suria

Kasihan... YouTuber dituduh sengkek sebab asyik hasilkan video makanan rakyat marhaen, kos murah

Idham berdepan komen negatif kerana tampil dengan menu harian biasa menerusi video di YouTube dan TikTok.

KEWUJUDAN platform YouTube dan TikTok membuka ruang buat rakyat negara ini menjadi content creator.

Tidak terkecuali, Muhammad Idham Jamil yang aktif menghasilkan video 'makan-makan' sejak dua tahun lalu.

Senang disapa Idham, dia bagaimanapun berdepan komen negatif dan dianggap 'tidak berduit' kerana tampil dengan makanan yang dianggap biasa oleh segelintir pelayar media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedapnya! Wanita Melayu-Myanmar buat ramai terliur masak mi segera dalam hutan salji di Amerika

ARTIKEL BERKAITAN: Beria kongsi video masakan, tapi mata netizen tak fokus... Pemuda kacak Pasir Mas raih perhatian

"Bang saya tengok menu abang dekat YouTube biasa je tak macam orang lain. Bang Idham tak ada duit ke?

"Macam ni bang. Abang kalau nak orang support, kena buat content yang makan benda sedap. Cheese burger ke, Starbucks ke... barulah minat orang nak subscribe," tulis beberapa individu.

Bercerita kepada mStar, Idham berkata dia pada awalnya terkejut menerima komen-komen tersebut, namun tidak pernah putus semangat untuk meneruskan minatnya.

"Saya mula buat video makan-makan di YouTube pada Februari 2020. Kemudian saya juga buat video di TikTok sejak Mei tahun lepas. Saya buat video makan menu-menu harian dan lauk kampung. Pada pemikiran saya, saya nak penonton yang melihat boleh merasa dan mampu makan menu yang saya tunjukkan.

"Saya bukan orang senang, saya dari keluarga sederhana. Jadi untuk cuba menu mahal sudah pasti akan makan kos. Sebab itu saya makan menu harian biasa saja seperti telur dengan kicap, mi segera, ikan cencaru air asam, nasi bujang dan nasi putih dengan sardin.

WhatsApp Image 2022-05-22 at 5.18.44 PM

Idham menyasarkan untuk mengumpul 100,000 subscribers YouTube pada tahun ini.

"Sebagai orang baru di media sosial, awalnya saya agak terkejut bila dapat komen negatif. Ada yang direct message (DM) kepada saya, dia kata kau tak ada duit ke nak beli makanan? Hakikatnya saya memang orang sederhana saja, jadi untuk beli menu mahal mungkin agak susah. Awalnya saya fikir, kenapa mereka cakap macam tu? Tapi saya terima seadanya.

"Niat saya nak perkenalkan menu kampung kepada penonton, mungkin ada yang tak pernah cuba. Menu-menu seperti nasi bujang juga macam nostalgia buat sesetengah orang. Tak salah saya buat video, tapi ada orang tak boleh terima. Mereka nak tengok makanan mewah saja. Walaupun down, saya jadikan ia sebagai pembakar semangat," ujarnya.

Menurut pekerja swasta yang menetap di Pelabuhan Klang itu, dia tetap bersyukur kerana masih ramai insan lain yang menerima dengan baik kehadirannya sebagai content creator di YouTube dan TikTok.

Saya bukan orang senang, saya dari keluarga sederhana. Jadi untuk cuba menu mahal sudah pasti akan makan kos.

IDHAM

Malah kata Idham, dia terkejut apabila salah satu videonya meraih hampir sejuta tontonan di TikTok, sekali gus memberi semangat untuk dia meneruskan minat itu pada masa akan datang.

"Saya sebenarnya seorang yang pemalu. Tapi saya tetap beranikan diri buat video. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini saya sudah ada 10,000 subscribers di YouTube. Di TikTok juga sangat baik sambutannya, ada video saya mencecah hampir sejuta tontonan.

"Pertamanya saya nak ucap syukur kepada Allah. Tak sangka dapat sambutan begini. Saya ini hanya orang kecil, tak siapa kenal saya. Jadi bila dapat banyak komen positif, sudah tentu ia menaikkan lagi semangat saya dalam bidang ini," ujar jejaka berusia 30-an itu.

idahm1

Di sebalik segelintir komen negatif, Idham turut menerima banyak sokongan daripada netizen.

Dalam pada itu, Idham turut menitipkan pesan kepada individu di luar sana agar lebih berhati-hati sebelum meninggalkan apa-apa komen menerusi media sosial.

Jelasnya, bukan mudah untuk seseorang individu menghasilkan video, jadi sebaiknya teguran itu dibuat secara lebih berhemah, bukannya kecaman yang tidak berasas semata.

"Cuma pesanan saya secara peribadi, kepada sesiapa yang nak komen apa sahaja yang boleh mengguris perasaan, kena fikir usaha dia. Contohnya saya, sebagai insan yang buat video, bukan mudah nak buat semua itu. Nak rakam video, kita kena set up, nak edit lagi... panjang prosesnya.

"Jadi untuk orang yang melihat, orang yang nak komen, kena pertimbangkan serba sedikit. Saya tahu orang akan bercakap apa saja, orang nak komen kita tak boleh halang, tapi sama-samalah kita ambil peringatan. Walaupun saya sendiri rasa down, saya ambil apa yang berlaku sebagai suntikan semangat," ujarnya lagi.

idahm2

Sebahagian video di saluran YouTube Idham.

Akhir bicara, Idham berkata besar harapannya untuk melihat kedua-dua platform diceburinya itu berkembang lebih meluas, malah dia menyasarkan 100,000 subscribers pada tahun ini.

"Doa dan harapan saya semoga bidang yang saya ceburi ini terus berkembang maju, lebih ramai orang mengenali saluran YouTube dan TikTok saya, sentiasa menyokong saya agar saya terus maju ke hadapan dengan karya-karya berkualiti selain memberi impak yang positif kepada penonton.

"Selain itu saya juga berharap agar jumlah tontonan di YouTube dan juga TikTok meningkat dari semasa ke semasa dan mampu untuk mencapai 100,000 subscribers tahun ini, AnsyaAllah Amin," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain