suria

Sambil balik jenguk ibu di kampung, anak cari job potong rumput! Rezeki mencurah selepas dapat customer prihatin

Aleeyna kagum dengan kerajinan dan hasil kerja anak muda bernama Syafiq.

TUNTUTAN hidup pada zaman sekarang sememangnya memerlukan kerja keras, lebih-lebih lagi selepas penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan ramai orang kehilangan sumber pendapatan.

Ada yang melakukan lebih daripada dua pekerjaan untuk mendapatkan wang tambahan demi menampung perbelanjaan harian serta komitmen masing-masing.

Begitu juga dengan pemuda ini yang enggan 'goyang kaki' sebaliknya memanfaatkan masa terluangnya dengan mengambil upah memotong rumput serta membersihkan halaman rumah orang.

Kisah pemuda tersebut menjadi tular selepas dikongsikan oleh seorang wanita di media sosial, baru-baru ini.

"Usah malu menjemput rezeki halal," demikian tulis wanita berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kreatif, ada ijazah tapi tak dapat kerja! Rezeki pemuda ini mencurah selepas rajin tolong mak ayah di kedai makan - “Tak sangka iPad baru ni boleh buat duit”

ARTIKEL BERKAITAN: Impian jadi tentera lebur, pemuda teruskan hidup jadi rider bertangan palsu... terkesan kenangkan insiden anak pelanggan lari masuk rumah di siang hari

Berkongsi kisah lanjut dengan mStar, wanita bernama Asleeyna Amin berkata, dia yang merupakan seorang pekerja freelance dalam bidang kewangan sedang berada di rumah ketika kediamannya didatangi seorang pemuda.

"Masa pemuda itu datang, waktu menunjukkan hampir pukul 1 tengah hari. Saya terdengar orang bagi salam banyak kali. Ingatkan pekerja kurier.

"Saya jenguk keluar dan nampak seorang pemuda bawa mesin rumput. Dia bertanya sama ada saya nak potong rumput di halaman rumah.

RUMPUT 1

Anak muda bernama Syafiq tidak segan mengambil upah membersihkan halaman ruman penduduk sekitar.

"Saya terfikir, pemudia ini nampak seperti seorang yang bersungguh-sungguh nak cari duit. Lantas saya izinkan dia masuk. Saya pun tak tanya berapa caj yang dikenakan sebab memang niat nak bantu pemuda itu," cerita wanita berusia 36 tahun ini.

Tambah Asleeyna, timbul perasaan kagum dalam hatinya apabila melihat seorang anak muda yang tidak segan melakukan pekerjaan sedemikian demi mendapatkan sedikit upah.

"Jarang anak muda nak buat kerja macam tu. Mungkin dia dah approach banyak rumah. Apa yang saya kongsikan dalam video hanya nampak sebahagian sahaja halaman yang dibersihkan.

"Tetapi dia bersihkan sampai belakang. Longkang pun dicuci malah pokok bunga pun dia siram. Memang nampak dia kerja bersungguh-sungguh dan ikhlas walaupun tengah panas terik.

RUMPUT 3

Asleeyna (kanan) membuat perkongsian mengenai Syafiq untuk menyebar mesej positif kepada orang ramai.

"Rasanya dalam sejam dia buat semua kerja. Sangat puas hati. Saya sempat hidangkan air sejuk sebelum dia pulang. Waktu itu saya ambil peluang bersembang dengannya.

"Nama pemuda ini Syafiq dan berusia 23 tahun. Dia kerja di Kuala Lumpur. Ketika itu dia balik kampung jenguk ibu dan adiknya. Kampungnya tak jauh pun dari taman perumahan ini. Sambil-sambil di kampung, dia ambil upah cari duit tambahan," cerita Asleeyna yang menetap di Paka, Terengganu.

Terkesan dan dalam masa yang sama mengkagumi sikap anak muda tersebut, Asleeyna membuat perkongsian di laman sosial untuk menyebar mesej positif dengan para pengikutnya.

Mungkin nampak kerjanya biasa saja, tapi siapa tahu daripada situ rezekinya makin bertambah. Orang-orang seperti ini beri kita inspirasi.

ASLEEYNA AMIN

"Tak sangka pula tular dan saya terima banyak DM yang minta nombor pemuda itu sebab nak tawarkan dia job. Malangnya waktu saya bersembang dengan Syafiq, dia tak ingat nombor telefonnya, kebetulan telefon bimbitnya juga tak hidup.

"Saya cuba usahakan dan tanya dalam grup WhatsApp taman perumahan, Alhamdulillah ada yang kongsi sebab pernah dapatkan khidmatnya.

"Saya juga hubungi Syafiq semula selepas itu untuk minta kebenaran kongsi kisahnya di laman sosial. Dia ucap terima kasih sebab dapat ada ramai yang tawarkan job kepadanya.

RUMPUT 2

Antara komen-komen netizen yang turut melahirkan kekaguman terhadap anak muda tersebut.

"Saya pun ucap terima kasih kepadanya sebab daripada kisah tersebut, saya juga dapat tempias di mana ramai turut mendoakan saya sekeluarga," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini lagi.

Sehingga ini perkongsian video Asleeyna di aplikasi TikTok meraih sehingga melebihi 225,000 jumlah tontonan.

"Apa yang boleh diambil sebagai mesej daripada perkongsian ini, kita kena berusaha untuk dapat sesuatu. Taki kira kerja apa pun asalkan kerja halal.

"Mungkin nampak kerjanya biasa saja, tapi siapa tahu daripada situ rezekinya makin bertambah. Orang-orang seperti ini beri kita inspirasi," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain