suria

Kakak ralat abai call sebab ingat ‘orang nak kacau’, rupanya berita kematian! Baru faham maksud kata-kata arwah ‘dah tak nak pakai baju raya’

Tacaa tidak menjawab panggilan adiknya yang ingin menyampaikan berita kematian arwah.

TIADA siapa pernah bersedia untuk kehilangan insan tersayang apatah lagi jika melibatkan ahli keluarga sendiri.

Begitulah yang dialami wanita ini, Nornatasha Khairul Anuar apabila mendapat satu panggilan mengenai berita kematian adiknya, Muhammad Zulhelmie Khairul Anuar, 17, atau lebih dikenali dengan panggilan Dikjun pada 24 Mei lalu.

Nornatasha atau mesra disapa Tacaa berkata, dia tersedar apabila menerima satu panggilan telefon pada pukul 5.55 pagi namun tidak mengendahkannya setelah melihat panggilan tersebut datangnya dari nombor yang tidak dikenali.

ARTIKEL BERKAITAN: Sempat bersih diri, beritahu ahli keluarga ‘nak mati dah ni’... kakak terkilan adik rebah sebelum makan maggi atas meja - “Dapat tengok macam nyawanya ditarik”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda dial nombor telefon arwah bapa dan apa yang berlaku selepas itu memang mengejutkan - “Siapa di sana... abah di sini”

Selang beberapa minit kemudian, anak sulung daripada lima beradik ini menerima satu lagi panggilan daripada adik ketiga, Nur Elya Natasha Khairul Anuar, 18, atau Yaya menyatakan bahawa Dikjun telah meninggal dunia.

“Waktu subuh tu ada nombor tak kenal call saya. Saya tengok saja tak angkat sebab nombor tak save jadi saya memang ingat orang luar saja kacau. Lepas tu masuk panggilan dekat WhatsApp daripada Yaya, dia beritahu Dikjun dah meninggal dunia.

“Saya buka mesej dekat WhatsApp tengok pukul 4.30 pagi tu rupanya Yaya dah beritahu yang Dikjun kemalangan. Saya sangat terkejut dan sedih pagi tu bila baca mesej yang dihantar.

“Saya terus bersiap untuk pergi hospital. Masa tu saya ada dekat Penang, tak duduk serumah dengan famili sebab kerja dekat sini,” jelasnya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat di Pulau Pinang.

Menurut wanita berusia 23 tahun ini lagi, berita mengejut mengenai kematian Dikjun bagaikan satu mimpi ngeri buat dirinya.

Tangkap layar berita kematian yang disampaikan oleh adiknya Yaya.

Terkilan dengan apa yang berlaku, Tacaa yang merupakan anak jati Pulau Pinang memperincikan bagaimana Dikjun terbabit dengan kemalangan.

“Dikjun meninggal sebab jatuh motosikal terlanggar tali pengikat barang digunakan oleh pemandu lori atas highway.

“Malam kejadian tu dia dengan lima lagi kawan yang lain dalam perjalanan nak pulang ke rumah menaiki motosikal. Dikjun naik motosikal sendirian masa dia terlanggar tali tu.

Dikjun alami kemalangan jalan raya pada 24 Mei 2022.

“Lepas dia dah tertiarap dekat jalan, kawannya yang naik motosikal membonceng dua orang tu tak sempat nak elak jadi mereka jatuh sekali rempuh arwah. Masa jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan, tak sangka ramai kawan dia termasuk cikgu dah tunggu dekat rumah,” imbas Tacaa mengenai kematian Dikjun.

Sejurus kemalangan meragut nyawa di Bukit Merah, Perak, itu, jelas Tacaa, terdapat beberapa anggota polis yang kebetulan melalui kawasan kejadian telah membuat panggilan kecemasan kepada pihak ambulans.

Dikjun bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan disahkan telah meninggal dunia pada jam 5.25 pagi di Hospital Parit Buntar, Perak.

Menurut Tacaa, dia bukan sahaja terkilan kerana terlewat mengetahui berita kematian malah berasa sedikit ralat apabila mengenangkan permintaan arwah yang tidak dapat ditunaikan.

Dia ada beli baju raya sendiri tapi saiz baju tu tak ngam dengan badan dia. Mak pun ada tegur dia beli baju saiz kecil tu nanti tak sempat nak pakai Raya Haji.

NORNATASHA

“Saya rapat dengan Dikjun masa dia kecil saja sebab ingatkan dia akan jadi anak bongsu, rupa-rupanya ada adik kecil lelaki seorang lagi. Masa dia kecil dulu saya selalu bawa dia bersiar-siar makan angin waktu petang pusing kampung naik motosikal.

“Tapi bila ingat balik, saya menyesal sebab waktu raya dia ada minta saya duit nak beli baju Melayu. Saya tak belanja waktu tu sebab mak dah bagi masing-masing duit untuk beli baju raya.

“Dia ada beli baju raya sendiri tapi saiz baju tu tak ngam dengan badan dia. Mak pun ada tegur dia beli baju saiz kecil nanti tak sempat nak pakai Raya Haji. Lepas tu arwah beritahu dia memang tak nak pakai dah. Tak sangka memang betul dia tak boleh pakai dah untuk raya nanti,” katanya.

Perkongsian video di TikTok mengenai panggilan tidak berjawab setelah kematian adiknya telah meraih hampir 2 juta jumlah tontonan.

Tacaa merupakan anak sulung daripada lima beradik.

Netizen turut meluahkan rasa sedih malah isu mengenai panggilan penting tidak berjawab ini menjadi perdebatan di ruangan komen.

“Tu pentingnya angkat call, walaupun nombor tak kenal takut benda penting macam ni, sejenis famili saya yang tak suka angkat call pun geram juga.

“Kalau dapat call dari nombor tak kenal pagi-pagi buta ni la paling takut nak angkat. Kadang orang nak kacau pagi buta. Paling-paling ada berita tak elok,” antara komen netizen.

Ramai yang hadir ke rumah Tacaa untuk menziarahi arwah Dikjun.

Dalam pada itu, Tacaa menjelaskan bahawa panggilan daripada nombor tidak dikenali itu merupakan nombor terkini milik Yaya.

Atas sebab kerap menukar nombor telefon, Tacaa tidak menyimpan nombor baharu adiknya sebagai kenalan dalam telefon bimbit.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain