suria

Sejak awal kahwin disahkan tak boleh hamil normal, wanita meraung diuji dengan kanser limfoma ketika jalani rawatan IVF

Perkongsian yang dilakukan Syaz.

VIDEO seorang wanita yang meraung dan menangis ketika memandu menjadi tular di setiap platform media sosial sejurus dimuat naik kira-kira satu minggu.

Kapsyen ringkas 'macam mana nak pujuk hati sendiri' yang dimuatnaik bersama membuatkan warganet turut merasai keperitan yang dilalui pemiliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tumpang kasih sayang anak buah, tatang macam zuriat sendiri... Pasangan TTC 9 tahun lali hadap ‘mulut puaka’

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada zuriat bukan alasan kahwin lain! Hampir 20 tahun baru dapat anak, tapi layanan tetap sama - “Sampai meninggal ayah tak tahu saya dah tahu”

Lebih meruntun hati apabila setiap ungkapan yang dipaparkan dalam video berdurasi 1 minit 48 saat itu bagai menceritakan penderitaan yang dialami wanita terbabit.

"Hari ini aku dapat call daripada HKL (Hospital Kuala Lumpur). Diaorang bagitahu yang aku tak boleh buat egg preservation.

"Sudah tiada jalan untuk aku ada zuriat. Subhanallah, sakit... betapa kecewanya hati ini, tak terzahir dengan kata-kata.

"Wahai roh yang berada di luh mahfuz, mintalah untuk menjadi zuriatku. Mintalah pada Yang Esa untuk lahir dari rahimku... aku merinduimu, anakku. Aku teringin dengar tangisanmu.

"Hari ini hari lahir suamiku, tiada hadiah indah mampu aku berikan, hanya berita duka.

"Buat kalian yang melihat video ni, tolonglah doakan aku terus tabah hadapi segala rintangan dan ujian hidup. Doakan aku dan suamiku sabar dengan segala ujian yang akan datang.

Tangkap layar video luahan Syaz.

Tangkap layar video luahan Syaz.

"Semoga ada keajaiban buat kami berdua," luahnya.

Bercerita mengenai video yang ditonton lebih 837,000 pelayar TikTok itu, empunya diri yang hanya mahu dikenali sebagai Syaz memberitahu, rakaman tersebut dibuat semasa dia mendapat panggilan daripada pihak hospital.

Namun katanya, hanya sebahagian perjalanan yang dikongsikan ke dalam platform sosial itu.

"Video tu saya rekod daripada jumpa doktor sehingga balik rumah tapi saya potong bahagian memandu saja sebab saya nak tunjuk raw emosi yang saya juga boleh menangis dan ada masa-masa buntu dengan situasi.

"Saya tak sangka video ni akan tular sebab sebelum ini saya upload apa-apa video pun, view dan komen tak banyak. Bagi saya TikTok adalah diari tempat saya meluahkan perasaan, apa-apa yang saya tak boleh luahkan kepada orang sekeliling.

Perkahwinan dilangsungkan pada tahun 2019.

Perkahwinan dilangsungkan pada tahun 2019.

"Berapa ramai wanita yang ada masalah pendam, tak boleh menangis dan menjerit seperti itu. Tapi hakikatnya mereka boleh lakukan tapi selepas menangis dan menjerit kena kuatkan balik diri itu," ujarnya yang turut menyatakan bukan tidak menerima qada dan qadar Allah tetapi hanya ingin lepaskan perasaan serta beban yang terbuku dalam hati.

Memulakan cerita tentang masalah yang dihadapi, anak kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan ini berkata, dia berkahwin pada tahun 2019.

Tambahnya, pemeriksaan kesihatan yang dilakukan ketika itu ada menyatakan bahawa dia mempunyai masalah untuk mengandung secara normal.

"Saya sudah buat ujian fertiliti dan sebagainya... rawatan IVF (In-Vitro Fertilization) sahaja satu-satunya cara untuk saya dapatkan zuriat.

"Semasa saya teruskan rawatan IVF, saya mula mengalami sakit teruk sehingga lumpuh separuh badan, tidak boleh berjalan dan mula demam serta batuk yang menyebabkan saya perlu ulang alik ke hospital sepanjang tempoh tiga bulan.

Syaz berharap ada keajaiban untuknya dan suami.

Syaz berharap ada keajaiban untuknya dan suami. - Gambar hiasan

"Keadaan berlarutan sehingga setahun enam bulan, tapi selepas berkahwin saya dah mula sakit iaitu badan menjadi gegata dan ruam.

"Jadi saya hentikan rawatan IVF, tiba-tiba pada Jun 2021 diagnosis doktor menyatakan saya ada kanser limfoma stage 4B. Kanser saya ni dah merebak ke sum sum tulang, jadi saya berhenti rawatan IVF kerana buat kemoterapi," katanya.

Pada masa itu, ujarnya, doktor ada memaklumkan bahawa rawatan pertama kemoterapi tidak akan mengganggu usahanya mendapatkan zuriat.

Bagaimanapun, semasa dalam rawatan, haid tidak datang secara normal.

Untuk transplant tu pihak hospital akan guna hidro kemoterapi yang akan menyebabkan 90 peratus pesakit wanita mengalami kerosakan kilang telur. Doktor cakap 90 peratus tidak boleh ada zuriat.

SYAZ

"Selepas hentikan kemoterapi, haid ada cuma sikit-sikit. Saya pergi HKL untuk buat rawatan lanjut, tapi doktor tak bagi buat IVF dalam masa terdekat dan nasihatkan supaya badan saya pulih daripada kemoterapi selain perlu buat ujian sekali lagi untuk memastikan hormon serta keadaan badan selepas rehat.

"Dalam masa yang sama saya masih juga buat pemeriksaan untuk kanser. Menerusi CT Scan yang dilakukan terdapat bahagian yang bengkak, dan bulan Mei doktor sahkan yang kanser saya datang semula (relaps).

"Orang yang kanser relaps ni, doktor akan gunakan tahap kemoterapi yang lebih kuat lagi dan collect stamp cells terus transplant... untuk transplant tu pihak hospital akan guna hidro kemoterapi yang akan menyebabkan 90 peratus pesakit wanita mengalami kerosakan kilang telur. Doktor cakap 90 peratus tidak boleh ada zuriat," luahnya sebak.

Setiap pasangan berkahwin ingin memiliki zuriat sendiri.

Setiap pasangan berkahwin ingin memiliki zuriat sendiri. - Gambar hiasan

Disebabkan itu, doktor mencadangkan supaya telur dibekukan.

Namun, selepas perkara berkenaan dirujuk kepada pihak HKL, mereka menjawab 'tidak boleh'.

"Kalau buat sekali pun telur tu tak sihat, tiada sel atau kosong. Jadi saya buntu tak tahu nak buat macam mana lagi.

"Keputusan saya memang kena kemoterapi sebab tiada pilihan lain," luahnya lagi.

Dalam pada itu, dia yang masih belum dikurniakan zuriat menyatakan hasrat untuk mengambil anak angkat.

"Apabila disahkan tiada zuriat tu, suami cakap sabar kerana ujian yang diterima. Tak boleh nak lawan takdir dan dalam perbincangan masa depan, kami rancang nak ambil anak angkat.

"Iyalah kalau dah temui jalan buntu memang jadi ambil anak angkat," tambahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain