suria

Jemputan 700 orang, katerer hantar 50 pax je! Pengantin tak akan lupa ‘tragedi kenduri tanpa makanan’, minuman pun tak ada

Majlis kenduri Fiza huru-hara akibat makanan tidak mencukupi.

GARA-GARA pemilik pakej perkahwinan tak bertanggungjawab, pengantin terpaksa tanggung malu semasa majlis kendurinya.

Ketika dihubungi mStar, pengantin berkenaan, Nurul Norafiza Abdul Hamed, 25, memperincikan semula 'tragedi' semasa hari perkahwinannya di mana makanan untuk tetamu boleh dikatakan 'hampir tiada'.

Jelasnya yang senang disapa Fiza, bayaran penuh telah dibuat kepada individu yang menawarkan pakej perkahwinan terbabit namun hanya hidangan untuk 50 orang makan sahaja yang dihantar ketika majlis kahwinnya pada 4 Jun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu usia 60 tahun teringin pakai baju pengantin, adik pakat dengan abang-abang cari butik bridal... Sudahnya bapa jadi hero ‘last minute’

ARTIKEL BERKAITAN: Wedding planner demam 3 hari tengok baju sewa dipulangkan pengantin, kotor melampau... tertanya photoshoot di mana?

"Majlis hari Sabtu tu untuk kenduri belah perempuan. Kami tunggu makanan dari pukul 10 pagi, tapi sampai jam 12 tengahari masih tak dihantar.

"Pukul 12.35 tengahari barulah pihak katering tiba tapi yang dibawa cuma makanan untuk 50 pax saja.

"Bukan itu sahaja, DJ PA system (sistem bunyi) pun tak datang, kuih muih, ayam masak merah tak cukup sampaikan bubur pulut hitam dan air pun tak ada masa kenduri," luah Fiza yang mengadakan majlis kenduri di rumahnya di Taman Cahaya Masai, Pasing Gudang, Johor.

Melihat majlisnya menjadi huru-hara, dia mengakui panik dan tidak tentu arah sehingga menangis menanggung malu selain memikirkan nasib para tetamu yang telah hadir untuk menjamu selera.

Malah menurut Fiza, dia telah membuat bayaran penuh sebanyak RM18,250 kepada wedding planner tersebut untuk menyediakan semua yang telah ditawarkan dalam pakej.

Tak sangka boleh jadi macam ni sebab tu saya menangis. Terkejut bila tengok pukul 12 tengah hari makanan masih tak sampai lagi.

NURUL NORAFIZA

"Saya order set makanan untuk jumlah 700 orang makan tapi yang sampai cukup untuk 50 orang je. Terpaksa minta tolong kakak dan saudara mara uruskan makanan pula.

"Mereka order makanan luar nasi ayam untuk 'cover' balik makanan nak jamu tetamu yang hadir. Tak sangka boleh jadi macam ni sebab tu saya menangis. Terkejut bila tengok pukul 12 tengah hari makanan masih tak sampai lagi," ujar Fiza.

Selepas majlis selesai, wanita yang bekerja di sebuah kilang di Johor ini telah berhubung dengan pihak bridal itu untuk tuntutan ganti rugi namun sehingga kini masih tiada sebarang jawapan.

Makanan yang dihantar tidak mencukupi.

Fiza berkata dia rupa-rupanya tidak berseorangan menghadapi masalah ini kerana menurutnya terdapat sebuah lagi majlis kenduri pada hari sama menerima nasib sepertinya.

"Sebelum ni tengok bridal ni buat pakej OK saja. Saya jumpa pakej ni pun dekat Facebook. Saya survey komen pelanggan-pelanggan sebelum ni pun tak ada masalah.

"Tapi tak tak sangka ada pengantin lain juga kena macam saya pada tarikh sama. Ada majlis kenduri yang tak dapat makanan langsung pun.

"Saya dapat tahu yang dia dah kena reman dekat Balai Polis Larkin sekarang. Apa-apa pun saya harap tak ada orang lain yang hadap perkara sama macam saya kena," ujar Fiza.

Fiza bersama suami, Kamil Arif.

Untuk rekod, video mengenai majlisnya yang bertukar tragis ini menjadi tular di Twitter sehingga meraih lebih 4,000 jumlah ulang kicau dan 6,500 tanda suka.

Pengguna di Twitter turut meluahkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa Fiza ini setelah melihat perkongsian rakaman itu.

Pada Selasa, polis menahan seorang perancang perkahwinan disyaki memperdaya beberapa pasangan pengantin dengan tidak menyediakan perkhidmatan pakej perkahwinan bajet serendah RM8 setiap jemputan seperti yang ditawarkan, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 50-an yang mengusahakan perkhidmatan katering itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira jam 5 petang.

“Polis menerima 10 laporan membabitkan pengusaha katering berkenaan dengan kerugian RM53,380 setakat Isnin lalu.

"Susulan laporan polis yang diterima, polis telah menahan suspek bagi membantu siasatan kes yang berlaku sekitar Kulai dan Johor Bahru,” kata pada sidang media, Rabu.

Kamarul Zaman berkata, mangsa hanya menyedari diperdaya apabila makanan yang ditempah tidak dihantar atau kurang daripada sepatutnya selain menerima makanan yang sudah basi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain