suria

Suami bawa balik KKU, wanita akui mencabar nak jaga! Pernah maki, terbaling walau sayang... tapi sangat percaya rezeki bela kucing

Zila dan suaminya (gambar kecil) mula membela Momot sejak dua tahun lalu.

KEHADIRAN seekor kucing yang diberi nama Momot banyak membuka mata wanita ini mengenai erti kesabaran.

Menurut Siti Azila Alias, kucing kelainan upaya (KKU) itu ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di dalam longkang, sekitar dua tahun lalu.

Dia pada awalnya berat hati menerima kehadiran Momot, namun tetap membela haiwan itu selepas ia dibawa pulang oleh suaminya Mohd Shahril Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN: Amboi! Kucing garang bertukar manja hanya selepas dipanggil ‘sayang’ - “Suami saya hadiahkan, tapi dia pun takut Ciko”

ARTIKEL BERKAITA: Dulu takut, kini hidup dengan kucing! Wanita ini reda 3 virus ragut nyawa si bulus kesayangan, cuma terkilan parcel untuknya lewat tiba

"Suami saya suka bagi makan kucing di bawah blok kediaman kami. Momot salah seekor kucing yang ada di kawasan itu. Suatu hari, kelibatnya tak kelihatan. Tak tahu macam mana tuhan nak bagi jumpa, suami nampak Momot di dalam longkang.

"Suami saya fikir Momot dah mati, dengan perut kembung, ia kelihatan tak bergerak. Bila pergi dekat, tengok matanya berkelip. Suami angkat dan basuh Momot, memang bau longkang. Rupa-rupanya Momot cedera digigit anjing.

"Bila suami bawa balik ke rumah, saya awalnya agak berat hati nak terima. Masa tu kami dah ada sembilan ekor kucing. Ketika dibawa ke klinik haiwan, doktor sahkan yang Momot tengah bunting tapi ia dah keguguran. Anaknya mati dalam perut selepas 'dikokak' anjing.

"Dalam keadaan macam tu, saya terima juga Momot. Saya mula bela Momot pada Disember 2020. Selain Momot, ada seekor lagi KKU di rumah saya," ujar wartawan sambilan yang senang disapa Zila itu.

WhatsApp Image 2022-05-22 at 4.32.31 PM (1)

10 ekor kucing yang dibela pasangan itu.

Menurut wanita yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan itu, kesabarannya juga pernah teruji sehingga dia secara tidak sengaja mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya terhadap Momot.

Namun kata Zila, dia menyesali kejadian itu dan mengambil apa yang berlaku sebagai iktibar dan berazam tidak mengulanginya pada masa akan datang.

"Saya berhadapan banyak cabaran. Nak uruskan rumah tangga, uruskan kucing lagi. Selain Momot, ada seekor lagi KKU iaitu Tora yang pernah kena potong perut sebelum ini. Jadi, Momot dan Tora perlu pakai pampers.

"Ada suatu hari, saya terlalu penat mental dan fizikal. Pada waktu itu saya tengah nak potong kuku Momot, kemudian ia cakar saya. Jadi saya terbaling dia ke tepi. Saya cakap tak nak bela Momot. Momot macam terkejut, terus suami ambil dan peluk Momot.

Bersabarlah dalam menjaga mereka InsyaAllah mereka pun sentiasa mendoakan kita. Kucing jalanan pun berhak dapat kasih sayang.

ZILA

"Saya tahu benda tu tak sepatutnya berlaku. Saya bangun dan pergi menangis di dapur. Saya tenangkan fikiran, lepas tu saya pergi dekat Momot, dukung dan minta maaf. Saya kata saya sayang Momot dunia akhirat. Momot pun seekor kucing. Ia tak faham apa-apa. Momot kucing yang baik, cuma kadang-kala ada perangai nakal, tapi Momot kucing yang bijak.

"Setiap hari dua kali Momot kena tukar pampers. Momot perlu dibantu untuk lawaskan kencing. Walaupun dah kencing dalam pampers, tapi saya perlu picit pundi untuk keluarkan saki baki air kencingnya setiap hari," ujar Zila lagi.

Menurut Zila, dia berasa rezekinya semakin mencurah-curah selepas kehadiran Momot, malah tidak kisah berbelanja hampir RM1,000 setiap bulan untuk kesemua kucingnya.

Kata Zila lagi, dia juga menganggap kehadiran kucing-kucing di rumahnya sebagai latihan sebelum dia dikurniakan rezeki cahaya mata suatu hari nanti.

zila1

Zila dan suami sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga.

"Alhamdulillah. Kehidupan kami sederhana saja, tapi rezeki sentiasa rasa cukup. Memang banyak kos, tambahan pula ada dua kucing yang perlu pakai pampers. Tapi kami tak kisah. Saya anggap macam kami yang tumpang rezeki kucing.

"Lagi banyak kita keluarkan, lagi banyak tuhan bagi. Momot tu banyak bawa rezeki. Saya buat kuih secara part-time, semenjak Momot ada, ada je rezeki masuk untuk kami.

"Kami juga dah tiga tahun berkahwin tapi belum ada rezeki cahaya mata. Ada orang cakap kami tak dapat anak sebab bela kucing. Pada saya, itu semua ketentuan Allah. Jadi kami pun tak ambil pusing.

"Mungkin Allah bagi peluang untuk saya jaga Momot dan kucing-kucing lain dulu. Kucing pun macam bayi. Mungkin suatu hari nanti Allah akan bagi cahaya mata buat kami," ujarnya.

zila4

Kehadiran si bulus banyak membawa rezeki buat Zila dan suaminya.

Akhir bicara, Zila dan suaminya, masing-masing berusia 37 tahun, turut berdoa agar dipanjangkan umur kerana risau dengan nasib kesemua kucing di rumah mereka.

Malah kata Zila, dia kagum dengan ketabahan pemilik KKU yang lain dan menganggap mereka semua sebagai insan terpilih.

"Kami selalu doa Allah panjangkan umur kami dan biarlah 'budak-budak' ni pergi dulu. Sebab kalau kami pergi dulu, siapa nak jaga mereka especially Momot dgn Tora. Selalu risau benda ni.

"Satu lagi, kepada cat parents yang ada bela KKU, anda semua insan yang hebat. Ada sebab Allah pilih kita untuk jaga kucing-kucing ni.

"Bersabarlah dalam menjaga mereka InsyaAllah mereka pun sentiasa mendoakan kita. Kucing jalanan pun berhak dapat kasih sayang," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain