BEKERJA dalam persekitaran toksik bukan sahaja membunuh bakat seseorang dan memberi impak negatif kepada syarikat tetapi boleh mengakibatkan seseorang individu itu mengalami kemurungan atau penyakit mental yang serius. Seperti yang didakwa gadis berusia 21 tahun ini, disebabkan mempunyai rakan sekerja yang toksik dia kembali menghidap masalah kemurungan. ARTIKEL BERKAITAN: Derita dalam senyap! Wanita dedah 2 jam tak sedar pukul diri sendiri, BF sampai lebam... titip pesanan elak jadi lebih parah ARTIKEL BERKAITAN: Sekelip mata jadi OKU, pemuda tak keluar bilik 2 tahun akibat kemurungan sebelum bangkit demi ibu... kini dah kerja bank, ada isteri! Mendedahkan situasi yang dialami sejak memulakan kerja awal Januari lalu, Lola mendakwa dia sering menjadi 'mangsa' kepada rakan sekerja yang lebih senior. Malah, ketika dihubungi mStar, dia memaklumkan bahawa sudah tiga surat berhenti kerja dihantar sepanjang tempoh kira-kira lima bulan bekerja di syarikat tersebut dengan permohonan kali pertama dan kedua ditolak. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Saya memang menghidap masalah kemurungan sejak berusia 18 tahun dan perlu jumpa pakar psikiatri setiap bulan serta mengambil ubat-ubatan berkaitan. "Tapi pada tahun lepas, lebih kurang lapan bulan keadaan saya semakin baik dan dos ubatan juga sudah dikurangkan. "Bagaimanapun sejak bekerja di satu syarikat ini, saya kembali tertekan," luahnya ketika dihubungi. Lola merupakan graduan Diploma Pengurusan Pelancongan dan Perhotelan. Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu lagi, ia berpunca daripada rakan sekerja yang disifatkan tidak bertimbang rasa dan suka 'mempermainkan' dirinya sebagai pekerja baharu. Ujarnya, syarikat berkenaan mempunyai 13 pekerja dan kesemuanya adalah wanita. "Banyak yang rakan sekerja lakukan. Mereka merupakan pekerja senior, selain ayat-ayat yang kasar... mereka juga suka memberi pandangan tidak puas hati serta bersikap dengki. "Saya juga sering dimarah dan ditengking di hadapan pelanggan. Pernah mereka keluarkan ayat 'budak baru jangan berlagak sangat, dah la bodoh tak nak bertanya'. "Semasa saya ditugaskan pada bahagian despatch, mereka beri RM200 sebagai duit tukaran tapi malangnya ia bukan duit pecah seperti yang sepatutnya diletakkan dalam kaunter bayaran," katanya yang merupakan graduan Diploma Pengurusan Pelancongan dan Perhotelan di Dungun, Terengganu. Ujarnya lagi, apabila tindakan tersebut dipersoalkan, mereka dengan selamba membalas 'memang tidak ada duit kecil'. Pernah dimasukkan ke hospital kerana cederakan diri sendiri. Tambahnya, sikap senior yang paling memberi kesan adalah mereka sengaja menyebabkan dia dimarahi pelanggan yang ingin membuat bayaran. "Ada pelanggan nak buat bayaran menggunakan kad, tiba-tiba senior ni terus tekan approved cash pada perisian komputer. "Kemudian dia cakap 'ops sorry, aku dah tekan bayar cash' sedangkan pada masa itu pelanggan terbabit memang dah keluarkan kad bank membuat bayaran secara online. "Tindakan itu menyebabkan saya kelu lidah kerana pesakit mula marah dan meninggikan suara," luahnya yang turut menangis ketika mengimbas situasi tersebut. Lebih menyedihkan apabila kesilapan yang berlaku itu tidak mendapat simpati daripada mana-mana senior yang berada di situ. Tidak tahan dengan sikap yang dipamerkan itu, dia sekali lagi menghantar surat berhenti kerja. Tiba-tiba tadi pihak kewangan hubungi dan menyatakan saya perlu membayar balik elaun perubatan berjumlah RM588... ia akan ditolak melalui gaji. LOLA Namun, keadaan tidak disangka-sangka berlaku yang mana dia diminta untuk membayar semula elaun perubatan yang diberikan. "Sudah tiga kali saya hantar surat berhenti kerja tapi kali ketiga ni sangat kejam. Saya dapat elaun perubatan RM500 setahun dan penyelia suruh saya habiskan sebab sayang kalau saya tidak gunakan sebelum berhenti. "Jadi disebabkan 'nasihatnya' itu, saya ambil ubat dari farmasi dan mendapatkan rawatan doktor ketika sakit bagi menghabiskan elaun berkenaan. "Tiba-tiba pada 24 Mei pihak kewangan hubungi dan menyatakan saya perlu membayar balik elaun perubatan berjumlah RM588... ia akan ditolak melalui gaji," ujarnya yang masih terkejut selepas dimaklumkan perkara tersebut. Ekoran itu, anak kelahiran Banting, Selangor itu mempersoalkannya dan meminta penjelasan lanjut. "Saya tanya pihak kewangan dan mereka maklumkan bahawa saya baru bekerja di situ. Keadaan itu menyebabkan saya terus menangis dan menjadi serabut sehingga perlu bertemu pakar psikiatri. Lola perlu berada di bawah pemantauan pakar psikiatri. "Doktor nasihatkan saya supaya tidak fokus kepada isu tersebut pada masa ini kerana keadaan kesihatan mental saya tidak stabil. "Saya diberikan cuti sebab dia takut saya trigger jika terus bekerja dan keadaan saya perlu dipantau setiap minggu," tambahnya. Memulakan cerita tentang masalah kemurungan yang dihadapi sebelum ini, ujar Lola, ia berpunca daripada kejadian seorang lelaki yang mengugut ingin merogol dan membunuh dirinya sebelum ini. Keadaan yang menakutkan itu menyebabkan dirinya tertekan sehingga mengalami kemurungan. Malah katanya, setiap masalah dan kesulitan yang dialami tidak pernah diceritakan kepada keluarga. "Saya bukan jenis cerita masalah pada keluarga... kalau cerita pada mak dan ayah, nanti mereka risau. "Awalnya mereka memang tidak tahu saya menghidap kemurungan tapi sebab saya warded hari tu mereka terus tahu," luahnya. Terdahulu perkongsian videonya tular di aplikasi TikTok. Bagaimanapun ia telah dipadam bagi menjaga sensitiviti. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI