HARGAI mereka selagi hayat masih ada. Begitulah pesanan yang biasa dititipkan buat setiap anak agar sentiasa mencurahkan jasa bakti kepada ibu bapa masing-masing. Di aplikasi TikTok, seorang lelaki dikenali sebagai Irwan meraih perhatian ramai apabila dia berkongsi video memaparkan bapanya dibawa menaiki kereta menggunakan kerusi khas untuk orang kelainan upaya (OKU). View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Ketika dihubungi mStar, Irwan, 34, yang juga pemilik Toyota Passo berkata dia turut dihujani banyak soalan daripada netizen yang berminat mendapatkan kerusi berkenaan untuk orang tua mereka. "Seat OKU tu dah lama saya beli, sejak tahun lepas lagi. Harganya pula berbeza-beza mengikut seller. Yang saya beli tu anggarannya sekitar RM2,500 ke RM3,000. Saya beli dan pasang sendiri. "Pada awalnya saya masukkan video itu ke TikTok kerana mahu edit untuk letak lagu background. Tak sangka ia viral 1.9 juta tontonan. Memang terkejut tiba-tiba viral. Ramai kawan mesej dan maklumkan mengenai video itu. ARTIKEL BERKAITAN: Buat 2 kerja demi sara bapa strok... pemuda ini tak pernah berdepan gangguan, cuma leher digigit semut ketika bertugas jadi guard ARTIKEL BERKAITAN: Pemain gitar tersepit antara suka dan duka... bapa meninggal pada hari lahir ke-21, video pula dapat 10 juta tontonan - “Perasaan macam roller coaster” "Terlalu banyak komen yang saya terima sampai tak terbalas. Saya terharu ramai yang doakan abah. Pada masa sama, ramai juga yang mesej dan tanya maklumat untuk beli kerusi itu," ujarnya yang menetap di Kluang, Johor. Bercerita lanjut, juruteknik yang masih bujang itu mendedahkan bapanya yang sudah uzur mula menghidap parkinson kira-kira lapan tahun lalu. Kata Irwan, dia mengambil keputusan memasang kerusi tersebut bagi memudahkan urusan setiap kali mahu membawa bapanya keluar menaiki kereta. Warga emas ini menghidap parkinson sejak lapan tahun lalu. "Abah dah berumur 78 tahun. Dia tiada penyakit lain, cuma menghidap parkinson sejak lapan tahun lepas. Dia masih boleh berjalan, cuma agak lambat. "Lepas tu kalau nak masuk kereta, kita kena angkat punggung dia dan tolak ke tengah kerusi. Jadi saya buat keputusan untuk beli seat OKU, untuk mudahkan urusan kami. "Biasanya akan bawa abah keluar jalan-jalan, keluar untuk temujanji hospital atau pergi ke tempat rawatan akupuntur. Dengan adanya kerusi tu, Alhamdulillah sangat menyenangkan," ujarnya. Kita sebagai anak perlulah jaga mak ayah selagi mereka masih ada, peluang ini sekali seumur hidup saja. IRWAN Menurut Irwan lagi, dia sebagai satu-satunya anak lelaki perlu memikul amanah menjaga kedua ibu bapa sebaiknya memandangkan kakak-kakaknya berada jauh dari kampung halaman. "Kami ada empat beradik. Kakak saya tiga orang duduk jauh. Mak dan ayah menetap di Batu Pahat, tak jauh daripada saya yang duduk di Kluang. Setiap minggu saya akan balik jenguk mereka. "Abah pun dah berusia, dulu dia anggota polis hutan. Dia dah pencen pada tahun 1999. Sebagai anak lelaki, saya rasa ini tanggungjawab yang perlu digalas. Kakak-kakak pun harapkan saya. Irwan membuat ubah suai kerusi itu pada tahun lalu. "Pada saya, kita sebagai anak perlulah jaga mak ayah selagi mereka masih ada. Sebab peluang ini sekali seumur hidup saja. Lepas ibu bapa dah tiada, sudah tentu kita akan merindui mereka," ujarnya lagi. Menjengah ke ruangan komen video tular itu, ramai netizen turut memuji Irwan yang disifatkan cukup berdedikasi dalam memberikan kehidupan yang terbaik buat orang tuanya. Pada masa sama, ramai netizen turut menzahirkan rasa sayu menonton video penuh emosi itu, apatah lagi ia diiringi alunan muzik yang cukup mendayu-dayu. "Salute orang ubah suai kereta macam ni. Orang lain ubah suai untuk nampak smart, lowered dan laju. Bro ni ubah suai kereta untuk mudahkan orang tuanya nak naik kereta. Komen netizen menerusi TikTok. "Selagi boleh berbakti kepada orang tua, cubalah sebaik mungkin. Jika mereka sudah tiada, akan rasa kekosongan. Yang melaluinya saja akan faham. "Senangnya ada kerusi macam ni. Tak payah nak angkat-angkat. Moga murah rezeki anaknya. "Tahniah awak berjaya bahagiakan ayah awak. Mudahkan dia tanpa sakit untuk masuk kereta. Syukur Ya Allah. Syurga untuk anak yang dahulukan ayahnya... terbaik anak soleh. "Sebak rasanya. Semoga kita yang masih ada mak ayah ni, Allah jadikan kita anak yang berbakti. Amin," tulis beberapa netizen. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI