazan sebab memang saya belum habiskan lagi hafazan. Saya duduk dekat kerusi tu sambil peluk dulang yang saya bawa jagung tadi," ujar Trisya yang mengaku ketakutan berdepan situasi itu

Kata Trisya yang kini tinggal di Setapak, Kuala Lumpur, pensyarah berkenaan kemudian meminta dia menghulurkan tangan kepadanya tanpa sebarang sebab.

Saya terpaksa ambil lagi sekali subjek tu. Saya bersyukur sangat bila dapat belajar dengan ustaz lain untuk subjek tu.

NOR BATRISYIA IZZATIE

Setelah dituruti, tidak disangka-sangka dia memegang tangannya lantas membuatkan Trisya terkejut.

"Tiba-tiba ustaz pegang tangan dan cakap 'pucatnya kuku jari awak ni' dan bertanya soalan lucah. Saya terus tarik tangan dan cakap 'apa ustaz cakap ni!' dan terus beredar dari bilik dia.

"Lepas kejadian tu, tiba-tiba saya dapat surat dari pengurusan tertinggi kolej. Dekat surat tu minta saya nyatakan dan buktikan saya tak bersalah sebab tak masuk kelas ustaz berkenaan. Surat tu pun ada nyatakan saya akan gagal subjek tu kalau tak boleh kemukakan bukti.

Trisya mengambil jurusan Pengajian Perniagaan sewaktu pengajian diploma.

"Saya terkejutlah bila baca sebab tak pernah ponteng suka hati kelas dia. Kalau tak masuk kelas pun saya bagi surat pengesahan saya sakit yang doktor bagi. Jadi dekat situ saya sedar dia sengaja nak gagalkan saya untuk subjek kelas dia mengajar tu," kata Trisya.

Demi membela nasib diri, Trisya membawa segala bukti kepada pihak pengurusan berkaitan segala gangguan yang dilakukan oleh lelaki tersebut.

Namun, segala usahanya hanya sia-sia apabila dia dikatakan cuba menjatuhkan kredibiliti dan maruah pensyarah dengan tindakannya itu.

Bertambah malang, jelas Trisya, dia telah digagalkan dan terpaksa mengulangi subjek itu bagi semester seterusnya.

"Saya terpaksa ambil lagi sekali subjek tu. Saya bersyukur sangat bila dapat belajar dengan ustaz lain. Ustaz tu ada puji yang hafazan saya lancar dan dia pelik kenapa saya gagal sebelum ni.

Trisya tidak membuat sebarang laporan polis walau mendakwa berdepan gangguan seksual.

"Selain mama saya tak ada bagitahu orang lain pasal ni. Dia ada cakap nak datang kolej mengenai perkara ni tapi saya tak bagi. Cukuplah lepas saya buat report tu pun, semua lecturer pandang saya semacam.

"Lepas apa yang jadi ni, saya nak beritahu dekat semua wanita di luar sana, jangan takut dan mudah percaya sesiapa pun. Kadang-kadang, songkok pun boleh tutup tanduk. Sepatutnya pihak universiti titik beratkan soal gangguan seksual ni. Macam mana sekali pun pemakaian seseorang, ia tak menjadi tiket untuk seseorang itu dirogol atau dicabul," jelas Trisya penuh kesal dengan apa yang berlaku.

Trisya berkata dia tidak membuat sebarang laporan polis selepas kejadian kerana takut dan sedih selepas apa yang berlaku kepadanya yang mana aduan kepada pihak universiti dirasakan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Tangkap layar komen beberapa netizen pada video yang tular.

Tambahnya lagi, segala bukti dan tangkap layar mesej mengenai gangguan yang diterimanya kini telah hilang setelah telefon pintarnya rosak.

Berikutan video yang menjadi tular itu, Trisya menerima banyak komen menyatakan bahawa mereka menimpa nasib sama sepertinya hanya kerana tidak 'melayan' ustaz tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain