suria

Nampak pondan terus ketawa! Lelaki lembut sedih diejek masuk surau Muslimin, selesai solat Asar terus dihina

Video yang dikongsi Jelly tular di TikTok sehingga dia menerima banyak mesej sokongan netizen.

VIDEO luahan hati seorang individu yang mendakwa ditertawakan sekumpulan lelaki ketika mahu menenunaikan solat di sebuah surau meraih perhatian ramai.

Menerusi video itu, Ikram Hamid atau lebih dikenali sebagai Jelly Belly berkongsi kisah tersebut yang dikatakan berlaku di surau sebuah hospital swasta di Pahang, Khamis lalu.

"Assalamualaikum. Saya nak bagi satu pesanan untuk rakyat Malaysia yang suka pergi surau, yang suka pergi masjid. Kalau nampak orang macam saya... pondan atau bapuk yang pergi masjid, tolonglah jangan gelakkan dia. Tolong jangan ketawakan dia.

ARTIKEL BERKAITAN: Comel! Nenek berceloteh di TikTok, beri nasihat padu untuk cucu lelaki lembut dan rakan-rakan ‘senasib’ - “Tok tak suka tukar jadi perempuan”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar lembut berjaya bertahan walau teruk dibuli di sekolah, kini tiap semester dapat Anugerah Dekan - “Saya mengaji pun dianggap hipokrit”

"Kita nak pergi menghadap Allah ni kan, takkan la nak gelak. Nampak pondan sikit terus gelak. Janganlah macam tu, doa je baik-baik.

"Mana tahu kita orang boleh potong rambut macam korang ke, kita orang boleh pakai serban ke. Tak chill, sedih sangat saya rasa. Kenapa orang nak ketawakan kita pergi solat," ujarnya dalam nada sebak.

Ketika dihubungi mStar bagi mendapatkan gambaran sebenar, Jelly menyifatkan situasi seperti itu adalah cabaran bergelar lelaki lembut di Malaysia.

jelly2

Kata Jelly, dia terkilan dengan kejadian itu namun tak patah semangat untuk ke surau atau masjid pada masa akan datang.

"Saya berada di hospital untuk melawat kakak. Masa tu waktu Asar, dah agak lewat. Saya masuk ke surau hospital, tiada sesiapa pada waktu itu dan saya solat seperti biasa.

"Masa nak keluar, ada tiga ke empat orang lelaki macam tehcnician, mereka masuk ke surau dan pandang saya dengan pelik. Saya senyum je la apabila orang masuk, kemudian saya tunduk dan keluar.

"Mereka ketawa berdekah-dekah, dia mention bapuk weh. Dia gelak-gelak. Masa tu saya berpakaian normal. Saya pakai kurta lengan pendek. Mungkin sebab saya berisi, mereka nampak shape badan saya, nampak ke arah dia fikir yang saya ni perempuan," ceritanya.

Teruskan berdoa untuk orang macam saya serta umat Islam yang lain, moga kita jadi sahabat di syurga.

JELLY

Menurut anak kelahiran Pekan, Pahang yang berusia 30-an itu, dia sejujurnya terkilan dengan situasi berkenaan, namun menganggap ia sebagai ujian yang perlu dilalui dengan tenang.

"Ikutkan memang dah fed up. Dah banyak kali orang pandang pelik. Memang sangat terilan. Walaupun pakai kopiah, tetap orang pandang-pandang. Tapi nak buat macam mana. Sebagai orang Islam, ini ujian untuk saya.

"Kepada orang luar, sebagai Muslim, berdoalah untuk orang macam saya. Apabila pergi solat, janganlah gelakkan kami. Sekarang pun dah masuk fasa endemik, kalau nak salam pun boleh.

jelly3

Antara komen netizen di TikTok.

"Kepada golongan lembut macam saya, janganlah pula kita ke surau dalam keadaan tak sepatutnya. Orang selalu pandang kita sebagai simbol kepada sesuatu, tapi saya tetap akan bawa agenda kebaikan, nak tunjuk yang kami juga orang baik, bukan semua buat kerja tak elok," ujarnya.

Dalam pada itu, Jelly yang mengusahakan bisnes produk kecantikan turut terharu apabila video yang dikongsi di aplikasi TikTok meraih sokongan ramai, malah dia turut dihujani dengan kata-kata semangat daripada netizen.

"Ramai yang positif di TikTok. Walaupun saya faham rakyat Malaysia tak berapa suka golongan macam kami, saya akan terus bawa aura positif. Saya makin bersemangat apabila ramai yang komen baik-baik.

"Terima kasih Allah kerana hadirkan orang yang baik-baik menerusi TikTok, saya hargai sangat-sangat. Teruskan berdoa untuk orang macam saya serta umat Islam yang lain, moga kita jadi sahabat di syurga," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain