suria

Jangan pandang sebelah mata! Ada sebab gadis 22 tahun suka jadi tukang cuci... Tak sangka ‘akak cleaner’ terkenal di Kolej Matrikulasi Johor

Nasuha gembira melakukan pekerjaannya sebagai tukang cuci di matrikulasi.

BEKERJA secara sambilan di restoran makanan segera, kafe mahupun di pusat beli-belah dianggap biasa bagi pelajar lepasan sekolah mahupun siswa kolej dan universiti.

Namun pastinya pekerjaan sebagai tukang cuci dianggap asing bagi kelompok berkenaan.

Bagaimanapun lain pula bagi gadis bernama Nurnasuha Md Jasni berusia 22 tahun ini apabila dia begitu menyukai pekerjaan sebagai tukang cuci.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider sanggup menabung mahu isteri bersalin di hospital swasta, beri layanan bak puteri raja sepanjang tempoh hamil

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mudah nak cari duit beli food truck! Wanita ini terpaksa repair kek ‘kemalangan’ depan pelanggan, mujur lori tak remuk

"Tak pernah terlintas pula rasa malu. Kalau saya malu, saya tak akan kerja sebagai cleaner dekat kolej yang saya pernah belajar sebab jumpa lecturer yang pernah mengajar dulu.

"Kawan-kawan pun tak pernah kutuk, lagipun saya akan beritahu dengan yakin tentang pekerjaan ini tanpa berselindung atau merendah diri.

"Menariknya mereka lagi kagum apabila mengetahui saya melakukan kerja seperti itu," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Bagaimanapun menurut anak jati kelahiran Tangkak, Johor ini pekerjaan sebagai tukang cuci itu hanya dilakukan secara sambilan bagi menambah duit poket sendiri.

Bercerita lanjut, ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini, dia mula bekerja sebagai tukang cuci di Kolej Matrikulasi Johor sejak tamat tingkatan 5.

"Sementara tunggu keputusan UPU (permohonan kemasukan ke Universiti Awam) saya bekerja sebagai cleaner.

Waktu cuti sering diisi dengan kerja sambilan.

Waktu cuti sering diisi dengan kerja sambilan.

"Apabila ditawarkan mengikuti pengajian di matrikulasi bermula April 2018 hingga Mei 2019. Saya fokus pada pelajaran pula," ujarnya ceria.

Tidak gemar menghabiskan masa begitu sahaja, dia kemudian kembali bekerja sebagai tukang cuci di pusat pengajian yang sama sementara menunggu tawaran pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Malah katanya, setiap kali mempunyai masa terluang, dia akan mengisinya dengan pekerjaan dan tugas sebagai tukang cuci seolah-olah sudah menjadi rutin dirinya.

"Cuti semester dua minggu pun saya tetap akan kerja. Sekarang kelas online tak begitu padat, jadi saya boleh bekerja.

"Lagi pula penyelia memang dah kenal saya dan dia akan terima kalau saya nak bekerja walaupun sekejap," luahnya lagi.

Lebih mesra dipanggil Suha, dia menyatakan sudah terbiasa melakukan pekerjaan sedemikian.

Nasuha merupakan anak bongsu.

Nasuha merupakan anak bongsu.

"Mak saya pun lakukan pekerjaan yang sama sejak 2008. Kiranya daripada kecil saya selalu ikut mak kerja waktu hujung minggu.

"Saya pula tiada kenderaan untuk bekerja di tempat lain, jadinya memang memilih untuk terus bekerja di situ dan 'merempit' berdua bersama mak ke tempat kerja," katanya.

Walaupun mengimpikan pengalaman bekerja dalam sektor lain, dia terpaksa akur kerana belum mempunyai kenderaan sendiri.

Bagi saya remaja lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tidak boleh jadi penganggur... mesti kerja ataupun belajar.

NASUHA

Lagi pula katanya, pilihan itu diteruskan juga kerana kerja sebagai tukang cuci tidak dibebani sebarang tekanan.

"Saya pun kerja sebab penyelia panggil. Pada masa sama rasa lebih produktif kerana jika berada di rumah saya akan lebih banyak tidur.

"Bagi saya remaja lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tidak boleh jadi penganggur... mesti kerja ataupun belajar. Ayah pun okay dan ikut sahaja apa yang saya ingin lakukan," jelasnya.

Tambah Suha yang turut meminati bidang perniagaan, dia sanggup melakukan kerja di usia remaja kerana mahu menambah simpanan.

Custom casing telefon turut dilakukan.

Custom casing telefon turut dilakukan.

Malah daripada keseluruhan gajinya itu, hanya 20 peratus sahaja yang digunakan untuk dibelanjakan.

Ia membuatkan Suha kurang kebergantungan kepada keluarga.

"Saya suka tengok duit yang banyak. Simpanan tu untuk waktu-waktu kecemasan... tapi kalau saya nak beli apa-apa, saya akan ambil daripada duit simpanan tu.

"Kelengkapan belajar memang guna duit sendiri dan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Cuma laptop mak saya belikan masa belajar di matrikulasi, kalau telefon tu guna duit sendiri," ujarnya yang turut menjual custom case telefon bimbit.

Menceritakan tentang bisnes yang dilakukan itu, ujarnya sejak kecil lagi dia sudah berniaga.

"Masa kecil dulu mak saya suka buat kerepek pisang untuk makan, tapi saya pack dalam plastik dan jual kat cikgu-cikgu tanpa pengetahuan mak. Selalu juga saya jual lukisan watak anime naruto kepada kawan lelaki semasa sekolah rendah.

"Sekolah menengah pula saya jual kerepek. Cumanya kali ini memang mak tahu, hari-hari ambil tempahan daripada kawan-kawan.

"Lepas habis sekolah saya cuba jadi dropship. Masa 2018 saya jual kad tambah nilai dan pada Ogos 2020 sehingga sekarang saya jual custom case," ujarnya.

Terdahulu video perkongsian yang memaparkan dia bekerja sebagai tukang cuci di kolej matrikulasi tular di media sosial.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain