suria

Sabar ajelah! Selepas pandu dari Kedah-Shah Alam demi ‘nasi ayam zaman UiTM’, tiba di kedai isteri tengah mengidam terus lupa suami

Nabil sanggup memandu dari Kedah ke Shah Alam bagi mengelakkan isterinya kempunan makan nasi ayam.

DEMI orang yang tersayang, apa pun jua permintaan mereka pasti kita sanggup lakukan.

Apatah lagi jika permintaan atas nama 'mengidam' oleh ibu hamil, walau kadang-kala sukar dan tidak masuk akal tetap diusahakan juga.

Berkongsi cerita kepada mStar, Wan Mohd Nabil Wan Othman, 35, berkongsi kisah bagaimana dia memandu sejauh lebih 440km (kilometer) demi memenuhi kehendak isterinya, Hazwani Gahzali, 35, yang kini sedang mengandung empat bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selongkar stor jumpa duit dalam plastik sampah! Suami isteri hobi kumpul syiling lupa pernah menabung 6 tahun lalu... dah mula sedekah tapi ada lagi

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mengidam nasi ayam goreng di sekolah lamanya, suami terpaksa pergi sehari lebih awal ‘kawtim’ dengan guard

Jelasnya yang mesra disapa Nabil, isterinya menyatakan hasrat teringin makan nasi ayam yang dijual dekat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor pada 13 Mei lalu.

"Hari Jumaat lepas kami buntu tak tahu nak pergi ke mana. Kebetulan pula nanti cuti kami bersambung sampai ke hari cuti Wesak jadi saya dan isteri buat plan nak pergi jalan-jalan.

"Masa kami tengah leka berbicang dan beri cadangan, isteri tiba-tiba cakap 'Kan best kalau dapat makan nasi ayam dekat Seksyen 7 tu.' Kebetulan pula saya pun memang tak tahu nak pergi ke mana. Tapi kami dah lama tak makan dekat situ jadi saya risau kedai tu dah tutup tak boleh 'survive' masa PKP (perintah Kawalan Pergerakan) tapi isteri berkeras nak pergi juga.

"Saya pun akur... sebab dah faham sangat kalau dia tengah mengidam memang akan minta nak pergi situ. Ini pun bukan kali pertama dia minta nak pergi sana. Masa mengandung anak pertama dulu pun saya dah kena hadap permintaan dia. Kasihan pula mana tahu nanti dia kempunan sebab tengah mengandung anak saya juga," jelasnya yang menetap di Pokok Sena, Kedah.

Demi isteri tercinta, Nabil dan isteri yang sudah berumah tangga lebih sembilan tahun ini terus menaiki kereta jenis Honda City dan bertolak pada jam 9 pagi dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Shah Alam, Selangor.

Menurut bapa kepada dua orang cahaya mata yang masing-masing berusia tujuh tahun dan lima tahun ini, mereka berjaya tiba di Shah Alam pada jam 2 petang.

Nabil dan ahli keluarganya bertolak ke Selangor demi menikmati nasi ayam kukus di UiTM Shah Alam.

"Kami bertolak dari Kedah memang dah 'bajet' untuk sampai waktu makan tengahari. Jadi kalau ada rezeki tu makan dia jadi nikmat sikit sebab sanggup datang jauh-jauh. Tapi bila sampai kedai tu, shutter buka separuh saja. Isteri saya dalam kereta dah nampak kecewa sangat.

"Tak sanggup tengok dia bersedih jadi saya turun dan tanya dekat tuan kedai tu Nasi Ayam Kukus Yasmin masih ada jual atau tidak dan nasib baik kami terima jawapan tidak mengecewakan. Bukan apa, kami risau bila sudah bertukar tauke, nasi pun bukan sama macam dulu. Tapi mujurlah pelayan tu cakap mereka masih menggunakan resepi sama.

"Bila dapat makanan tu, memang isteri saya dah tak bercakap dengan saya. Betul-betul dia hargai makan nasi ayam tu padahal sepanjang bulan puasa dia tak lalu nak makan. Lega bila saya tengok dia berselera semula. Tak rugi saya gagahkan juga drive sejauh ni cuba nasib bila tengok reaksi isteri," jelas Nabil.

Tak sanggup tengok dia bersedih jadi saya turun dan tanya dekat tuan kedai tu Nasi Ayam Kukus Yasmin masih ada jual atau tidak dan nasib baik kami terima jawapan tidak mengecewakan.

WAN MOHD NABIL

Imbas Nabil mengenai zaman percintaanya dahulu, dia dan isteri merupakan alumni UiTM yang melanjutkan pengajian pada 2011 sehingga 2013.

Malah, nasi ayam ini merupakan makanan yang selalu mereka makan hampir setiap hari kerana ia merupakan makanan mudah dan tidak perlu fikir untuk memilih lauk lain.

Ujar Nabil, mereka menginap di hotel Trefoil, Setia Alam sepanjang tiga hari bercuti ke Selangor.

"Hari ketiga yang merupakan hari terakhir kami dekat sini, isteri masih tak jemu nak makan nasi ayam tu. Dia siap tanya boleh ke nak tapau bawa balik ke Kedah. Habislah kereta saya bau nasi ayam sampai Kedah," seloroh Nabil.

Nabil mendirikan rumah tangga pada 18 Mei 2013.

Berikutan rakaman video yang dimuat naik di TikTok, rata-rata netizen memuji kesungguhan Nabil dalam kesanggupannya merealisasikan keinginan isterinya itu.

Dalam pada itu, Nabil turut meluahkan rasa syukur apabila warga maya meninggalkan komen mendoakan kebaikan dan kesejahteraan dia dan keluarga kecilnya ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain