suria

Ahli kimia dedah hasil selepas buat uji kaji sendiri di rumah gara-gara tertarik dengan tip viral cepatkan nyahbeku daging

Barang mentah yang disejuk beku sukar untuk dimasak segera.

IKAN, daging dan ayam mentah yang terlalu lama berada di dalam peti ais bukan sahaja sukar dikeluarkan, malah kelam kabut jadinya jika mahu menyegerakan urusan memasak.

Maka tidak hairanlah apabila wanita bekerjaya masa kini memilih untuk memasak dalam kuantiti yang banyak dan terus menyimpannya sebagai makanan sejuk beku.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedap, mudah disediakan! Anda mungkin akan tinggalkan frozen food selepas tahu 4 bahayanya kepada kesihatan

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit mata tengok peti sejuk banyak ‘khazanah’, mak tak ada di rumah ayah beri lampu hijau... berdebar tunggu reaksi ibu, mana tidaknya penuh 2 plastik hitam dibuang!

Situasi ini menyebabkan, perkongsian tentang tips mempercepatkan proses nyahbeku menggunakan teknik meletakkan periuk logam yang berisi air di atas bahan beku tersebut tular di media sosial.

Proses nyahbeku menggunakan teknik tersebut dikatakan hanya mengambil masa selama 30 minit.

Justeru, bagi memastikan teknik yang tular itu berkesan dan sesuai digunakan setiap lapisan masyarakat, ahli kimia Dr Fatimah Salim tampil dengan uji kajinya.

Hantaran yang dibuat di laman Facebook Fatimah Salim.

Hantaran yang dibuat di laman Facebook Fatimah Salim.

"Sebagai ahli kimia yang suka meraikan pelbagai pandangan, jadi saya pun beruji kaji.

"Namun di rumah, saya tiada stok daging beku petak. Jadi saya pun menyahbeku kepak ayam untuk memastikan teori asas saya betul.

"Maka semalam sambil menunggu mencuci dan menjemur baju, saya jalankan uji kaji dan dapatan setelah 1 jam 30 minit berlalu, kelihatan bahagian atas yang bersentuhan dengan tapak periuk besi telah ternyah beku," jelasnya menerusi hantaran di Facebook.

Bagaimanapun katanya, bahagian tengah dan bawah kepak ayam beku itu masih lagi belum ternyahbeku dan bercantum antara satu sama lain.

Oleh itu, ujarnya, kepak ayam tersebu dialirkan di bawah air paip seketika untuk proses memisahkannya.

Eksperimen yang dilakukan Fatimah.

Eksperimen yang dilakukan Fatimah.

"Ternyata pemahaman teori asas saya benar. Teknik tersebut mungkin berkesan bergantung kepada suhu persekitaran, luas permukaan daging beku dan tapak periuk logam yang bersentuhan serta jumlah air yang dimasukkan ke dalam periuk dan saiz daging yang perlu dinyahbeku.

"Konsep asas fenomena ini saya ajar dalam topik kimia haba (Thermochemistry). Ia dipanggil proses perpindahan haba (heat transfer) daripada bahan bersuhu tinggi (air dalam periuk) kepada bahan sejuk (di sini daging beku).

"Asasnya haba kedua bahan yang berbeza akan mencapai kesetaraan apabila bersentuhan," katanya.

Menjelaskan mengenai proses tersebut, ujar Fatimah, daging akan ternyahbeku untuk menyamai suhu persekitaran air dalam periuk.

Teknik ini sebenarnya boleh dipraktikkan dengan lebih berkesan apabila memasukkan daging beku ke dalam periuk besi.

FATIMAH

Tambahnya, walaupun air mampu menyerap dan menyimpan haba yang lebih namun jika suhu air dalam periuk telah menyamai suhu daging beku, maka proses penyahbekuan akan menjadi lama.

"Kecuali air di dalam periuk ditukar berulang kali.

"Teknik ini sebenarnya boleh dipraktikkan dengan lebih berkesan apabila memasukkan daging beku ke dalam periuk besi. Boleh tutup supaya ia tidak terdedah terus dengan udara yang juga membawa kuman," ulasnya.

Dalam pada itu, dia turut memaklumkan bahawa periuk yang diperbuat daripada logam seperti periuk tembaga, aluminium, besi dan keluli tahan karat adalah pengalir haba yang baik.

Wanita bekerjaya sering menyejukbekukan masakan yang dimasak dalam kuantiti banyak supaya mudah dimakan anak-anak.

Bahan mentah yang telah disejukbeku boleh dileraikan dengan beberapa kaedah.

Katanya, periuk logam boleh membantu menyerap haba daripada persekitaran dan memindahkannya kepada daging yang hendak dinyahbeku.

Maka, cepatlah proses dinyahbeku berlaku.

Penjelasan yang dibuatnya itu turut mendapat perhatian Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan Negeri Kelantan sehingga dikongsikan lebih 2,800 pelayar Facebook.

Ekoran itu, rata-rata warganet berkongsi tentang cara menyahbeku masing-masing.

"Cara saya buka plastik daging atau ayam, rendamkan penuh bersama dua atau tiga batang sudu besi. Dalam 30 minit memang akan lerai.

Antara reaksi netizen.

Antara reaksi netizen.

"Biasanya saya akan masukkan daging atau ayam dalam ziplock bag dan rendamkan dalam bekas berisi air pada suhu bilik. Boleh tahan cepat juga defrost.

"Jangan bazir masa tuan-tuan dan puan-puan. Semasa simpan, letakkan bahan mentah tadi siap-siap dalam plastik. Saya guna plastik bungkus teh ais dan simpan mengikut portion masakan. Kemudian letak dalam bekas lain susun elok-elok dalam sejuk beku. Bila nak masak, keluarkan plastik berisi bahan mentah tadi, rendam di dalam air suam pastikan tenggelam.., air tak terlalu panas tak terlalu sejuk.

"Nak senang tidak kira ayam, daging, ikan, sotong atau udang... keluarkan dari peti sejuk dan letak dalam bekas kemudian buka kecil air paip kat sinki, lalukan bawah air dan biarkan. Kalau mahu lagi cepat, buka besar air dan tak sampai 20 minit dah lembik sebab ais lagi cepat cair kena air. So far teknik ni la paling terpantas saya pakai setiap kali suami kata nak balik makan," luah beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain